SIRI 20: BETUL KE GULA DALAM MADU LEBIH SIHAT DAN SELAMAT BERBANDING GULA PUTIH?
Updated: 20 Mei 2019
Terdapat salah faham yang mengatakan pesakit diabetes boleh madu dengan banyak kerana ia gula ringkas. Benarkah dakwaan tersebut?
Sebelum saya membincangkan dengan lebih lanjut apa yang terjadi kepada gula apabila dicerna oleh tubuh, mari kita kenal dahulu jenis-jenis gula.
a) monosakarida (gula paling ringkas atau mononer)
b) disakarida (ada dua monosakarida)
c) oligosakarida (3-10 monosakarida - ada dalam sayuran dan buah-buahan)
d) polisakarida (kanji, selulose, glikogen- terdiri dari beribu unit glukosa).

Monosakarida
Monosakarida adalah bentuk gula paling ringkas dan hanya ada satu molekul gula. Contoh monosakarida adalah glukosa dan fruktosa. Monosakarida glukosa akan diserap terus oleh badan tanpa perlu kepada kehadiran enzim pencernaan. Contoh cecair glukosa secara intravena, kurma dan madu. Di dalam madu terdapat sekitar 30-40% glukosa dan 30-40% fruktosa. Di dalam kurma, terdapt sekitar 40% glukosa dan 20% fruktosa.

Disakarida
Disakarida adalah sejenis gula yang mengandungi dua monosakarida yang diikat dengan ikatan glikosidik alfa contohnya gula putih. Enzim amilase dalam lidah dan sistem pencernaan akan pecahkan ikatan glikosidik kepada dua monomer. Contohnya gula putih adalah sejenis sejenis sukrosa, dan apabila dicerna oleh enzim amilase ia akan menghasilkan dua monomer glukosa dan fruktosa. Glukosa seterusnya akan diserap oleh sel dalam badan.

Oligosakarida
Oligosakarida adalah sejenis karbohidrat yang mengandungi 3-10 monosakarida. Sesetengah oligosakarida tidak dicerna oleh enzim manusia. Sumber olgosakarida banyak dalam sayuran dan buah-buahan. Contoh oligosakarida adalah raffinose, tachyose dan inulin.

Polisakarida
Polisakarida adalah sejenis karbohidrat mengandungi lebih 10 monosakarida dan kadang-kadang melebihi ribuan unit monosakarida. Ada polisakarida yang boleh cerna. Ada yang tidak boleh cerna. Hanya polisakarida yang diikat ikatan alfa boleh dicerna contohnya kanji di dalam nasi. Walaupun nasi, dan selulos (dalam tumbuhan) terdiri dari beribu unit glukosa, hanya kanji boleh dicerna kerana ia diikat dengan ikatan glikosidik alfa. Selulos tidak boleh dicerna oleh sistem pencernaan manusia kerana beribu unit glukosa dalam selulos diikat dengan ikatan glikosidik beta dan manusia kekurangan enzim pencernaan untuk mencerna ikatan glikosidik beta.

Glukosa dan pesakit diabetes
Ha, panjang kan? Ini baru cakap cara dicerna. Belum cakap tentang pengambilan glukosa oleh sel adipocyte dan bagaimana pengambilan gula terganggu apabila menghidap diabetes. Masalah pesakit diabetes bukan tidak boleh hadam gula kompleks. Masalah mereka pengambilan gula oleh sel terganggu akibat kerintangan insulin. Jadi tidak kisah gula dari bentuk apa pun apabila dicerna ia jadi glukosa. Isu di sini adalah sel pesakit diabetes gagal mengangkut gula dalam darah dengan efisien dan menyebabkan kandungan gula dalam darah terlalu tinggi.
Hendak betul-betul bercakap tentang isu ni kena ada ahli kimia, pakar biokimia, farmakologi, dietician, teknologi makanan dan doktor perubatan.
Berapa banyak gula dalam madu dan gula putih?
1 gram madu ada sekitar 30-40% glukosa dan 30-40% fruktosa. Satu gram gula putih ada 50% glukosa dan 50% fruktosa. Bezanya adalah madu dalam bentuk monosakarida dan terus diserap ke salur darah. Gula putih memerlukan enzim amilase dalam mulut untuk jadikan ia glukosa dan fruktosa. Kadar ia diserap adalah sama, tiada beza.
Kurangkan manis dalam makanan, tambahkan manis dalam senyuman. Gittew!