Dr Che Puteh Osman
SIRI 2: 15 TIPS KESELAMATAN DI RUMAH
Saya mengajar salah satu topik keselamatan di dalam satu matapelajaran yang saya ajar di universiti. Topik ini namanya keselamatan dan kesihatan.
Safety atau keselamatan didefinisikan sebagai mengelakkan kemalangan dan nyaris kemalangan atau near misses. Terdapat 3 jenis kemalangan iaitu:
a) Kemalangan major - mengakibatkan kematian, hilang anggota badan dan kemusnahan premis.
b) Kemalangan minor - mengakibatkan pekerja perlu mendapatkan rawatan perubatan dan kerosakan tempat kerja.
c) Keadaan berbahaya (dangerous occurrences) - mengakibatkan kerosakan premis.
Kemalangan disebabkan oleh pelbagai faktor berbahaya atau hazard. Terdapat 8 kategori hazard antaranya dari sumber kimia, fizikal, biologi, psikososial seperti gangguan seksual, mekanikal, persekitaran, tempat kerja dan ergonomik.
Kemalangan berlaku disebabkan dua sebab utama iaitu:
a) Keadaan tidak selamat seperti menghalang laluan kecemasan, benda tajam tidak diletakkan di tempat selamat, lantai licin dan lain-lain.
b) Perbuatan berbahaya contohnya tidak meletakkan air panas di tempat selamat jika mempunyai anak kecil.

Prinsip asas keselamatan ialah menghilangkan benda berbahaya dari kawasan rumah atau tempat kerja. Jika benda berbahaya tidak dapat dielakkan, pendedahan pada bahan berbahaya perlu dikurangkan dan seterusnya pemakaian alat pelindung diri (personal protective equipment, PPE).
Anda berjaya membaca sampai di sini? Tahniah. Kadang-kadang pelajar saya sudah tertidur sebelum sampai sini hehe.
Dalam menilai keadaan berbahaya, perlu ada PENILAIAN RISIKO atau RISK ASSESSMENT.
Penilaian risko ada 3 langkah :
a) Menilai situasi berbahaya dan sumbernya
b) Menilai tahap bahaya adakah sangat berbahaya, berbahaya, atau berisiko.
c) Mengambil langkah menghilangkan sumber bahaya, atau mengurangkan akses kepada sumber bahaya atau mencadangkan penggunaan PPE.
Jadi tuan puan boleh menilai tahap risiko kemalangan di rumah tuan puan. Saya ingin memberikan 15 tips keselamatan di rumah.
1. Elakkan tingkap di rumah di grill mati. Pasang grill yang boleh dibuka untuk memudahkan jalan keluar jika berlaku kebakaran.
2. Jika menggunakan dapur gas, pastikan pengudaraan dapur dalam keadaan baik. Periksa paip gas anda setiap bulan dan kepala gas bagi mengelakkan kebocoran gas memasak. Jika terbau gas, buka tingkap dan pintu dan jangan menghidupkan dapur gas sehingga punca bau gas dikenalpasti.
3. Jika ada anak-anak kecil, pastikan bucu-bucu tajam perabot ditutup dengan guard bagi mengelakkan kecederaan ketika kanak-kanak berlari.
4. Pastikan perabot di’anchor’ ke dinding bagi mengelakkan ia jatuh terkena anak kecil yang suka memanjat. Kaedah anchor adalah memasang sendi yang di drill ke dinding. Perabot berat yang menghempap anak kecil boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
5. Pastikan televisyen anda di pasang ke dinding jika ada anak kecil. Ini bagi mengelakkan TV LED anda menimpa anak kecil yang suka menyentuh dan memanjat televisyen.
6. Pastikan skirting tile di lantai rumah anda tidak tajam. Jika anak-anak berlari dan terjatuh pada tile boleh sebabkan kecederaan. Anak saya kena 3 jahitan akibat terjatuh kena tile skirting masa berumur setahun.
7. Pastikan frame pintu di bilik tidak tajam. Anak-anak berlari berisiko tercedera terkena frame pintu yang tajam. Ya anak saya kena jahit lagi akibat terlanggar frame pintu dibuat dari jenis kayu ketika berumur 3 tahun.
8. Pastikan pisau dan gunting memasak dan alatan menjahit di letak di tempat yang selamat dan tidak dicapai oleh kanak-kanak. Namun jangan letak di kabinet dapur atas kepala anda. Bimbang jatuh atas kepala anda pula.
9. Pastikan pintu bilik air sentiasa ditutup. Pastika tiada air bertakung dalam baldi bagi mengelakkan kanak-kanak bermain. Jika ada pastikan pintu dikunci dari luar bagi mengelakkan kanak-kanak masuk dari bermain.
10. Sembunyikan racun perosak, sabun pencuci dan bahan kimia di tempat yang tidak dicapai oleh kanak-kanak
11. Selain itu, sila periksa mesin basuh anda sebelum mula mencuci. Kedengaran luar biasa tetapi terdapat kes kanak-kanak ada di dalam mesin basuh ketika ibunya menghidupkan mesin basuh.
12. Pastikan anda tidak menggunakan alas meja jika anda ada anak kecil. Mereka cenderung menarik alas meja dan bimbang makanan dan minuman atas mena jatuh dan menimpa mereka.
13. Pastikan bilik air sentiasa bersih dan tidak licin. Ia berbahaya dan boleh menyebabkan anda atau ibu bapa atau anak-anak kecil terjatuh. Selain itu, pertumbuhan mould atau kulat merembeskan toksin tertentu yang mungkin berbahaya.
14. Pastikan pengudaraan rumah anda dalam keadaan yang baik. Habuk bukan sahaja bahaya pada yang mempunyai resdung atau asma, ia tidak baik untuk kesihatan jangka masa panjang.
15. Ketika memasak pastikan jarak anak-anak anda terutama apabila menggunakn minyak yang banyak atau air panas.
Sekian, semoga bermanfaat.