SIRI 26: BENARKAH STEVIA BOLEH GANTI GULA PUTIH?
Updated: 19 Nov 2020
Gula putih merupakan gula yang dimurnikan dan mengandungi hampir 100 % sukrosa. Gula perang juga dari tebu tetapi ia mengandungi sekurang-kurangnya 88% sukrosa dan selebihnya adalah molasses.
Molasses adalah sirap gula yang berwarna keperangan yang terhasil ketika pengektrakan gula dari tebu. Ia berwarna keperangan kerana masih terdapat mineral di dalamnya. Tidak kisah gula perang atau gula putih, kedua-duanya mengandungi sukrosa dan berpotensi meningkatkan kandungan gula dalam darah.
Gula putih memberikan kalori 387.2 kalori bagi setiap 100 g gula. Manakala gula perang memberikan 300 kalori bagi setiap 100g. Satu sudu makan gula bersamaan dengan 4 gram gula. Bermaksud satu sudu memberikan 15.48 kalori.
Sukrosa merupakan sejenis karbohidrat dari kumpulan disakarida. Ia terdiri daripada satu unit glukosa dan satu unit fruktosa yang diikat dengan ikatan glikosidik alfa.
Di dalam sistem pencernaan manusia, ikatan glikosidik alfa ini dipecahkan oleh enzim sukrase dalam usus kecil kepada glukosa dan fruktosa.
Gula-gula ini diserap melalui usus kecil dan keseluruhan tisu badan. Di kalangan pesakit diabetes, kegagalan tisu badan untuk mengangkut glukosa menyebabkan glukosa tinggi dalam badan dan menimbulkan komplikasi kesihatan.
Stevia pula adalah daun pokok Stevia rebaudiana. Daun pokok Stevia mengandungi sebatian kimia steviol glycosides iaitu sejenis sebatian yang memiliki rangka diterpenoids dan beberapa unit glukosa diikat dengan ikatan beta glikosidik.
Steviol glycosides tidak dapat dicerna oleh enzim pencernaan manusia. Ia akan kekal struktur kimia sehingga sampai usus kecil. Di usus kecil, bakteria akan mengurai steviol glycosides kepada steviol, disakarida (dua unit glukosa diikat dengan ikatan beta glikosidik) dan glukosa.
Sebahagian steviol akan diserap oleh usus kecil dan dimetabolisme dalam hati menjadi steviol glucuronide (lihat gambar). Steviol glucuronide dikumuhkan melalui najis.

Hanya sedikit saja glukosa diserap dalam darah. Satu gram stevia memberikan sebanyak 2.7 kalori.
Disebabkan kehadiran glukosa dalam steviol glycosides, ia memberikan rasa manis 200-300 kali ganda dari gula putih, tetapi glukosa berkenaan tidak diserap oleh usus kecil. Ini kerana ia dalam bentuk disakarida yang ikat dengan ikatan glikosidik beta.
Usus manusia kekurangan enzim yang boleh mencerna disakarida dengan ikatan glikosidik beta. Atas sebab itu, ada sesetengah produk stevia mengubahsuai struktur glukosa dalam stevia kepada beberapa unit glukosa untuk mengelakkan ia terurai kepada glukosa sehingga ia dikumuh dari badan.

Atas sebab inilah, ia penting menyerahkan urusan kepada ahlinya. Mana-mana individu boleh menuduh stevia meningkatkan kandungan glukosa dalam darah hanya kerana dia melihat ada molekul glukosa dalam struktur kimia steviol glycosides.
Individu tersebut gagal memahami sistem pencernaan manusia tidak boleh mencerna ikatan beta glikosidik dengan baik seperti dalam steviol glycosides.
Manusia boleh mencerna ikatan glukosidik alfa seperti dalam sukrosa. Konsep yang sama juga jika anda membaca maklumat mengenai perubatan. Jangan percaya sekadar membaca tanpa memahami asas ilmu tersebut dan merujuk kepada ahlinya.
Adakah pengambilan kronik stevia (untuk tempoh yang lama) memberi kesan negatif kepada penggunanya?
Kajian selama 16 minggu ke atas seramai 120 pesakit diabetes jenis kedua mendapati pengambilan 1000mg stevioside A (sejenis steviol glycosides), tidak menjejaskan fungsi tubuh badan (tekanan darah, kandungan glukosa, fungsi hati dan fungsi buah pinggang).
Namun pesakit yang mengambil ubatan dinasihati tidak mengambil stevia melebihi yang dicadangkan oleh FAO/WHO iaitu 4 mg bagi setiap kg berat badan. Bagi individu dengan berat 50 kg, pengambilan maksimum steviol glycosides yang dicadangkan adalah tidak melebihi 200 mg sehari.
Stevia tidak merawat kencing manis. Ia hanya menggantikan gula putih di dalam diet seharian anda. Jangan tinggalkan ubat anda. Saya pernah tulis di sini.
Bersederhanalah dalam pemakanan anda.
Rujukan
Geuns, J. M. C., Buyse, J., Vankeirsbilck, A., Temme, E. H. M., Compernolle, F., & Toppet, S. (2006). Identification of Steviol Glucuronide in Human Urine. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 54(7), 2794-2798. doi:10.1021/jf052693e
Maki, K. C., Curry, L. L., Reeves, M. S., Toth, P. D., McKenney, J. M., Farmer, M. V., . . . Tarka, S. M. (2008). Chronic consumption of rebaudioside A, a steviol glycoside, in men and women with type 2 diabetes mellitus. Food and Chemical Toxicology, 46(7, Supplement), S47-S53. doi:https://doi.org/10.1016/j.fct.2008.05.007
Rippe, J. M., & Angelopoulos, T. J. (2013). Sucrose, high-fructose corn syrup, and fructose, their metabolism and potential health effects: what do we really know?. Advances in nutrition (Bethesda, Md.), 4(2), 236-45. doi:10.3945/an.112.002824
Wheeler, A., Boileau, A. C., Winkler, P. C., Compton, J. C., Prakash, I., Jiang, X., & Mandarino, D. A. (2008). Pharmacokinetics of rebaudioside A and stevioside after single oral doses in healthy men. Food and Chemical Toxicology, 46(7, Supplement), S54-S60. doi:https://doi.org/10.1016/j.fct.2008.04.041