Dr Che Puteh Osman
SIRI 1: 10 TIPS MEMBERSIHKAN HABUK TANPA ALAHAN
Mari baca 10 tips ini kalau anda ada alahan pada habuk.
Saya tengok dekat Facebook ini macam-macam produk dan petua nak hilangkan resdung (allergic rhinitis) dan asma. Yang lawaknya suruh hidu habuk dan asap berkepul. Sudah tentulah berlaku tindakbalas alahan yang menyebabkan keluar hingus dengan banyak. Hingus itu bukan duduk berkumpul dalam ruang sinus (dekat hidung sekitar muka). Gila banyak hingus kalau berkumpul dalam kaviti sinus yang kecil.
Mari sini saya hendak bagi 10 petua bagaimana untuk mengelakkan reaksi alahan yang teruk kalau anda ada alahan pada bulu kucing, habuk dan pencemaran udara.
1. Jangan menggunakan duster untuk menyapu habuk-habuk pada perabot. Gunakan kain lembap dari bahan mikrofiber (boleh dapat semurah seringgit di kedai alatan). Ini bagi mengelakkan habuk terkena pada kawasan muka.
2. Kurangkan penggunaan penyapu untuk menyapu habuk. Gunakan penyedut habuk (vacuum cleaner). Melaburlah pada alat penyedut habuk yang berkuasa baik mengikut kemampuan kewangan anda. Lebih baik dari anda melabur beli ubat pseudosains kononnya menghilangkan resdung dan asma. Alahan tidak akan hilang tetapi boleh dikawal supaya sihat sepanjang hayat kerana ia ada dalam genetik anda.

3. Elakkan penggunaan perabot, langsir, atau cadar yang mudah memerangkap habuk. Contohnya sofa kain (i’m guilty of this) dan karpet jenis berbulu. Jika ada, pastikan ia sentiasa dibersihkan menggunakan penyedut habuk atau dijemur bawah matahari. Beli langsir dan kain cadar dari jenis yang tidak memerangkap habuk seperti satin. Pastikan kipas dan lampu dibersihkan dari habuk-habuk.
4. Jika anda ada menggunakan alat pendingin hawa (air conditioner), pastikan ia diselenggara secara berkala. Anda akan terkejut melihat habuk yang terperangkap di dalam alat pendingin hawa anda.
5. Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik.
6. Gunakan topeng muka (mask) jika anda membonceng motosikal atau ketika berjalan dalam keadaan pencemaran udara yang tinggi.
7. Jika anda bekerja di makmal kimia, gunakan topeng muka gred makmal yang baik dan elakkan menyedut wap bahan kimia meruap (volatile chemical).
8. Jika anda mendapati batuk dan selsema mula mengganggu dan tidak hilang walau telah menggunakan inhaler atau telah berehat dan makan paracetamol (contohnya panadol) dan antihistamines yang dibekalkan oleh doktor anda (seperti loratidine dan piriton), janganlah au naturale lagi. Segera berjumpa doktor anda untuk mengelakkan reaksi alahan semakin teruk.
9. Jika anda mengandung dan reaksi alahan semakin teruk atau batuk dan selsema berterusan, sila berjumpa doktor dengan segera. Dapatkan nasihat pakar respiratori bila perlu.
10. Dapatkan vaksinasi tambahan seperti influenza dan pneumococcal di premis kesihatan. Ia boleh mengelakkan komplikasi yang serius jika dijangkiti virus influenza dan bakteria berbahaya.
Jika anda baca sehingga sini, tahniah! Anda akan dapati saya tidak menjual barang atau ubatan atau makanan tambahan.
Saya akan cuba kembali menulis artikel tumbuhan herba sesegera mungkin. Saya agak sibuk pada bulan ini kerana semester pengajian menghampiri penghujungnya.
FYI saya telah mencuba pelbagai petua yang tidak bahaya. Tetapi ia tidak berkesan kerana puncanya berbeza. Jika sakit jumpa dahulu doktor dan pertimbangkan rawatan yang dicadangkan. Madu, lemon, sarang burung, belut dan lain-lain boleh dicuba selain ia memberi zat makanan. Jangan tinggalkan rawatan.
Sekian, selamat mencuba.
Mod mengemas sempena raya bermula.