top of page

SIRI 20: TUMBUHAN HERBA DAN PENDEKATAN PERUBATAN HOLISTIK: SATU PANDANGAN

Updated: 19 Mei 2019

PENGENALAN


1. Tumbuhan herba boleh didefinisikan sebagai tumbuhan yang mempunya potensi perubatan, sama ada di saring di makmal atau melalui petua yang diturunkan sejak zaman berzaman. Ethnobotani atau ethnoperubatan merupakan satu pendekatan yang digunakan oleh penyelidik kini bagi mengenalpasti potensi tumbuhan untuk kajian lanjutan bagi tujuan perubatan.


2. Perubatan Melayu lama banyak merujuk kepada tulisan lama seperti ‘Mujarabat Melayu’, ‘Tajul Muluk’, ‘Tajus as Salatin’ dan ‘Surat Tib Ubat’. Jika diteliti penulisan lama ini, kaedah penyediaan tumbuhan atau campuran tumbuhan, kaedah penanaman dan penuaian adalah sangat spesifik bertujuan mengekstrak sebatian kimia tertentu.


3. Kaedah ini sudah tidak lagi dikenali dikalangan orang awam kerana kemajuan teknologi perubatan telah memudahkan masyarakat mendapatkan rawatan.


PENDEKATAN PERUBATAN HOLISTIK


4. Saya sering membaca masyarakat kita dimomokkan dengan kaedah perubatan holistik dengan mengamalkan sesetengah persediaan herba.


5. Kaedah holistik merujuk kepada pendekatan kepada gaya hidup sihat dan tidak memfokuskan kepada bahagian badan tertentu. Ia juga merujuk kepada kaedah kesihatan yang melihat individu secara keseluruhan, mental, fizikal, rohani dan jasmani.



6. Adakah herba bersifat holistik? Herba mengandungi campuran sebatian kimia semulajadi dari pelbagai kelas. Sebahagian sebatian kimia ini telah dikenalpasti, dan dikaji sehingga peringkat klinikal dan dikomersilkan sebagai ubat preskripsi.


7. Menurut Newman and Craig (2016), lebih 55 % ubat preskripsi berasal dari tumbuhan. Contohnya, metformin, ubat diabetes yang ditemui dalam Galega officinalis. Sejak tahun 1981-2014, dari 52 ubat diabetes yang diperkenalkan, 25 daripadanya adalah dari sumber tumbuh-tumbuhan manakala 23 bersumberkan makromolekul biologi seperti protein dan peptide yang dimurnikan dari cell line, organisme atau kaedah bioteknologi.


8. Apabila membicarakan potensi tumbuhan tertentu sebagai pencegah dan ubat kepada sesuatu penyakit, kita melihat kepada apakah kandungan sebatian kimia semulajadi dalam tumbuhan tersebut. Ubatan preskripsi kebiasaanya mengandungi satu atau beberapa sebatian kimia aktif yang dikenalpasti dengan kuantiti tertentu. Setiap bahan kimia aktif ini dikenali kesan ke atas penyakit, dos berkesan, metabolisme, mekanisme dan lain-lain.


9. Jika kita bandingkan dengan tumbuhan, ia mengandungi pelbagai sebatian kimia semulajadi. Sesetengah tumbuhan seperti halba, mengandungi hampir 100 sebatian kimia semulajadi yang dikenalpasti sehingga kini. Setiap sebatian kimia ini mempunyai sasaran penyakit yang berbeza.


10. Seperti ubatan preskripsi yang boleh memberikan kesan sampingan kerana ia mempunyai beberapa target sasaran di dalam tubuh, tumbuhan berubat juga bersifat sedemikian. Jika ia boleh mengubati pada satu target penyakit, ia juga boleh memberi kesan sampingan. Ia mungkin memberi kesan penyembuhan pada sel yang sakit namun boleh memudaratkan sel yang sihat. Jika kita beranggapan sebatian kimia yang sama mempunyai pelbagai sasaran sel penyakit. Di sinilah pentingnya kajian selektiviti, di mana ubat harus pandai memilih untuk mengubati sel sakit tetapi kurang atau tidak memudaratkan sel sihat. Ia dikenali sebagai indeks selectivity atau indeks terapeutik.


