SIRI 23: BELALAI GAJAH MERAWAT KANSER DAN GOUT?
Updated: 19 Mei 2019
PENGENALAN
1. Belalai gajah atau nama saintifiknya Clinacanthus nutans, merupakan ahli keluarga Acanthaceae. Ia digunakan secara tradisi di Asia terutamanya Malaysia, China dan Thailand untuk merawat kanser, penyakit keradangan, diabetes, masalah kulit, jangkitan herpes dan gigitan serangga.
2. Hasil carian menggunakan kata kunci Clinacanthus nutans di pangkalan jurnal berindeks memberikan 111 jurnal penyelidikan.
3. Belalai gajah dilaporkan mempunyai sebatian kimia dari kelas benzonoids, cerebrosides, glycoglycerolipids, glycosylglycerides, fatty acids, klorofil, phytosterols, flavonoids, flavonoids glycosides, sebatian fenolik dan glukosida yang mengandungi atom sulfur.
4. Daun kering belalai gajah dilaporkan mempunyai karbohidrat, protein, mineral seperti potassium, kalsium, natrium dan magnesium, asid lemak seperti omega-3 dan omega-6, selain phytonutrient seperti flavonoids, dan asid fenolik.

Sumber imej dari wikipedia
PENGUJIAN IN VITRO DAN IN VIVO KE ATAS EKSTRAK BELALAI GAJAH
5. Ekstrak belalai gajah menggunakan pelarut organik semi polar seperti etil asetat, heksana dan petroleum eter menunjukkan aktiviti sitotoksik yang lebih baik berbanding ekstrak menggunakan larutan polar seperti etanol, methanol dan air. Ekstrak belalai gajah menunjukkan aktiviti baik terhadap pengujian antikanser di dalam piring petri ke atas beberapa sel kanser seperti kanser payudara, kanser hati, kanser kolon dan kanser paru-paru.
6. Selain itu, ekstrak belalai gajah menunjukkan pengecutan saiz tumor dalam kajian ke atas tikus. Walaubagaimanapun, pengujian hanya dilakukan pada satu dos dan kekurangan maklumat dos yang berlainan mengehadkan penilaian terhadap potensi belalai gajah sebagai agen antitumor.
7. Aplikasi topikal ekstrak belalai gajah pernah dilaporkan mengurangkan bengkak edema di telinga tikus, dan pemberian oral ekstrak belalai gajah mengurangkan edema di kaki tikus yang dicetus carrageenan. Ia dikaitkan dengan kemampuan belalai gajah menahan kesan serotonin dan histamine ketika fasa awal keradangan.
8. Walaupun terdapat dakwaan daun belalai gajah digunakan untuk tujuan merawat diabetes, beberapa kajian menunjukkan ia tidak merencat aktiviti alpha glucosidase, enzim yang bertanggungjawab mengurai polysaccharides kepada glukosa.
9. Selain itu, terdapat kajian terhadap ekstrak belalai gajah untuk penyakit jangkitan herpes, antioksidan, antimicrobial, pemulihan luka dan gigitan serangga.
KAJIAN KESAN TOKSIK, TOKSIK AKUT DAN MUTAGENIK.
10. Kajian ke atas tikus menunjukkan ekstrak belalai gajah pada dos 1.3 g bagi setiap kg berat tikus (bersamaan 5.44g/kg manusia) tidak memberikan kesan toksik dan kesan subkronik selama 90 hari tempoh kajian.
11. Pada dos 1.0g bagi setiap kg berat tikus menyebabkan pengurangan berat badan tikus jantan, menurunkan para kreatinin, meningkatkan bilangan platlet tanpa mengganggu pemakanan atau mencetus abnormality pada organ tikus.
12. Dalam kajian kesan toksik akut, pemberian dos tunggal ekstrak belalai gajah pada dos tertinggi 0.9 g bagi setiap kg berat tikus selama 14 hari tidak menyebebkan kematian atau mencetus abnormaliti pada ujian fungsi hati seperti AST, ALT, ALP dan bilirubin dan fungsi buah pinggang seperti urea dan creatinine pada tikus muda. Dalam kajian yang lain, dos tertinggi 1.8g bagi setiap kg berat tikus tidak memberikan kesan toksik akut.
13. Penyelidik mencadangkan penggunaan pada manusia pada kadar maksimum 9 mg bagi setiap kg manusia, sekiranya manusia dengan berat 50 kg, penggunaan selamat adalah pada kadar 0.450g sehari.
14. Dalam kajian yang lain, pemberian 5g ekstrak belalai gajah menggunakan air selamat tidak memberikan kesan toksik dan tidak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada tikus. Pada dos 2 g bagi setiap kg berat tikus, terdapat peningkatan kadar glukosa di dalam dalam darah, meningkat HDL dan menurunkan LDL.
KESIMPULAN
15. Terdapat pelbagai kajian terhadap potensi ekstrak belalai gajah terhadap pelbagai penyakit seperti kanser, diabetes, penyakit keradangan dan lain-lain. Namun begitu, kajian ini hanya terhadap pada sel, piring petri dan ke atas tikus sahaja.
16. Walaupun ekstrak belalai gajah tidak menunjukkan kesan toksik dalam model tikus, kajian kesan toksik dan toksik akut ini menggunakan ekstrak belalai gajah menggunakan pelarut organik polar seperti etanol dan metanol. Kajian terdahulu menunjukkan ekstrak belalai gajah menggunakan pelarut organik tidak polar atau separa polar seperti heksana dan etil asetat yang mempunyai aktiviti terhadap sesuatu penyakit.
17. Penggunaan pelarut organik berbeza menyebabkan sebatian kimia aktif yang berbeza diekstrak dari daun belalai gajah.
18. Masih terdapat banyak isu yang perlu ditangani seperti dos, standardisasi, bioavailabiliti dan reprodusibiliti. Masih terdapat jurang maklumat sebelum penggunaan belalai gajah ini dikategorikan selamat dan berkesan sebelum kajian klinikal ke atas manusia dapat diteruskan.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Farsi, E., Esmailli, K., Shafaei, A., Moradi Khaniabadi, P., Al Hindi, B., Khadeer Ahamed, M. B., . . . Abdul Majid, A. S. (2016). Mutagenicity and preclinical safety assessment of the aqueous extract of Clinacanthus nutans leaves. Drug and Chemical Toxicology, 39(4), 461-473. doi:10.3109/01480545.2016.1157810
Kamarudin, M. N. A., Sarker, M. M. R., Kadir, H. A., & Ming, L. C. (2017). Ethnopharmacological uses, phytochemistry, biological activities, and therapeutic applications of Clinacanthus nutans (Burm. f.) Lindau: A comprehensive review. Journal of Ethnopharmacology, 206, 245-266. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2017.05.007