SIRI 11: Rennellia elliptica, POKOK GINSENG MALAYSIA?
Updated: 19 Mei 2019
1. Saya telah mengkaji pokok ini sejak tahun 2008, dan projek ini berakhir pada tahun 2015.
2. Rennellia elliptica, juga di kenali dengan nama mengkudu hutan, merupakan pokok di bawah keluarga Rubiaceae, sama seperti pokok mengkudu besar, mengkudu kecil, pokok haji samat dan lain-lain.
3. Pokok ini digelar ginseng Malaysia kerana akarnya yang gemuk dan berambut serta berwarna kuning. Persoalanya, adakah pokok ini kaya khasiatnya seperti ginseng?

4. Air rebusan mengkudu hutan digunakan secara tradisi bagi merawat sakit-sakit badan, merawat ibu dalam pantang dan digunakan sebagai ubat kuat lelaki [1]. Masyarakat orang asli Jakun menggunakan air rebusan akar pokok ini bagi merawat demam [2]
5. Kajian yang saya lakukan ke atas akar pokok ini menunjukkan ia kaya dengan sebatian kimia dari jenis antrakuinon, dan sedikit sebatian minority lain seperti triterpene, coumarin dan asid fenolik [3.4]

6. Saya telah menguji ekstrak akar dan sebatian kimia utama yang telah dipisahkan dari pokok ini terhadap sel kanser payudara, terhadap enzim alpha-glukosidase (sejenis enzim mengurai saccharide kepada glukosa), antioksidan, antimalarial dan juga kesan toksik ke atas hati.
7. Hasil pengujian menunjukkan ekstrak akar mengkudu hutan ini tidak merencat enzim alpha glucosidase, tidak menunjukkan anti-kanser walaupun ekstraknya menunjukkan antioksidan. Sebatian antrakuinon juga tidak merencat enzim alpha-glukosidase namun ia menunjukkan potensi sebagai antikanser [5]. Kaji demi kajian masih dilakukan terhadap sebatian kimia utama bagi melihat mekanisme ia bekerja bagi membunuh sel kanser [6]
8. Ekstrak mengkudu hutan ini aktif merencat protozoa Plasmodium falciparum di dalam piring petri. Plasmodium falciparum adalah sejenis mikroorganisme yang menyebabkan jangkitan malaria. Sebatian kimia utama di dalam mengkudu hutan juga didapati aktif antimalarial [3]
9. Kajian lanjutan mendapati sebatian kimia utama ini bersifat antimalaria dengan menghalang pembentukan pigmen malaria. Plasmodium falciparum akan membentuk pigmen malaria sebagai satu kaedah mengelakkan bahan buangan dari proses penguraian sel darah merah. Parasit malaria itu hidup di dalam badan manusia dengan menguraikan sel darah merah dan di dalam hati (liver) manusia [7]
10. Namun kajian toksisiti ke atas sel hati manusia mendapati, ekstrak mengkudu hutan ini berpotensi memberikan kesan toksik pada dos 218 mikrogram/L. Sebatian kimia utama yang aktif merencat pertumbuhan parasite malaria juga didapati memberikan kesan toksik pada hati pada dos yang rendah. Ia juga didapati tidak menunjukkan indeks selektiviti yang tinggi [8]
11. Kesimpulannya, tidak semua pokok herba itu selamat di makan. Walau bagaimanapun sebatian kimia utama boleh boleh dikaji untuk potensi yang lain. Penggunaan herba dalam amalan tradisi juga boleh memberikan kesan toksik
12. Inilah sebab kenapa anda tidak boleh sekadar baca tajuk dan abstrak sahaja. Penulisan akademik adalah berbeza dengan penulisan santai.
Sumber gambar pokok:
Ismail, N. H., Osman, C. P., & Alias, A. (2012). Alkaloids and Anthraquinones from Malaysian Flora. In V. Rao (Ed.), Phytochemicals - A Global Perspective of Their Role in Nutrition and Health: Intech.
Che Puteh Osman PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan: [1] Mat Salleh, K., & Latiff, A. (2002). Tumbuhan Ubatan Malaysia: Universiti Kebangsaan Malaysia & Kem, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
[2] Ismail, I., Linatoc, A. C., Mohamed, M., & Tokiman, L. (2015). Documentation of Medicinal Plants Traditionally Used by the Jakun People of Endau-Rompin (PETA) for Treatments of Malaria-Like Symptoms. Jurnal Teknologi, 77(31), 63-69.
[3] Osman, C. P., Ismail, N. H., Ahmad, R., Ahmat, N., Awang, K., & Jaafar, F. M. (2010). Anthraquinones with Antiplasmodial Activity from the Roots of Rennellia elliptica Korth. (Rubiaceae). Molecules, 15(10), 7218-7226.
[4] Osman, C. P., Ismail, N. H., Wibowo, A., & Ahmad, R. (2016). Two new pyranoanthraquinones from the root of Rennellia elliptica Korth. (Rubiaceae). Phytochemistry Letters, 16, 225-229. doi:http://dx.doi.org/10.1016/j.phytol.2016.04.019
[5] Osman, C. P., Ismail, N. H., Ahmad, R., Alitheen, N. B., Mohamad Ridwan, M. J., & Maakhmor, T. (2016). Antioxidant, antidiabetic and cytotoxic activities of Rennellia elliptica Korth. Jurnal Teknologi, 78(11), 201-206. doi:10.11113/.v78.8170
[6] Subramani, T., Yeap, S. K., Ho, W. Y., Ho, C. L., Osman, C. P., Ismail, N. H., . . . Alitheen, N. B. (2015). Nordamnacanthal potentiates the cytotoxic effects of tamoxifen in human breast cancer cells. Oncol Lett, 9(1), 335-340. doi:10.3892/ol.2014.2697
[7] Osman, C. P., Ismail, N. H., Ahmad, R., Widyawaruyanti, A., Tumewu, L., Choo, C. Y., & Ideris, S. (2017). Evaluation of rennellia elliptica as potential antiplasmodial herbal remedy. Jurnal Teknologi, 79(6), 37-43. doi:10.1111./jt.v79.9912