SIRI 20: TAMBAH WARNA DALAM MAKANAN, TAMBAH PHYTONUTRIENT UNTUK KESIHATAN.
Updated: 19 Mei 2019
Warna pada makanan disebabkan kehadiran phytonutrient. Phytonutrients merujuk kepada nutrisi yang dibekalkan oleh phytochemical. Apakah phytochemical? Phytochemical adalah sebatian kimia semulajadi yang dihasilkan oleh tumbuhan melalui metabolisme sekunder. Phytochemicals ada dalam komposisi yang rendah dalam tumbuhan.

Contohnya brokoli. Apakah nutrisi yang ada pada brokoli. Brokoli atau nama saintifiknya Brassica oleracea var. italica kaya dengan zat kalsium, potassium, zat besi, zink, fosforus, vitamin C dan vitamin A
Tahukah anda selain nutrisi penting, brokoli juga mengandungi pelbagai phytochemical seperti sebatian glucosinolates yang merupakan agen antikanser dan pencegah kanser yang baik?
Selain brokoli, sayuran lain yang kaya dengan glucosinolates adalah sayuran dari keluarga Brassica antaranya sawi, kobis bunga, pak choy, brokoli, kale dan salad. Kandungan glucosinolates berbeza-beza mengikut penggunaan baja sulfur dan nitrogen dan usia ketika sayur dipetik.

Phytonutrients tidak memberikan kebaikan yang diperlukan untuk kesihatan tubuh badan seperti yang dilakukan oleh vitamin dan minerals atau zat utama seperti karbohidrat dan protein. Sebaliknya phytonutrients melengkapkan keperluan tubuh untuk mengekalkan kesihatan yang baik seperti bertindak seperti agen antikanser, antioksidan dan lain-lain. Phytonutrient ini hadir dalam pelbagai bentuk dalam banyak makanan segar kita.
Contohnya sayur berwarna kaya dengan carotenoid dan anthocyanin. Anda tidak perlukan sejenis sayur atau sayuran tertentu sahaja untuk pengambilan phytonutrients ini. Pelbagai makan kita sudah mengandungi phytonutrients ini. Tidak semestinya makanan itu mesti diimport. Contohnya sayuran dan buahan sitrus kaya carotenoid dan anthocyanin. Buah tempatan pun kaya dengan phytonutrients ini.
Adakah disebabkan potensi ini phytonutrients ini kita memerlukan pengambilan diet khas dan makanan tambahan? Jawapannya tidak. Sebab kita hanya memerlukan phytonutrients ini dalam kuantiti sangat kecil berbanding nutrisi utama seperti karbohidrat dan protein. Pengambilan berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit lain.
Misalannya isoflavone di dalam soya. Ia memberikan kebaikan pada pengambilan kecil seperti antioksidan dan antikanser. Namun pengambilan berlebihan meningkatkan risiko penyakit tertentu seperti fibroid dan kanser kerana ia bersifat estrogenik.
Resveratrol, sejenis stilbenoid yang boleh didapati dalam anggur, beri dan kekacang, merupakan agen antioksidan yang baik pada jumlah yang kecil. Pada kuantiti yang besar ia boleh mengganggu fungsi buah pinggang.


Buah-buahan tertentu yang kaya dengan flavonoids seperti kaempferol, apigenin dan naringenin baik diambil dalam bentuk hidangan seharian. Namun, jika diambil pada dos tinggi ia boleh menyebabkan interaksi ubat. Oleh itu, jika anda sedang menjalani regim rawatan seperti pengambilan ubat secara tetap dan kemoterapi, jangan mengambil phytonutrient tertentu yang dipekatkan atau dalam kuantiti yang besar tanpa mendapatkan nasihat doktor merawat terlebih dahulu.

Phytonutrients ini kebiasaannya bekerja secara sinergistik. Kesan kebaikan mereka bukan datang dari satu bahan kimia sahaja tetapi dari tindakbalas beberapa sebatian kimia dalam tumbuhan.
Ingin sihat? Pelbagaikan makanan anda, tambah warna dalam makanan, dan makanlah suku-suku separuh. Anda tidak memerlukan makanan khas tertentu umtuk sihat.
Rujukan:
Carian nutrisi makanan. https://ndb.nal.usda.gov/ndb/search/list
Benzie, I. F. F., & Choi, S.-W. (2014). Chapter One - Antioxidants in Food: Content, Measurement, Significance, Action, Cautions, Caveats, and Research Needs. In J. Henry (Ed.), Advances in Food and Nutrition Research (Vol. 71, pp. 1-53): Academic Press.
Cartea, M. E., & Velasco, P. (2008). Glucosinolates in Brassica foods: bioavailability in food and significance for human health. Phytochemistry Reviews, 7(2), 213-229. doi:10.1007/s11101-007-9072-2
Chow, H.H., Garland, L.L., Hsu, C.H., Vining, D.R., Chew, W.M., Miller, J.A., Perloff, M., Crowell, J.A., Alberts, D.S., 2010. Resveratrol modulates drug- and carcinogen-metabolizing enzymes in a healthy volunteer study. Cancer Prev.Res.3,1168–1175.
de Boer, A., van Hunsel, F., & Bast, A. (2015). Adverse food–drug interactions. Regulatory Toxicology and Pharmacology, 73(3), 859-865. doi:https://doi.org/10.1016/j.yrtph.2015.10.009
Liu, R. H. (2004). Potential Synergy of Phytochemicals in Cancer Prevention: Mechanism of Action. The Journal of Nutrition, 134(12), 3479S-3485S. doi:10.1093/jn/134.12.3479S