top of page

SIRI 2: BETUL KE ESSENTIAL OIL HALIA MENURUNKAN BERAT BADAN?

Updated: 19 Mei 2019

Halia atau nama saintifiknya Zingiber officinale Roscoe merupakan ahli keluarga Zingiberaceae. Terdapat pelbagai kegunaan halia dalam masakan dan pelbagai dakwaan kesihatan. Terbaru ada yang bertanya betul ke minyak pati halia boleh menurunkan berat badan dan menyelesaikan masalah obese?


Minyak pati (essential oil) halia mengandungi berpuluh sebatian kimia yang bertanggungjawab memberikan aroma halia. Zingiberene, sejenis sesquiterpene merupakan sebatian kimia major dalam minyak pati halia.


Secara umumnya minyak pati hanya boleh diekstrak guna kaedah penyulingan wap, penyulingan hidro, mikrowave dan kaedah lain yang spesifik untuk essential oil sahaja. Ia tidak boleh diektrak dengan kaedah cold pressed, kisar, rendaman atau rebusan. Ia berbentuk minyak kerana ia memang cecair pada suhu bilik.


Minyak pati tidak larut dalam air. Ia melarutkan plastik. Ia merengsa kulit dan saluran pernafasan jika digunakan tanpa dicairkan. Minyak pati digunakan dalam aromaterapi, perasa makanan, dan minyak wangi. Ia berwarna kuning jernih, keemasan mahupun putih jernih. Kebiasaannya hanya perlu guna beberapa titik dilarutkan dalam pelarut. Kalau guna air sebagai pelarut, ia akan terapung pada permukaan air. Kalau korang nampak dakwaan minyak pati simpan dalam bekas plastik, berwarna kuning, itu bukan minyak pati. Itu jus.




Carian ringkas di pangkalan jurnal berindeks, saya menemui satu artikel kajian review sistemik potensi halia menurunkan berat badan. Terdapat 4 kajian pilot klinikal berskala kecil melaporkan kesan penurunan berat badan dari pengambilan halia. Penyelidik melaporkan subjek sihat yang mengambil ekstrak halia sebanyak 2g mengurangkan berat badan dan pengambilan jus halia mengandungi 2g halia mengurangkan selera makan. Dalam kajian lain pemberian ekstrak 3 g selama 8 minggu ke atas pesakit diabetes tidak menunjukkan kesan perubahan berat badan. Pemberian 1g halia kepada pesakit peritonial dialisis juga tidak menunjukkan kesan signifikan. Pemberian ekstrak halia kepada pesakit fatty liver disease juga tidak menunjukkan penurunan berat badan yang signifikan.


Manakala pengujian ke atas tikus menunjukkan sebatian kimia dari halia iaitu 6-gingerol yang diberikan kepada tikus menurunkan berat badan tikus obese. Secara purata 25-75 mg/kg berat tikus atau 5-15 mikrogram per mL sebatian kimia tersebut diperlukan untuk memberikan kesan tersebut. Jika diterjemahkan kepada berat manusia sekitar 75 mg- 3.7 g sebatian kimia tersebut diperlukan.


Mekanisme bagaimana sebatian kimia ini bertindak adalah dengan thermogenesis, meningkatkan lipolysis dan mengurangkan pengumpulan lemak. Selain itu dikatakan mengawal selera dan merencat enzim lipase di usus kecil. Kajian mekanisme halia mengurangkan berat badan ini hanya ke atas tikus. Bukan manusia.


Kebanyakan kajian ini menggunakan sebatian kimia yang telah dimurnikan dari halia BUKAN HALIA itu sendiri. Dianggarkan halia yang diekstrak menggunakan METANOL, mengandungi sekitar 60 mg 6-gingerol bg setiap gram ekstrak metanol halia. Ironinya kandungan 6-gingerol dalam essential oil adalah jauh lebih rendah.


Pengguna harus berhati-hati jika ingin mengambil ekstrak halia atau halia dalam kuantiti yang besar. Ini kerana terdapat beberapa laporan kontraindikasi atau kesan tindak balas gingerol dengan ubat yang diambil. Antaranya warfarin, NSAIDs dan antibiotik.


Bagaimana pula dengan minyak pati halia? Hanya satu kajian ke atas tikus berbanding kajian menggunakan halia itu sendiri.


Siapa kata herba bebas kimia?


Che Puteh Osman PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan Alex C. Chin, Leland B. Baskin, Chapter 19-Effect of Herbal Supplement–Drug Interactions on Therapeutic Drug Monitoring, Editor(s): Amitava Dasgupta, Therapeutic Drug Monitoring, Academic Press, 2012, Pages 417-445, ISBN 9780123854674, https://doi.org/10.1016/B978-0-12-385467-4.00019-1.


Ebrahimzadeh Attari V, Malek Mahdavi A, Javadivala Z, Mahluji S, Zununi Vahed S, Ostadrahimi A. A systematic review of the anti‐obesity and weight lowering effect of ginger (Zingiber officinale Roscoe) and its mechanisms of action. Phytotherapy Research. 2018;32:577–585. https://doi.org/10.1002/ptr.5986


Rai, S. , Mukherjee, K. , Mal, M. , Wahile, A. , Saha, B. P. and Mukherjee, P. K. (2006), Determination of 6‐gingerol in ginger (Zingiber officinale) using high‐performance thin‐layer chromatography. J. Sep. Science, 29: 2292-2295. doi:10.1002/jssc.200600117

694 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page