SIRI 27: MISAI KUCING (Orthosiphon stamineus), PENAWAR PENYAKIT DIABETES?
Updated: 19 Mei 2019
1. Misai kucing, atau nama saintifiknya Orthosiphon stamineus merupakan ahli keluarga Lamiaceae. Ia digunakan secara tradisi bagi merawat deman, kencing manis, edema, tekanan darah tinggi, sawan dan jaundis [1].
2. Hasil carian dipanglan data berindeks menggunakan kata kunci Orthosiphon stamineus memberikan 297 artikel manakal perincian pencarian menggunakan kata kunci Orthosiphon stamineus dan diabetes memberikan hasil carian sebanyak 35 artikel.

3. Semua artikel merupakan kajian peringkat penemuan dan pra-klinikal ke atas model tikus. Masih belum ada kajian terhadap manusia akan keberkesanan misai kucing mengurangkan simptom diabetes.
4. Pokok ini dikenalpasti mempunyai sebatian kimia dari kelas flavonoids seperti sinensetin dan eupatorin, diterpenes, triterpenes, saponins dan asid fenolik seperti caffeic acid dan rosmarinic acid.
5. Dalam satu kajian ‘cross sectional’ terhadap 240 pesakit diabetes di Klinik Kesihatan Salak, Sepang, 38.7% pesakit mengambil misai kucing sebagai kaedah mengawal penyakit kencing manis [2]. Misai kucing sering diambil dengan cara rendaman air panas atau dikenali sebagai teh jawa.
6. Dalam satu kajian pada tahun 2017 ke atas tikus, pemberian ekstrak air misai kucing pada 500 mg bagi setiap kg berat tikus selama 14 hari memberikan kesan antidiabetes yang sama seperti glibenclamide (10 mg/kg berat badan) [3].
7. Dalam kajian terdahulu (2011) ke atas tikus, pemberian ekstrak misai kucing menggunakan pelarut kloroform sebanyak 1g bagi setiap kg berat tikus memberikan kesan antidiabetes yang sebanding dengan metformin. Ekstrak kloroform misai kucing dipecahkan (fractionation) kepada beberapa pecahan menggunakan kaedah kromatografi gelas.
8. Pecahan ekstrak ini (fractions) di uji ke atas tikus dan pecahan kedua yang paling berpotensi menunjukkan kesan antidiabetes yang lebih baik dari tikus yang tidak diberi rawatan tetapi lebih rendah berbanding tikus yang diberi rawatan metformin. Fraksi ini mengandungi sebatian dari kelas flavonoids dan terpenoids. Namun kertas kajian berkenaan tidak memperincikan pengenalpastian sebatian kimia [4].
9. Dalam satu kajian kesan genotoksik (kesan ke atas mutasi DNA dan RNA) misai kucing menggunakan bakteria di dalam piring petri dan ke atas tikus, penyelidik mendapati ekstrak misai kucing tidak memberikan kesan genotoksik pada dos 2 g bagi setiap kg berat tikus selama tiga hari [5].
10. Di dalam kajian yang lain, ekstrak etanol misai kucing pada dos 5 g per kg berat tikus tidak menunjukkan kesan toksik akut. Penyelidik juga mendapati pengambilan ekstrak misai kucing tidak memberikan kesan toksik subakut ke atas tikus pada dos 1g per kg berat tikus selama 28 hari [6].
11. Kesimpulannya, ekstrak misai kucing berpotensi sebagai antidiabetes. Kajian ke atas tikus mendapati pengambilan ekstrak misai kucing tidak toksik dan tidak memberikan kesan buruk kepada kesihatan. Namun begitu dalam laporan kajian ini, ekstrak misai kucing yang menunjukkan aktiviti sebahagiannya di ekstrak menggunakan pelarut organik.
12. Pengambilan daun misai kucing secara rendaman air panas tidak mengeluarkan sebatian kimia aktif yang sama seperti pelarut organik dan kemungkinan tidak memberikan kesan yang sama. Kajian lanjutan terhadap subjek manusia diperlukan bagi menilai keberkesanan misai kucing.
13. Anggota masyarakat disaran tidak meninggalkan pelan rawatan di hospital kerana ubatan itu telah terbukti secara saintifik. Sekiranya tuan puan ingin mengambil misai kucing, sila berbincang dengan doktor yang merawat. Tuan puan juga digalakkan memastikan ketulenan pokok misai kucing sebelum membelinya dan pastikan berdaftar dengan KKM sebagai ubat tradisional (MAL xxxx T) sekiranya membeli dalam bentuk ekstrak.
Sekian, semoga bermanfaat.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
[1] Singh, M. K.; Gidwani, B.; Gupta, A.; Dhongade, H.; Kaur, C. D.; Kashyap, P. P.; Tripathi, D. K., A review of the medicinal plants of genus Orthosiphon (Lamiaceae). International Journal of Biological Chemistry, 2015, 9, 318-331.
[2] Ching, S. M.; Zakaria, Z. A.; Paimin, F.; Jalalian, M., Complementary alternative medicine use among patients with type 2 diabetes mellitus in the primary care setting: A cross-sectional study in Malaysia. BMC Complementary and Alternative Medicine, 2013, 13.
[3] Azam, A. A.; Pariyani, R.; Ismail, I. S.; Ismail, A.; Khatib, A.; Abas, F.; Shaari, K., Urinary metabolomics study on the protective role of Orthosiphon stamineus in Streptozotocin induced diabetes mellitus in rats via1H NMR spectroscopy. BMC Complementary and Alternative Medicine, 2017, 17.
[4] Mohamed, E. A. H.; Mohamed, A. J.; Asmawi, M. Z.; Sadikun, A.; Ebrika, O. S.; Yam, M. F., Antihyperglycemic effect of orthosiphon stamineus benth leaves extract and its bioassay-guided fractions. Molecules, 2011, 16, 3787-3801.
[5] Muhammad, H.; Gomes-Carneiro, M. R.; Poa, K. S.; De-Oliveira, A. C. A. X.; Afzan, A.; Sulaiman, S. A.; Ismail, Z.; Paumgartten, F. J. R., Evaluation of the genotoxicity of Orthosiphon stamineus aqueous extract. Journal of Ethnopharmacology, 2011, 133, 647-653.
[6] Shafaei, A.; Esmailli, K.; Farsi, E.; Aisha, A. F. A.; Abul Majid, A. M. S.; Ismail, Z., Genotoxicity, acute and subchronic toxicity studies of nano liposomes of Orthosiphon stamineus ethanolic extract in Sprague Dawley rats. BMC Complementary and Alternative Medicine, 2015, 15.