top of page

SIRI 25: BUAH BAMBANGAN (Mangifera pajang) MERAWAT KANSER PAYUDARA?

Updated: 19 Mei 2019

PENGENALAN


1. Buah bambangan atau nama saintifiknya Mangifera pajang, merupakan ahli keluarga Anacardiaceae dan genus Mangifera. Buah mangga (Mangifera indica), bacang (Mangifera foetida) dan kuini (Mangifera odorata) merupakan ahli keluarga terdekat buah bambangan.


2. Buah bambangan berasal dari Borneo. Ia merupakan buah yang mempunyai rasa masam dan kandungan serat yang sangat tinggi. Ia mempunya aroma seakan-akan mangga. Berat sebiji buah bambangan boleh mencecah 0.5 kg sehingga 1 kg (Tangah et al., 2017).


Sumber gambar: Bombastic Borneo


3. Daun dan buah bambangan banyak digunakan di dalam masakan masyarakat Sabah dan Sarawak. Antaranya daun pokok bambangan dibuat ulam bersama sambal belacan, dan buah bambangan dibuat jeruk.


4. Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci “Mangifera pajang” memberikan 33 artikel. Hanya sekitar 25 artikel kajian buah bambangan berkaitan sebatian kimia dan potensi bioaktiviti antaranya antioksidan dan antikanser. Terdapat satu kertas kajian ke atas tikus, manakala selebihnya adalah kajian ke atas sel kanser. Masih belum ada kajian pilot klinikal ke atas manusia akan potensi buah bambangan sebagai ubat kanser.


SEBATIAN KIMIA SEMULAJADI DI DALAM BUAH BAMBANGAN


5. Kumpulan sebatian kimia semulajadi yang utama di dalam kulit, isi dan biji buah bambangan adalah dari kelas flavonoid dan asid fenolik. Sesetengah sebatian kimia ini juga terdapat di buah mangga seperti sebatian mangiferin (Tangah et al, 2017).


6. Potensi perubatan mangiferin banyak dikaji dan ia menunjukkan potensi perubatan yang meluas. Kandungan mangiferin dalam kulit buah bambangan adalah lebih tinggi berbanding kulit dan daun buah mangga.


7. Sebatian kimia subkelas flavonoid iaitu isoflavonoid, merupakan phytoestrogen semula jadi juga didapati di dalam buah kuini, bacang dan buah bambangan (lihat gambar). Sebatian ini dikenali sebagai daidzein dan genistein (Khoo & Ismail, 2008), sebatian kimia yang sama ditemui di dalam soya.



8. Selain itu, buah bambangan yang berwarna kekuningan kaya dengan sebatian kimia carotenoid, iaitu kelas sebatian kimia yang sama seperti vitamin A (Khoo et al., 2010). Selain itu, ia juga kaya dengan sebatian polisakarida, iaitu sejenis sebatian makromolekul yang mempunyai unit asas glukosa (Al-Sheraji et al., 2012).


KAJIAN BIOAKTIVITI BUAH BAMBANGAN


9. Kajian bioaktiviti merujuk kepada kajian potensi perubatan menggunakan sel, atau bioaktiviti berasaskan ‘chemical-based assay’ iaitu bioaktiviti yang mimik kepada satu situasi dalam badan manusia menggunakan bahan kimia.


10. Berbanding buah mangga, buah bambangan menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang jauh lebih tinggi berbanding buah mangga . ‘Total Phenolic Content’ atau Kandungan Sebatian Fenolik buah bambangan dalam jumlah lebih kurang sama dengan buah mangga menggunakan kaedah assay Folin Ciocalteu (Abu Bakar et al., 2009).


11. Kulit dan biji buah bambangan menunjukkan sifat antioksidan memerangkap radikal bebas yang lebih baik berbanding isi buah bambangan. Penapaian buah bambangan pada suhu 38 C memberikan kandungan sebatin fenolik dan aktiviti antioksidan yang lebih tinggi.


