SIRI 24: NASI LEMAK BERBAHAYA?
Updated: 20 Mei 2019
Bangun pagi. Menggeliat. Terus menarik nafas. Anda menyedut udara gabungan oksigen, karbon dioksida, hidrogen. nitrogen, dan gas lengai. Oksigen mudah terbakar. Hidrogen adalah bahan bakar roket.
Lepas itu anda berus gigi. Ubat gigi anda mengandungi flourine, kalsium karbonat, dan gliserin. Gliserin boleh diubahsuai menjadi bahan letupan nitrogliserin. Kalsium karbonat adalah batu kapur.
Kemudian anda mandi. Sabun mandi mengandungi natrium karboksilat, sejenis ester terbentuk dari minyak tumbuhan dan natrium hidroksida. Selain itu, terdapat pewangi dan penstabil.
Anda bersarapan. Minum teh. Teh mengandungi kafein, teobromina, teofilina, catechin, asid kafeik dan lain-lain. Air bukan sahaja mengandungi dihidrogen monoksida, ia juga mengandungi aluminium sekitar 200 ppm. Kalau anda tambah susu pekat manis, anda menambah lepa sawit terutamanya asid lemak dalam minuman anda selain gula.
Kemudian anda makan nasi lemak. Beras mengandungi kanji amylose dan amylopectin, dan mineral seperti zinc dan zat besi. Santan mengandungi trigliserida dan asid lemak terutamanya asid laurik dan asid myristik. Anda makan kacang goreng.

Kacang tanah mengandungi asid lemak, mineral seperti potassium, natrium, magnesium, kalsium, besi, zinc dan fosforus. Beras dan kacang tanah juga pernah dilaporkan mengandungi aflatoksin, sejenis toksin karsinogen yang dihasilkan oleh fungi Aspergillus spp.
Nasi lemak mesti ada timun kan. Dalam timun bukan setakat ada serat, air dan nutrien, ia juga mengandungi formaldehyde 2.3-3.7 mg/kg.
Letak pulak sambal sotong atau sambal udang. Dalam sambal ada cili, mengandungi capsaicin dan pelbagai lagi fitokimia. Capsaicin ini sejenis ubat tahan sakit topikal.
Dalam udang dan sotong bukan setakat ada protein, dan mineral, ia juga mengandungi formaldehyde sekitar 1-2.4 mg/kg.
Belum sambal ikan. Ada sesetengah ikan mengandungi metil merkuri.
Cukuplah setakat nasi lemak. Kalau sehari panjang lagi cerita dia. Bahan kimia kedengaran bahaya, tetapi kita terdedah setiap hari.
Anda takut nama gliserin, aluminium, formaldehyde, merkuri dll dalam vaksin? Anda telah terdedah setiap hari, sepanjang masa, tanpa anda sedari. Tetapi ia tidak membahayakan anda melainkan obesiti.
The dose makes the poison -Paracelsus.
PS: Jangan biar saya mula tentang bahan kimia dalam kosmetik. Sekurang-kurangnya anda terdedah pada lebih 100 bahan kimia dari kosmetik setiap hari.