• Dr Che Puteh Osman

SIRI 25: HIDROGEN MOLEKULAR DAN PEMERANGKAP RADICAL OKSIGEN BEBAS

Updated: May 20, 2019

Terdapat dakwaan kononnya molekul hidrogen dalam air meningkatkan kesihatan dengan memerangkap radikal bebas. Benarkah dakwaan sedemikian?


Tahukah anda molekul hidrogen sangat tidak larut dalam air. Tahukah anda hanya 0.00016g gas hidrogen larut dalam setiap 100g air pada suhu 20 darjah selsius.


Tahukah anda kita juga bernafas dengan udara yang juga mengandungi gas hidrogen dalam bentuk molekul?


Tahukah anda hidrogen adalah satu-satunya atom yang mencapai stabiliti dengan membentuk molekul hidrogen dengan konfigurasi duplet?


Hampir kesemua atom dalam dunia ni akan membentuk molekul dengan konfigurasi oktet, iaitu bilangan elektron sebanyak 8 pada orbital atom yang terakhir.


Ada dua cara atom ini mencapai stabiliti oktet. 1) Melalui ikatan ionik 2) Ikatan kovalen.


Semua atom akan mempunyai kecenderungan membentuk konfigurasi oktet untuk mencapai kestabilan. Sebab itu unsur dalam dunia ini kebanyakannya dalam bentuk molekul kerana ia lebih stabil.



Berbalik kepada hidrogen, atom hidrogen hanya ada satu elektron. Untuk mencapai stabiliti, ia akan membentuk molekul dengan atom lain atau dengan atom hidrogen H:H dengan konfigurasi elektron 2 atau duplet.


Banyak kajian masih dijalankan bagi melihat potensi molekul hidrogen sebagai agen pemerangkap radikal atau radical scavengers (RD).


Secara teorinya, sesetengah penyakit seperti kecederaan tisu dan penyakit kardiovaskular dikaitkan dengan penghasilan spesis radikal oksigen atau radical oxygen species (ROS) yang tinggi dan menyebabkan ketidakseimbangan antara proses pengoksidaan dan antipengoksidaan.


Jadi, secara teorinya pemerangkap radikal seperti molekul hidrogen, polifenol, flavonoid, vitamin C dan macam-macam lagi asid fenolik dalam makanan boleh mengekang kecederaan ini dan melambatkan perkembangan penyakit kardiovaskular.


Namun jangan salah faham. Badan kita menghasilkan radikal bebas, dan badan kita mampu menghasilkan antioksidan bagi memerangkap radikal bebas. Tetapi kita juga terdedah pada radikal bebas dari sumber luar. Maka kita memerlukan antioksidan dari sumber luar untuk menyeimbangkan antioksidan dan prooksidan.


Untuk mencapai kesihatan optimum, kita memerlukan keseimbangan kedua-duanya. Antioksidan terlalu banyak juga tidak baik untuk kesihatan.


Betul ke air yang diperkaya dengan molekul hidrogen terlarut merupakan agen pemerangkap radikal bebas yang berkesan? Kajian kasih berjalan dan belum ada bukti kukuh menunjukkan sedemikian.


Rujukan:

G.W.C. Kaye and T.H. Laby, "Tables of Physical and Chemical Constants," 15th ed., Longman, NY, 1986, p. 219.


Kenji Dohi,Kazue Satoh,Kazuyuki Miyamoto,1 Shusuke Momma,Kenichiro Fukuda,Ryo Higuchi, Hirokazu Ohtaki,and Williams A Banks (2017). Molecular hydrogen in the treatment of acute and chronic neurological conditions: mechanisms of protection and routes of administration. JClin Biochem Nutr. 2017 Jul; 61(1): 1–5.

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.