SIRI 11: BENARKAH ESSENTIAL OIL (MINYAK AROMATERAPI) TIDAK BERMANFAAT?
Baru-baru ini tulisan wartawan yang menemubual saya bersama salah seorang lagi admin Ini Sains Beb dikeluarkan di muka depan dan ruang eksklusif Berita Harian. Saya akui tulisan tersebut berbunyi penuh kontroversi dan disebabkan ruang yang terhad dan demografik pembaca, tidak banyak fakta yang dapat dimasukkan.

Walaupun saya terkejut beruk cerita ini diletakkan di muka depan tetapi sejujurnya saya tidak terkejut dengan ‘tinjauan’ wartawan BH ke ruang media sosial mengenai penjualan dan promosi essential oil. Itu antara sebab utama kenapa saya mula menulis tentang essential oil di laman web saya dan di Facecook dan Instagram.

Ada sesetengah pihak terlalu ‘mengagungkan’ essential oil sehingga sampai tahap berhenti menggunakan ubat preskripsi, malah ada kes kematian dilaporkan salah satu laman web keibubapaan disebabkan essential oil digunakan untuk merawat gejala asma dan bukannya ubat preskripsi. Malah ada doktor menulis di media sosial menceritakan tentang pesakitnya yang menitikkan essential oil dalam nebuliser!
Saya telah menulis beberapa siri pengenalan tentang essential oil Anda boleh lihat di sini.
Benarkah essential oil tidak bermanfaat? Dalam banyak kajian essential oil didapati meningkatkan toleran pesakit terhadap rasa sakit dan mengurangkan permintaan terhadap ubat tahan sakit. Namun ada kajian menyebut tentang kemungkinan perbuatan mengurut mengurangkan rasa sakit tersebut dan bukannya essential oil jika dibandingkan antara pesakit yang hanya diberi urutan carrier oil dan pesakit yang diberikan urutan carrier oil dan essential oil.
Secara umumnya essential oil meningkatkan mood dengan meransang penghasilan hormon yang menyebabkan rasa gembira dan tenang. Jadi, dalam kebanyakan kes ia membantu anda rasa lebih baik, namun ia tidak merawat penyakit tersebut.
Fenomena yang membimbangkan adalah apabila ada sesetengah pihak mencadangkan essential oil dikapsulkan dan dimakan. Ada juga sesetengah pihak menitiskan essential oil dalam air minuman. Ada juga terus menitiskan dalam mulut. Ini perbuatan yang berbahaya jika anda menggunakan essential oil pekat tanpa dicairkan. Essential oil yang pekat yang didapati secara langsung dari alat pengekstrakan boleh mencairkan plastik. Sama seperti yang anda lihat pada plastik, essential oil boleh merengsa lapisan mukosa dan kulit anda. Essential oil ini sebenarnya minyak wangi yang diekstrak dari pokok. Adakah anda akan menitiskan minyak atar dalam makanan anda?
Jika sesuatu produk itu membuat dakwaan merawat penyakit, ia mesti didaftarkan sebagai ubat preskripsi. Anda boleh menyemak di ruangan carian produk di laman web NPRA iaitu www.npra.gov.my. NPRA adalah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan, dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengawalselia pendaftaran ubat.

Anda akan dapati hampir kesemua essential oil adalah bernotifikasi kosmetik. Notifikasi kosmetik adalah sejenis notifikasi sukarela. Maksudnya jika saya ingin menjual produk kosmetik, saya hanya perlu mengisi borang atas talian untuk mendapatkan nombor notifikasi dan saya boleh menjual setelah mendapatkan nombor notifikasi. Ia bertujuan sebagai pemantauan selepas penjualan dan bukan sejenis kelulusan. Tiada sebarang bentuk hasil analisa atau bukti perubatan yang perlu saya kepilkan bersama ketika membuat notifikasi kosmetik. Sebarang produk bawah kategori ini tidak boleh membuat dakwaan merawat penyakit.
Anda akan dapati ada essential oil yang didaftarkan sebagai ubat. Ia dengan jelas menunjukkan penggunaan ubat tersebut yang mengandungi essential oil untuk indikasi tertenru sahaja, dan bukannya merawat semua penyakit.
Apakah kegunaan lain essential oil? Essential oil banyak digunakan dalam pembuatan kosmetik, penjagaan diri (toiletries), menghalang dan mengusir serangga, minyak mengurut dan penyebar aromaterapi (aromatherapy diffuser).
Tahukah anda, antara krim penghalang gigitan nyamuk yang selamat digunakan ketika mengandung mengandungi bahan aktif citronellol. Citronellol adalah bahan kimia utama dalam essential oil yang diekstrak dari serai wangi (Cymbopogon nardus). Citronellol dianggap selamat untuk penggunaan dalam makanan.
Untuk kegunaan kanak-kanak bawah dua tahun, pastikan essential oil tidak mengandungi camphor. Camphor boleh menyebabkan kesan advers yang serius pada kanak-kanak antaranya sawan.
Walaupun essential oil ini diekstrak dari tumbuhan, ia berisiko menyebabkan kesan advers. Saya pernah menyebut sebelum ini terdapat laporan meta analisis kesan sampingan penggunaan essential oil antaranya contact dermatitis, sawan dan lain-lain. Kajian meta analisis adalah satu bentuk laporan penyelidikan gred tinggi untuk keputusan perubatan. Anda boleh baca tulisan di siri 10. Gunakanlah essential oil dengan hati-hati, larutkan dalam minyak pembawa (carrier oil), dan jangan makan essential oil.
Kesimpulannya, essential oil bukanlah tidak berguna. Tetapi ia bukan ubat atau pengganti ubat preskripsi. Ia tidak merawat asma, HFMD, autisme, ADHD, dan sakit-sakit lain. Jika anda dapati anda rasa lebih baik dengan menggunakan essential oil, ia sebenarnya menyebabkan anda rasa lebih selesa tetapi ia tidak merawat penyakit. Ada sesetengah penyakit adalah self limiting, ia akan baik sendiri walaupun anda tak makan ubat. Contohnya jangkitan viral yang biasa dan simptom HFMD yang ringan. Jangan tinggalkan ubat preskripsi.
Nota kaki : Senarai rujukan boleh didapati dari artikel siri terdahulu.