• Dr Che Puteh Osman

SIRI 22: PERIA KATAK (Momordica charantia), PENGGANTI UBAT DIABETES?

Kemaskini: 28 Mei 2019


PENGENALAN


1. Momordica charantia atau lebih dikenali sebagai peria katak, bitter gourd dan bitter melon merupakan ahli keluarga Cucurbitaceae. Ia digunakan secara tradisi bagi merawat diabetes di beberapa negara.


2. Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci ‘Momordica charantia’ memberikan sekitar 2500 jurnal penyelidikan. Pengguna kata kunci ‘Momordica charantia” dan “diabetes” dan “meta-analysis” telah memberikan senarai 118 artikel. Daripada artikel ini hanya 1 artikel meta-analysis manakala selebihnya adalah review dan beberapa original artikel.



Imej dari Pixabay


SEBATIAN KIMIA DI DALAM PERIA KATAK


3. Antara kelas sebatian kimia yang dilaporkan di dalam peria katak ialah polysaccharides, peptides, triterpenoids, flavonoids, asid fenolik, saponins, dan sterol.


4. Polysaccharides atau polisakarida dari peria katak merupakan jenis heteropolysaccharides, dan komposisi sebatian kimia ini adalah 5.92% - 10.62% di dalam ekstrak peria katak. Ia bertindak merencat enzim alpha amylase, sejenis enzim yang menguraikan karbohidrat kepada glukosa di dalam sistem pencernaan [1].


5. Sebatian kimia dari kumpulan polypeptide iaitu polypeptide-P, ialah sejenis protein yang mengikat karbohidrat dari dicerna oleh enzim pencernaan, dikenalpasti di dalam peria katak. Selain itu, terdapat beberapa kelas sebatian kimia lain yang dikenalpasti dari peria katak iaitu cucurbitane, flavonoids dan asid fenolik [1]. Cucurbitane didapati memberikan kesan mengurangkan gula dalam darah di dalam kajian ke atas tikus.



KAJIAN IN VITRO DAN IN VIVO KE ATAS PERIA KATAK


6. Terdapat pelbagai laporan mengenai potensi peria katak ke atas sel mahupun ke atas tikus. Kajian menunjukkan ekstrak peria kata meningkatkan pengambilan glukosa selular dengan meningkatkan insulin melalui laluan isyarat regulasi GLUT4 dan PI3K dan meregulasi PPAR gamma [2]. Selain itu, peria katak memelihara islet beta cells dan merangsang penyimpanan glikogen oleh hati dan pengeluaran insulin oleh islets Langerhans [3-4] di dalam model tikus.


7. Dalam bahasa mudah ia merangsang sel pankreas mengeluarkan insulin dan amylin dah mengurangkan kerintangan insulin yang dihidapi pesakit diabetes jenis kedua (non insulin dependent diabetes mellitus, NIDDM).



KAJIAN META ANALISIS MOMORDICA CHARANTIA UNTUK PESAKIT DIABETES


8. Di dalam kajian meta analisis yang dilaporkan pada tahun 2014, penyelidik menganalisis 4 percubaan rawak (double blind randomized control trial) ke atas sekumpulan subjek manusia 40-66 orang bagi setiap RCT untuk tempoh rawatan 8-12 minggu [5].


9. Jika dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang tidak diberikan ekstrak peria katak, pemberian ekstrak peria katak pada dos 1-6 g sehari tidak memberikan kesan signifikan terhadap kawalan gula pesakit diabetes jenis kedua (NIDDM).


10. Penyelidik berpendapat peria katak menggalakkan pengeluaran insulin selepas makan tetapi mekanisme ini hanya sesuai kepada pesakit yang memiliki sel beta pankreas yang berfungsi baik. Namun kerana beberapa kekangan seperti saiz sampel subjek yang kecil, perbezaan dos, penyediaan dan tempoh rawatan menyebabkan satu kesimpulan yang ampuh tidak dapat dibuat.



KESIMPULAN


11. Dakwaan mengatakan peria katak menggantikan insulin adalah tidak tepat. Ia berfungsi dengan merangsang sel pankreas menghasilkan insulin dan mengurangkan keadaan kerintangan insulin yang dihadapi oleh pesakit diabetes jenis kedua. Selain itu, polipeptida-P dan polisakarida yang terkandung di dalam peria kata bertindak memerangkap karbohidrat dari dicerna kepada glukosa. Dalam erti kata lain pemakanan peria katak memberi ‘diskaun ekstra’ sudu nasi yang boleh diambil.


12. Namun, pengujian ke atas manusia adalah tidak konklusif. Penggunaan peria katak tidak memberikan kesan signifikan terhadap kawalan gula di dalam darah. Namun, jika diambil dalam bentuk ulam-ulaman dapat membantu memberi sedikit diskaun gula dari nasi yang dimakan.


13. Rujuklah dengan doktor yang merawat sebelum ingin mencuba ekstrak peria katak. Ia boleh memberikan kesan hipoglisemia jika pengambilan bersama ubatan diabetes tidak dipantau. Terdapat laporan di Sri Lanka penggunaan peria katak menyebabkan insiden hipoglisemia sebanyak 21% [6].


Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan

[1] Jia, S.; Shen, M.; Zhang, F.; Xie, J., Recent Advances in Momordica charantia: Functional Components and Biological Activities. International Journal of Molecular Sciences 2017, 18 (12), 2555.


[2] Basch, E.; Gabardi, S.; Ulbricht, C., Bitter melon (Momordica charantia): a review of efficacy and safety. American Journal of Health-System Pharmacy 2003, 60 (4), 356-359.


[3] Ahmed, I.; Lakhani, M. S.; Gillett, M.; John, A.; Raza, H., Hypotriglyceridemic and hypocholesterolemic effects of anti-diabetic Momordica charantia (karela) fruit extract in streptozotocin-induced diabetic rats. Diabetes Research and Clinical Practice 2001, 51 (3), 155-161.


[4] Yibchok-anun, S.; Adisakwattana, S.; Yao, C. Y.; Sangvanich, P.; Roengsumran, S.; Hsu, W. H., Slow Acting Protein Extract from Fruit Pulp of <i>Momordica charantia</i> with Insulin Secretagogue and Insulinomimetic Activities. Biological and Pharmaceutical Bulletin 2006, 29 (6), 1126-1131.


[5] Yin, R. V.; Lee, N. C.; Hirpara, H.; Phung, O. J., The effect of bitter melon (Mormordica charantia) in patients with diabetes mellitus: a systematic review and meta-analysis. Nutrition & Diabetes 2014, 4 (12), e145.


[6] Medagama, A. B.; Bandara, R.; Abeysekera, R. A.; Imbulpitiya, B.; Pushpakumari, T., Use of Complementary and Alternative Medicines (CAMs) among type 2 diabetes patients in Sri Lanka: a cross sectional survey. BMC Complementary and Alternative Medicine 2014, 14 (1), 374.

2026 lihatan

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.