top of page

SIRI 17: BETUL KE KAYU MANIS CASSIA MENGANDUNGI COUMARIN YANG BAHAYA?

Updated: 19 Mei 2019


Cassia tu sebenarnya sejenis kulit kayu manis juga.


Dalam keluarga kulit kayu manis ada beberapa spesis. Setiap kulit kayu manis ini mengandungi cinnamaldehyde, iaitu sejenis sebatian kimia yang bertanggungjawab beri aroma kulit kayu manis. Lagi banyak sebatian kimia ini, lagi wangi produk kulit kayu manis. Kulit kayu manis juga mengandungi coumarin. Bezanya jenis kayu manis yang berbeza memberikan komposisi coumarin yang berbeza.


Imej dari Pixabay

Cinnamomum verum: orang panggil dia true cinnamon berasal dari Sri Lanka. Ia juga dikenali sebagai ceylon cinnamon. Bau dia lebih sedap sebab kandungan cinnamaldehyde iaitu sebatian kimia beraroma yang tinggi bebanding kulit kayu manis lain. Tetapi kandungan coumarin yang boleh beri kesan toksik pada hati adalah rendah berbanding spesis lain.


Cinnamomum cassia: orang panggil cassia cinnamon atau kulit kayu manis cassia. Ini pun sejenis kulit kayu manis jugak. Berasal dari China. Kandungan coumarin dia lagi tinggi dari true cinnamon iaitu sekitar 10% lebih tinggi tetapi dalam kuantiti kita makan masih selamat.


Cinnamomum burmanii: ini kulit kayu manis banyak di Indonesia dan Malaysia. Dia kurang wangi banding true cinnamon. Sebab kurang cinnamaldehyde. Tetapi kandungan coumarin dia tinggi berbanding cassia cinnamon dan ceylon cinnamon.


Kajian menunjukkan pengambilan coumarin melebihi 25 mg bagi setiap berat anjing memberikan toksik kepada anjing. Terdapat beberapa laporan pengambilan coumarin 50-7000 mg bagi setiap kg berat pesakit memberikan kesan toksik kepada hati.

Menurut The European Food Safety Authority (EFSA), had boleh terima (tolerable daily intake) pengambilan coumarin adalah 0.1 mg bagi setiap kg berat. Maksudnya untuk orang dewasa yang mempunyai berat badan 60kg, pengambilan coumarin sekitar 6 mg masih boleh diterima badan dan tidak memberikan kesan toksik kepada hati. Manakala German Federal Institute for Risk Assessment menetapkan had pengambilan coumarin kepada 0.5 mg bagi setiap kg berat badan. Atau 30 mg bagi manusia dengan berat 60 kg.


Menurut kajian terkini pada tahun 2018, terdapat sekitar 1-3.5 g coumarin bagi setiap kilogram true cinnamon dari India. Manakala di dalam cassia cinnamon terdapat sekitar 1.5- 7.0g coumarin dalam 1 kg cassia cinnamon. Kandungan coumarin dalam produk kulit kayu manis berbeza-beza mengikut usia, waktu penuaian, dan pemprosesan. Ada sesetengah kulit kayu manis mengandungi sehingga 15 g coumarin bagi setiap kg berat.


Mari kita buat matematik mudah.


Untuk masakan, katakanlah kita memerlukan 100 g kulit kayu manis (5 kulit kayu manis sederhana besar).


Dalam 100 g ada sekitar 1-7 mg kulit kayu manis. Ia masih pada paras yang dibenarkan oleh EFSA.


Tambahan pula, coumarin adalah sejenis sebatian kimia yang larut dalam pelarut organik separa polar. Kaedah kita memasak dengan menumis menggunakan minyak dan masukkan air selepas itu tidak akan mengekstrak coumarin 100% seperti dalam makmal. Maknanya kandungan coumarin adalah jauh lebih rendah dalam kari anda. Melainkan anda telan serbuk 5 batang kulit kayu manis, setiap hari, untuk tempoh yang lama, itu cerita lain. Di dalam pastri, jumlah kulit kayu manis bergantung berapa banyak anda letak.


Namun begitu, dinasihatkan ambillah kulit kayu manis secara berpada-pada, tidak kisah cassia cinnamon atau true cinnamon. Golongan yang mengambil ubat-ubat diabetes dan ubat hepaktoksik juga harus berhati-hati dari menggunakan kulit kayu manis secara berlebihan.


Kalau sapa kata makan true cinnamon selamat tak ada coumarin. Tipu. Semua ada coumarin. Banyak atau sikit saja. Kata kunci dia adalah kesederhanaan.


Makan sekadarnya. Tak payahlah buat larutan detoks kononnya pakai kulit kayu manis. Detoks mengarut, lama-lama ganggu fungsi hati pulak.


The dose makes the poison.


Rujukan:


Ananthakrishnan, R., Chandra, P., Kumar, B., Rameshkumar, K.B., 2018. Quantification of coumarin and related phenolics in cinnamon samples from south India using UHPLC-ESI- MS/MS method. International Journal of Food Properties, 1-8.


Lake, B. G (1999). Coumarin Metabolism, Toxicity and Carcinogenicity: Relevance for Human Risk Assessment. Food and Chemical Toxicology 37(4), 423-453

1,056 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page