SIRI 19: BETUL KE MADU BOLEH GANTI GULA PUTIH DI KALANGAN PESAKIT DIABETES?
Updated: 20 Mei 2019
Betul ke madu boleh diminum dengan banyak oleh pesakit diabetes berbanding gula biasa kerana madu mengandungi monosakarida?
Jawapannya salah.
Dalam madu ada jenis gula ringkas yang banyak iaitu glukosa dan fruktosa, sejenis monosakarida. Monosakarida ialah unit gula paling ringkas. Glukosa diperlukan oleh sel dalam badan kita bagi kelangsungan proses biokimia. Selain itu, madu juga mengandungi disakarida pada kuantiti yang kecil.

Apabila kita mengambil madu, glukosa ini terus diserap tanpa perlu dicerna oleh enzim pencernaan. Jadi pengambilan madu berlebihan dikalangan pesakit diabetes berisiko meningkatkan paras glukosa dalam darah.
Glukosa dan fruktosa secara relatifnya adalah lebih manis dari sukrosa atau gula putih biasa pada berat yang sama.
Berbeza dengan gula putih, ia merupakan jenis gula sukrosa iaitu sejenis disakarida yang terdiri dari dua unit monosakarida iaitu glukosa dan fruktosa yang diikat dengan ikatan glikosidik alfa. Enzim amilase dalam sistem pencernaan manusia akan mencerna ikatan glikosidik alfa dan menghasilkan glukosa dan fruktosa, monosakarida yang sama yang didapati dalam madu.

Jadi, madu atau gula, kedua-duanya berisiko meningkatkan gula dalam darah.
Namun madu ada kelebihan yang lain. Selain gula ringkas, madu kaya dengan asid organik dan mineral yang baik untuk kesihatan. Untuk orang yang sihat, penggunaan madu yang betul lebih baik dari gula putih. Bagi pesakit diabetes, anda mesti memantau pengambilan madu sama seperti anda memantau pengambilan gula putih.
Gula putih bukan satu-satunya punca pertambahan glukosa dalam darah. Sumber karbohidrat lain seperti nasi, tepung, dan kentang boleh meningkatkan kandungan glukosa dalam darah. Ini kerana makanan ini mengandungi kanji.
Kanji dalam makanan contohnya amylose dan amylopectin, terdiri dari beribu unit monosakarida glukosa, dan diikat dengan ikatan glikosidik alfa. Kanji adalah sejenis polisakarida. Kanji boleh dicerna oleh enzim amilase dalam sistem pencernaan manusia menghasilkan glukosa dan diserap dalam darah.

Sebab itu untuk mengawal gula darah darah, anda mesti mengawal pengambilan gula dalam bentuk madu, gula putih, nasi, tepung, kentang, gula perang dan lain-lain.
Namun jangan pula langsung meninggalkan makanan karbohidrat. Anda memerlukan karbohidrat bagi membekalkan glukosa kepada sel badan untuk pelbagai proses biokimia tubuh.
PS: Tahukah anda kenapa madu tidak membeku apabila anda memasukkan madu dalam peti sejuk? Ini kerana madu asli mempunyai takat beku -20C. Bandingkan dengan air putih yang mempunyai takat beku 0 C. Jika madu anda membeku dalam peti ais biasa, kemungkinan ia telah dicampur dengan air atau gula putih.