PEMBANGUNAN UBATAN BERASASKAN PERSEDIAAN TRADISIONAL


11. Oleh itu, maklumat yang sangat penting dalam persediaan herba iaitu standardisasi sebatian kimia aktif, dos selamat, dos toksik, interaksi ubat, mekanisme dan metabolisme herba. Persediaan herba yang telah melalui kesemua pengujian ini sehingga peringkat klinikal boleh diluluskan sebagai ubat mengikut pihak berkuasa tempatan. Di Amerika Syarikat, persediaan herba boleh didaftarkan di bawah kategori botanical drug dan melalui proses semakan yang memerlukan maklumat di atas.


12. Semenjak kategori botanical drug diwujudkan pada tahun 2011, 9 persediaan herba telah diluluskan sebagai ubat ‘over the counter’. Persediaan herba ini melalui proses kawalan kualiti yang ketat, serta memerlukan ujian klinikal kepada manusia. Rujuk garis panduan ‘Botanical Drug Development’ di bawah.


13. Perkataan ‘herba’, ‘natural’, ‘tradisional’, ‘semulajadi’, dan ‘holistik’ tidak menjadikan sesuatu persediaan tradisional itu selamat dan berkesan. Ia masih memerlukan pengujian pra klinikal dan pengujian klinikal kepada manusia dan memerlukan data keberkesanan dan keselamatan yang lengkap.


KESIMPULAN


14. Jika kita menganggap kaedah perubatan moden tidak holistik ia sangat mengelirukan. Seorang pesakit diabetes bukan sahaja diberi ubatan, malah diberi nasihat pemakanan dan gaya hidup, dipantau kesihatan fungsi hati dan buah pinggang, mata, telinga dan juga diberi kaunseling. Bukankah ini bersifat holistik? Mengambil kira semua aspek kesihatan dan gaya hidup dan bukan sekadar ingin merangsang pankreas menghasilkan insulin?


15. Botanical drug atau persediaan herba ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Untuk membolehkan ia diguna dengan selamat, ia harus melalui proses pengujian sama seperti untuk berasaskan satu dan beberapa sebatian kimia aktif. Maklumat dari pharmacopoeia atau tulisan dari kitab lama boleh dikaji dan disediakan dengan selamat.


16. Herba tidak bebas bahan kimia. Sebatian kimia dalam herba, mungkin berkesan atau tidak. Mungkin selamat mungkin juga tidak. Jika anda didiagnosa dengan penyakit kronik dan kritikal, dapatkan nasihat pakar perubatan dan ubah gaya hidup anda. Anda mampu mengubahnya.


Rujukan:


Ahn, K. (2017). The worldwide trend of using botanical drugs and strategies for developing global drugs. BMB Reports, 50(3), 111–116. http://doi.org/10.5483/BMBRep.2017.50.3.221


Newman, D. J., & Cragg, G. M. (2016). Natural Products as Sources of New Drugs from 1981 to 2014. Journal of Natural Products, 79(3), 629-661. doi:10.1021/acs.jnatprod.5b01055


US Departmen of Health and Human Services (2016). Botanical Drug Development: Guidance for Industry. Retrieved from https://www.fda.gov/downloads/drugs/guidancecomplianceregulatoryinformation/guidances/ucm458484.pdf on 23/01/2018


Wang, J., Jiang, W., Liu, Z., Wang, J., Fu, T., & Wang, Y. (2017). Analysis and identification of chemical constituents of fenugreek by UPLC-IT-MS n and UPLC-Q-TOF-MS. Chemical Research in Chinese Universities, 33(5), 721-730. doi:10.1007/s40242-017-7136-4

171 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page