SIRI 19: HALBA DAN KHASIAT PERUBATAN
Updated: 19 Mei 2019
PENGENALAN
1. Halba, atau nama saintifiknya Trigonella foenum-graecum L, merupakan ahli keluarga Leguminosae. Ia dikatakan berasal dari Timur Tengah dan mula diperkenalkan ke Tamadun China ketika Dinasti Tang. Halba digunakan untuk pelbagai masalah kesihatan di dalam perawatan Traditional Chinese Medicine dan Ayurveda antaranya merawat kencing manis, mengurangkan kolesterol dan juga digunakan sebagai ‘milk booster’ di Timur Tengah.

2. Carian menggunakan kata kunci ‘fenugreek’ memberikan lebih 5000 kertas kajian. Saya telah memperincikan carian dengan memilih kombinasi kata kunci ‘fenugreek’ dan ‘meta analysis’ dan ‘fenugreek’ dan ‘RCT’. Saya menemui beberapa artikel menarik untuk dibincangkan.
3. Ekstrak halba kaya dengan sebatian kimia dari jenis saponins dan flavonoids glycosides. Kajian pemetaan sebatian kimia (chemical profiling) mendapati terdapat lebih 57 sebatian kimia jenis saponins dan lebih 19 sebatian kimia jenis flavonoids dikenalpasti di dalam ekstrak halba. Komposisi saponins adalah sekitar 6% dan sekitar 1.4% flavonoids glycosides di dalam halba [1]
KAJIAN META ANALISIS PENGGUNAAN HALBA SEBAGAI GALACTAGOGUE (MAKANAN MILK BOOSTER).
4. Kajian meta analisis dari Malaysia menghimpunkan 4 kajian RCT (randomized control trial) dari Indonesia, Mesir, Iran dan Turki. Subjek kajian diberi teh halba atau ekstrak halba manakala kumpulan lain tidak diberikan apa-apa milk booster. Terdapat kumpulan kajian membandingkan penggunaan halba, kurma dan Coleus amboinicus Lorr (CA)
5. Penyelidik melaporkan pemberian kapsul halba atau teh halba hanya meningkatkan pengeluaran susu sebanyak 17.79% berbanding kumpulan yang tidak diberikan apa-apa makanan tambahan.
6. Mereka juga mendapati penggunaan kurma dan CA lebih baik berbanding halba. Penggunaan kurma dan CA meningkatkan pengeluaran susu sebanyak 35%.
7. Kajian berkenaan juga tidak menceritakan kesan sampingan penggunaan halba sebagai milk booster. Namun terdapat beberapa kajian lain penggunaan halba boleh menyebabkan muntah-muntah, mabuk (nausea), mengurangkan kandungan glukosa darah, cirit birit, pendarahan gastrointestinal, meningkatkan kadar denyutan jantung dan bengkak susu. Ia juga boleh memberi kesan kepada pesakit asma. Oleh itu, amat penting halba di ambil pada dos selamat. Masih belum ada kajian sebatian kimia aktif halba yang mungkin dikeluarkan di susu ibu.
KAJIAN META ANALISIS PENGGUNAAN HALBA BAGI MERAWAT DIABETES DAN KOLESTEROL TINGGI.
8. Kajian meta analisis oleh penyelidik dari China mengambil 10 kertas kajian RCT dengan sampel kajian seramai 1173 subjek yang mengidap penyakit diabetes jenis II dalam meta-analisis mereka.
9. Penyelidik mendapati pengambilan median dos 6.3g bersama ubat diabetes mengurangkan FBG sebanyak 0.84 mmol, 2hBG sebanyak 1.3 mmol, HbA1c 1.16 mmol, TG sebanyak 0.27 mmol, dan TC sebanyak 0.3 mmol. Tiada perbezaan signifikan antara kumpulan kawalan (ubat diabetes sahaja) dan kumpulan yang menerima ubat kencing manis dan halba bagi kandungan LDL dan HDL. Walaupun terdapat kesan pengurangan TG dalam laporan penyelidikan, terdapat kemungkinan ‘biased publication’ untuk kes berkenaan
10. Tiada kesan toksik kepada hati dan buah pinggang dilaporkan melainkan ketidakselesaan sistem gastrointestinal yang sedikit.
11. Penggunaan halba mengurangkan kandungan glukosa dalam darah dengan menggalakkan penghasilan insulin oleh pankreas, dan menghalang pengumpulan lemak di sel Beta.
KESIMPULAN
12. Penggunaan halba sebagai milk booster tidak menunjukkan kesan signifikan berbanding kumpulan yang tidak diberikan halba. Malah kurma menunjukkan kesan yang lebih baik. Selain itu, ketiadaan maklumat keselamatan terhadap bayi perlu diberi perhatian oleh mana-mana ibu yang ingin mencuba halba sebagai milk booster.
13. Penggunaan halba didapati memberikan kesan signifikan dalam mengawal penyakit diabetes dan mengurangkan pesakit pra-diabetes dari berkembang kepada diabetes. Namun, kekangan sampel kajian yang kecil di samping tiada standardisasi dos, tempoh rawatan dan kaedah penyediaan halba, maka pesakit hendaklah berhati-hari dan hendaklah mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu.
14. Terdapat satu laporan dalam bahasa perancis (saya hanya baca abstrak bahasa inggeris, kalau sesiapa pandai bahasa perancis boleh tolong terjemah untuk saya) melaporkan penggunaan halba ketika trimester pertama menyebabkan janin mengalami kecacatan neural tube seperti hydrocephalus dan spina bifida. Ibu hamil hendaklah berhati-hati menggunakan halba dalam kuantiti yang besar. (Setakat masak kari dan nasi dagang tu tak adalah beri kesan kecacatan neural tube).
15. Maklumat penggunaan keselamatan halba boleh juga di rujuk di laman sesawang ini: https://www.m.webmd.com/vita…/…/ingredientmono-733/fenugreek
Che Puteh Osman PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Gong, J., Fang, K., Dong, H., Wang, D., Hu, M., & Lu, F. (2016). Effect of fenugreek on hyperglycaemia and hyperlipidemia in diabetes and prediabetes: A meta-analysis. Journal of Ethnopharmacology, 194, 260-268. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2016.08.003
Khan TM, Wu DB-C, Dolzhenko AV. Effectiveness of fenugreek as a galactagogue: A network meta-analysis. Phytotherapy Research. 2017;1–11. https://doi.org/10.1002/ptr.5972
Wang, J., Jiang, W., Liu, Z., Wang, J., Fu, T., & Wang, Y. (2017). Analysis and identification of chemical constituents of fenugreek by UPLC-IT-MS n and UPLC-Q-TOF-MS. Chemical Research in Chinese Universities, 33(5), 721-730. doi:10.1007/s40242-017-7136-4