top of page

SIRI 24: BETUL KE BAWANG PUTIH DAN BAWANG MERAH BOLEH MEMBUNUH KUMAN?

Updated: 30 Mei 2019


Penulis sering mendapat pertanyaan mengenai khasiat bawang merah dan bawang putih. Terdapat pelbagai petua mengenai bawang. Dari memasukkan bawang putih mentah dalam nestum bayi (kisah benar), membuat stoking bawang, membuat minyak dari bawang putih dibakar sehinggalah meletak bawang di kipas atau di satu sudut bilik. Pihak yang memberi petua ini mengatakan ia boleh menyerap atau membunuh kuman (bakteria, virus, fungi, protozoa dan lain-lain).



Betul ke dakwaan tersebut? Sebelum penulis mengulas mengenai ini, izinkan penulis menerangkan apa sebatian kimia dalam bawang putih dan bawang merah, apakah yang berlaku ketika bawang dikupas, dan apa terjadi setelah bawang dibiarkan lama pada suhu bilik, sama ada dibiarkan begitu sahaja, direndam dalam air atau minyak dan apabila dibakar atau dimasak pada suhu tinggi.

Bawang putih (Allium sativum) dan bawang merah (Allium cepa) merupakan spesies tumbuhan dari genus Allium dan keluarga Amaryllidaceae. Antara pokok lain dalam genus Allium adalah bawang shallot, kucai dan leek. Pokok-pokok dari genus Allium ini banyak menghasilkan sebatian kimia thiosulfinate, sejenis sebatian kimia yang mengandungi ikatan karbon berganda dan atom sulfur dan oksigen. Bentuk sebatian kimia ini berubah dari bawangnya, ketika dihiris dan ketika dibiarkan pada suhu bilik mahupun dimasak.


Mari kita mula dari bawang yang belum dikupas. Hampir semua bawang dan tumbuhan dalam genus Allium mengandungi alk(en)yl cysteine sulfoxides sekitar 1-5%. Apabila bawang dipotong dan dikisar, alk(en)yl cysteine sulfoxides ditukarkan kepada sebatian kimia asid sulfenik. Kemudian asid sulfenik secara spontan terurai kepada thiosulfinate. Thiosulfinate tidak stabil dan akan terurai kepada sebatian kompleks mono-, di-, tri- dan tetra-sulfides apabila yang dipanaskan. Mata kita berair ketika memotong bawang kerana asid sulfenik akan bertukar syn-propanethial-S-oxide. Ia merengsa kelenjar lakrimal dan menyebabkan air mata dirembeskan.


Siapa membawang itu?

Betul ke bawang mempunyai sifat membunuh kuman? Kuman dalam bahasa pasar boleh merujuk kepada bakteria, virus, kulat, protozoa dan lain-lain patogen yang ada di sekeliling kita. Ya, benar, bawang boleh membunuh kuman terutama bakteria, tetapi chop! Ia tidak membunuh bakteria dengan cara makan, atau letak dalam ruangan bilik atau diletak pada kipas.


Terdapat beribu kajian tentang bawang putih dan bawang merah, terutamanya sebagai agen antibakteria. Mereka mengkaji potensi terbitan sebatian kimia thiosulfinat sebagai agen antibakteria. Kebanyakan kajian ini adalah ke atas tabung uji.


Kenapa meletak bawang putih atau bawang merah pada tapak kaki tidak berkesan membunuh kuman dalam badan?


Untuk membolehkan sebatian thiosulfinat dalam bawang bertindakbalas dengan bakteria, ia mesti berada dalam media yang sama. Jika anak anda demam, atau batuk, bakteria itu tidak berada di tapak kaki. Ia adalah di dalam badan. Adakah dengan makan bawang putih dan bawang merah akan membunuh kuman tersebut? Tidak juga, kerana sebatian kimia thiosulfinat akan bertukar menjadi thiosulfinat ester dan tidak memberikan kesan yang sama. Kajian lanjutan masih diperlukan untuk mengkaji potensi sebatian kimia thiosulfinat ester sebagai agen antibakteria melalui pengambilan oral.


Bagaimana pula dengan meletak bawang di kipas atau letak dalam peti ais? Betul ke ia menyerap dan membunuh kuman?


Sebatian kimia thiosulfinat yang merupakan bahan aktif antibakteria dalam bawang tidak stabil pada suhu bilik, dan akan terurai menjadi asid sulfenik. Sekalipun jika thiosulfinat masih ada pada minit-minit pertama, ia perlu bersemuka dengan kuman dalam media yang sama. Jadi hanya kuman bawaan udara saja boleh mati tetapi bukan kuman bawaan cecair. Hakikatnya tidak sempat pun thiosulfinat bersemuka dengan kuman kerana ia terurai secara spontan sebaik saja kita memotong bawang.


Hari ini terdapat banyak makanan tambahan berasaskan bawang putih. Kebanyakan produk ini mengandungi sebatian kimia allicin, sejenis thiosulfinat. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan tertentu perlu mengelak dari mengambil makanan tambahan yang mengandungi bawang putih kerana ia boleh menyebabkan kesan interaksi ubat. Thiosulfinat ester, sebatian kimia yang terhasil dari metabolisme bawang putih, dikenalpasti mengganggu enzim hati yang bertanggungjawab untuk metabolism ubat.


Anda sakit? Anak batuk-batuk? Jumpa doktor dan dapatkan preskripsi ubat yang sesuai.


PS: Penggunaan bawang putih, bawang merah dan kentang yang dihiris diletak di tapak kaki dan di ruang bilik adalah sejenis petua orang putih atau old wives' tale. Orang melayu biasa jelum daun semambu saja kalau demam.


Rujukan:


Benkeblia, N., & Lanzotti, V. (2007). Allium Thiosulfinates : Chemistry , Biological Properties and their Potential Utilization in Food Preservation.


Imai, S., Tsuge, N., Tomotake, M., Nagatome, Y., Sawada, H., Nagata, T., & Kumagai, H. (2002). An onion enzyme that makes the eyes water. Nature, 419, 685. doi:10.1038/419685a


Madia Trujillo, Beatriz Alvarez & Rafael Radi (2016) One- and two-electron oxidation of thiols: mechanisms, kinetics and biological fates, Free Radical Research, 50:2, 150-171, DOI: 10.3109/10715762.2015.1089988


Munday, R., & Munday, C. M. (2004). Induction of Phase II Enzymes by Aliphatic Sulfides Derived from Garlic and Onions: An Overview. In Methods in Enzymology (Vol. 382, pp. 449-456): Academic Press.


Nagy, P., & Winterbourn, C. C. (2010). Chapter 6 - Redox Chemistry of Biological Thiols. In J. C. Fishbein (Ed.), Advances in Molecular Toxicology (Vol. 4, pp. 183-222): Elsevier.


Gîtin, L., Dinică, R., Neagu, C., & Dumitrascu, L. (2014). Sulfur compounds identification and quantification from Allium spp. fresh leaves. Journal of Food and Drug Analysis, 22(4), 425-430. doi:https://doi.org/10.1016/j.jfda.2014.04.002






1,554 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page