top of page

SIRI 22: KENAPA SAYA RASA ANGIN APABILA MENGAMBIL MAKANAN TERTENTU?

Updated: 10 Ogo 2019


Sebenarnya makanan tidak berangin, sebaliknya angin yang dialami oleh individu tertentu disebabkan oleh gas yang dihasilkan oleh bakteria yang mengurai makanan yang tidak tercerna dengan baik di dalam usus.


Sesetengah karbohidrat kompleks antaranya oligosakarida dan fruktan tidak dapat dicerna oleh sistem pencernaan manusia. Bakteria akan mengambil alih tugas mencerna karbohidrat ini.


Usus kecil dan usus besar kita mengandungi banyak bakteria. Bakteria ini akan menghasilkan gas hidrogen dan metana sebagai hasil sampingan. Ini menyebabkan rasa kembung dan ketidakselesaan kepada individu tersebut.


Setiap individu mempunyai toleran yang berbeza terhadap karbohidrat ini. Jika saya sering tidak hadam jika makan nangka dan rasa kembung perut, tidak semestinya orang lain pun sama.


Jika anda ada ketidakhadaman atau berasa ‘angin’ apabila makan makanan tertentu, anda akan rasa pada kebanyakan masa. Bukannya ketika berpantang sahaja.




Kenapa reaksi manusia berbeza-beza terhadap makanan tersebut? Jawapannya, flora mikroorganisme di dalam usus adalah berbeza antara individu. Dan flora ini dipengaruhi oleh gaya hidup dan keturunan.


Malah ada di antara ketidakhadaman ini disebabkan masalah kesihatan seperti tidak toleran kepada gluten, alahan pada makanan, dan irritable bowel syndrome. Masalah kesihatan ini memerlukan kepada pengesahan oleh doktor yang merawat.


Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna karbohidrat yang diikat dengan ikatan beta-glukosidik dan ikatan alfa-galaktosil. Badan manusia boleh mencerna karbohidrat yang diikat dengan ikatan glukosidik alfa.


Antara jenis karbohidrat dalam makanan:


a) Disakarida : Terdiri dari dua unit monosakarida contohnya sukrosa atau gula putih. Ia terdiri dari satu unit fruktosa dan satu unit glukosa. Enzim amlise dalam badan kita akan mencerna sukrosa kepada glukosa dan fruktosa.


b) Polisakarida: Terdiri dari lebih 10 unit monosakarida sehingga beribu unit. Contohnya kanji amilose dan amilopektin yang terdiri dari beratus unit glukosa, contohnya dalam beras. Enzim amilase dan glukosidase dalam badan akan mencerna kanji menjadi glukosa. Contoh yang lain adalah selulose. Walaupun selulose mempunyai beratus unit glukosa sama seperti kanji, tetapi ia diikat dengan ikatan glikosidik beta. Sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna selulose.


c) Oligosakarida: Terdiri dari 3-10 unit monosakarida. ia banyak di dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Lebih-lebih lagi buah-buahan tropika contohnya cempedak, nangka dan sukun. Buah nangka misalannya, mengandungi oligosakarida dari jenis raffinose, stachyose dan verbascose. Apabila ia diikat dengan ikatan alfa-galatosil, sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna oligosakarida.


Raffinose





Kenapa sesetengah individu tidak terkesan dengan makanan tersebut? Selain mikroflora yang berbeza, mungkin saja dia mengunyah makanan sampai hancur, makan perlahan dan minum banyak air.


Tetapi jika sakit sehingga mengganggu urusan harian, berjumpalah dengan doktor dan bincanglah masalah anda.


Lembu boleh cerna selulose sebab dia ada bakteria di usus yang menghasilkan enzim selulases yang boleh cerna selulose



Adakah saya perlu mengelakkan sayur-sayuran dan buah-buahan? Sebenarnya badan kita memerlukan serat larut air dan serat tidak larut air untuk kesihatan usus, selain dari nutrisi lain yang dibekalkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Badan kita memerlukan serat dan karbohidrat pada kuantiti optimum. Apabila pengambilan berlebihan, pengambilan air juga harus tinggi.


Bayangkan selepas melahirkan, usus anda sedikit ‘relaks’ disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak. Anda pula tidak mengambil makanan tinggi serat. Akibatnya sembelit yang lebih menyakitkan dari melahirkan itu sendiri.


Tak pun goreng dulu sebelum makan.


Jadi amalan pantang 44 hari, 100 hari dan setahun sebenarnya adalah tidak berasas. Ini kerana makanan yang kita tidak toleran sebenarnya berbeza ikut individu. Kita tidak boleh pukul rata semua orang wajib berpantang makanan yang sama.


Penafian: Ini adalah tulisan umum tentang kimia tumbuhan dan kimia makanan. Tidak terpakai kepada pesakit yang perlu elakkan sesetengah buah tropika sebab diet khas seperti pesakit jantung, pesakit buah pinggang, dan lain-lain. Ikut nasihat doktor anda.


Rujukan


Mussatto, S. I., & Mancilha, I. M. (2007). Non-digestible oligosaccharides: A review. Carbohydrate Polymers, 68(3), 587-597.doi:https://doi.org/10.1016/j.carbpol.2006.12.011


Rackis, J. J. (1975). Oligosaccharides of Food Legumes: Alpha-Galactosidase Activity and the Flatus Problem. In Physiological Effects of Food Carbohydrates (Vol. 15, pp. 207-222): AMERICAN CHEMICAL SOCIETY.


Roberfroid, M., & Slavin, J. (2000). Nondigestible Oligosaccharides. Critical Reviews in Food Science and Nutrition, 40(6), 461-480. doi:10.1080/10408690091189239





15,952 lihatan1 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page