12. Buah bambangan dikaji untuk aktiviti antikanser, menggunakan sel kanser payudara MCF-7 dan MDA-MB-231. HANYA EKSTRAK BIJI BUAH BAMBANGAN yang menunjukkan aktiviti antikanser pada nilai IC50 masing-masing pada 23 pada 31 μg/mL untuk sel MCF-7 dan MDA-MB-231 (Abu Bakar et al., 2010). Kandungan asid fenolik dalam biji buah bambangan dipercayai menyumbang kepada aktiviti tersebut. Kajian ini masih pada peringkat penemuan dan belum memasuki fasa pra-klinikal.


13. Selain itu, ekstrak biji (kernel) buah bambangan juga mempunyai aktiviti perlindungan terhadap kesan oksidatif terhadap sel hati manusia (HepG2) pada kepekatan 1.2 µg/ml (Abu Bakar at al., 2013).


KESIMPULAN


14. Buah bambangan merupakan buah tropika berkhasiat tinggi, kaya dengan nutrisi, phytonutrients dan sebatian fenolik.


15. Namun begitu, pembaca dinasihatkan untuk tidak melengahkan rawatan kemoterapi atau pembedahan yang dicadangkan pakar perubatan kerana ingin mencuba buah bambangan kerana kajian masih pada peringkat penemuan.


16. Menurut kajian yang dilakukan, potensi melawan sel kanser payu dara setakat ini hanya pada piring petri dan HANYA BIJI BUAH BAMBANGAN yang didapati berpotensi membunuh sel kanser tersebut.


17. Kajian lanjutan masih diperlukan untuk menilai keberkesanan BIJI (KERNEL) BUAH BAMBANGAN bagi merawat kanser payudara.


Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


RUJUKAN


Abu Bakar, M. F., Mohamed, M., Rahmat, A., & Fry, J. (2009). Phytochemicals and antioxidant activity of different parts of bambangan (Mangifera pajang) and tarap (Artocarpus odoratissimus). Food Chemistry, 113(2), 479-483. doi:10.1016/j.foodchem.2008.07.081


Abu Bakar, M. F., Mohamad, M., Rahmat, A., Burr, S. A., & Fry, J. R. (2010). Cytotoxicity, cell cycle arrest, and apoptosis in breast cancer cell lines exposed to an extract of the seed kernel of Mangifera pajang (bambangan). Food and Chemical Toxicology, 48(6), 1688-1697. doi:10.1016/j.fct.2010.03.046


Abu Bakar, M. F., Mohamed, M., Rahmat, A., Burr, S. A., & Fry, J. R. (2013). Cellular assessment of the extract of bambangan (Mangifera pajang) as a potential cytoprotective agent for the human hepatocellular HepG2 cell line. Food Chemistry, 136(1), 18-25. doi:10.1016/j.foodchem.2012.07.099


Al-Sheraji, S. H., Ismail, A., Manap, M. Y., Mustafa, S., Yusof, R. M., & Hassan, F. A. (2012). Purification, characterization and antioxidant activity of polysaccharides extracted from the fibrous pulp of Mangifera pajang fruits. LWT - Food Science and Technology, 48(2), 291-296. doi:10.1016/j.lwt.2012.04.002


Ismail, A., & Khoo, H.E. (2008). Determination of daidzein and genistein contents in mangifera fruit. Malaysian journal of nutrition, 14 2, 189-98.


Khoo, H. E., Prasad, K. N., Ismail, A., & Mohd-Esa, N. (2010). Carotenoids from mangifera pajang and their antioxidant capacity. Molecules, 15(10), 6699-6712. doi:10.3390/molecules15106699


Tangah, J., Bajau, F. E., Jilimin, W., Chan, H. T., Wong, S. K., & Chan, E. W. C. (2017). Phytochemistry and pharmacology of Mangifera pajang: An iconic fruit of Sabah, Malaysia. Systematic Reviews in Pharmacy, 8(1), 86-91. doi:10.5530/srp.2017.1.15



2,089 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page