SIRI 21: BETUL KE MAKAN MAKANAN TINGGI PROTEIN MENYEBABKAN KANDUNGAN ASID TINGGI DALAM BADAN?
Updated: 29 Mei 2019
Tadi saya diberitahu oleh seseorang telah tersebar satu artikel mengatakan pengambilan makanan tinggi protein menyebabkan keadaan badan kita berasid dan menyebabkan pelbagai penyakit. Ini kerana protein terdiri dari berpuluh unit asid amino.

Terdapat 20 asid amino yang membentuk peptida dan protein. Badan kita tidak boleh menghasilkan 9 jenis asid amino dan kita perlu mengambil 9 asid amino ini dari sumber makanan. Antara 9 asid amino ini adalah leucine, isoleucine, histidine, lysine, tryptophan, valine, threonine, methionin dan dan phenylalanine. Apabila kita makan makanan berprotein, enzim pepsin akan mencerna protein kepada peptida. Enzim tripsin pula mencerna peptida kepada asid amino.
Badan kita memerlukan asid amino untuk pelbagai fungsi tubuh antaranya untuk otot dan membaiki tisu rosak. Contohnya asid amino phenylalanine adalah bahan binaan asas dopamine, melatonin, dan lain-lain yang bertanggungjawab meregulasi mood dan fungsi tubuh badan.
Tahukah anda DNA anda adalah terdiri dari jujukan asid amino? Benarkah asid amino bersifat asid?
Jawapannya salah. Asid amino, walaupun ada perkataan asid, sebenarnya bersifat amfoterik. Apakah amfoterik? Amfoterik merujuk kepada molekul yang boleh bersifat asid dan bersifat alkali pada masa yang sama.
Kenapa asid amino bersifat amfoterik? Asid amino mempunyai fungsi karboksil (COOH) yang boleh menderma atom hidrogen menjadi asid (COO-), dan ia juga mengandungi fungsi amine (NH2) yang boleh menerima atom hidrogen dan menjadi alkali (NH3+). Jadi, asid amino boleh menjadi asid dan alkali dalam masa yang sama dan membentuk ion zwitter.

Menurut definisi asid dan alkali Bronsted-Lowry, asid adalah molekul yang boleh menderma atom hidrogen manakala alkali adalah molekul yang boleh menerima atom hidrogen.
Betul ke badan berasid punca diabetes? Jangan lupa follow Ini Sains Beb untuk penjelasan yang lain. Saya pakar bidang kimia je. Bukan semua bidang. Hehe
Serahkan urusan pada ahlinya (yang faqih dan adil)