Dr Che Puteh Osman
SIRI 28: BETUL KE KITA PERLU MENGAMBIL SUPLEMEN KERANA IKAN KITA TINGGI MERKURI?
Metil merkuri adalah sejenis logam yang cenderung untuk mengumpul dalam hidupan laut termasuk ikan. Isitilah ini dikenali sebagai pengumpulan bio atau bioaccumulation.
Semakin tinggi kedudukan sesuatu hidupan laut dalam rantaian makanan, lagi tinggi kemungkinan ia mengumpul metil merkuri. Istilah ini dikenali dengan nama magnifikasi bio atau biomagnification.

Betapa besarnya rahmat Tuhan pada tanah bertuah ini, kita mempunyai kawasan pantai yang panjang, yang membolehkan kita mendapat sumber bekalan makanan laut dengan mudah dan murah. Makanan laut terutamanya ikan, mengandungi omega 3 yang tinggi.
Menurut garis panduan Recommended Nutrition Intake yang dikeluarkan KKM, orang Malaysia memerlukan 0.67 g asid lemak omega 3. Menurut garis panduan WHO, sebanyak 2.22 g omega 3 diperlukan.
Seekor ikan kembung saiz sederhana dengan berat 100 g, terdapat 3.3 g omega 3 dan 2.0 g omega 6. Seekor ikan sahaja, sudah melebihi keperluan omega 3 harian. Kita tidak memerlukan makanan tambahan untuk omega 3 dan mineral.
Benarkah ikan dari perairan negara tidak selamat kerana mengandungi metil merkuri yang tinggi?
Merujuk kepada penerbitan terkini yang saya temui pada tahun 2018 (lihat gambar), hanya 4% hidupan laut dari 8 sampel hidupan laut bercengkerang, 29 spesies ikan dan 5 spesis sotong yang dianalisa mengandungi kandungan merkuri yang tinggi.

Spesies ikan yang mengandungi tinggi merkuri adalah ikan Gymnosarda unicolor- lihat gambar (0.1-0.6 mikrogram/gram), ikan siakap (0.032-0.309 mikrogram/gram), ikan pari (0.032-0.351 mikrogram/g), dan ikan cencaru (0.043-0.0340 mikrogram/gram). Itu pun hanya ikan dari kawasan tertentu yang tinggi. Kawasan lain rendah. Boleh makan, tapi pelbagaikan makanan anda. Anda tak akan berisiko kalau hanya makan sesekali.

Berapa kerap boleh makan hidupan laut yang mengandungi merkuri tinggi? Walaupun ikan siakap tinggi merkuri, kadar yang selamat untuk individu dengan berat 60 kg adalah 2.6 hidangan (160 g setiap hidangan) seminggu!

74% dari spesies hidupan laut yang dikaji mengandungi kandungan merkuri sangat rendah dan 15% dari spesies hidupan laut menunjukkan kandungan merkuri yang rendah.
Menurut WHO, had merkuri dan metil merkuri yang dibenarkan adalah 5 mikrogram dan 1.5 mikrogram seminggu bagi setiap kg berat badan.
Bagi seorang yang mempunyai berat badan 60 kg, mereka boleh terdedah kepada merkuri melalui makanan sehingga 30 mikrogram merkuri dan 7.5 mikrogram metil merkuri tanpa memberikan kesan negatif kepada individu tersebut.
Jika anda lihat jadual yang saya berikan di bawah, ikan kembung, ikan temenung, ikan caru, adik beradik kembung, ikan merah (red snapper), ikan pari bintik, udang putih, udang pink, udang kuning, dan sotong biasa mengandungi mengandungi merkuri sangat rendah, di bawah 0.15 mikrogram per gram.
Ingatlah konsep toksikologi, dos yang menjadikan ia ubat atau racun. Kebanyakan hidupan laut kita selamat, sehingga laporan terkini pada tahun 2018.
Mengapa bayar lebih untuk suplemen yang tidak perlu? Seekor ikan bukan sekadar omega 3, anda juga dapat mineral, protein dan kalsium. Berapa banyak suplemen anda kena makan untuk dapat khasiat seekor ikan kembung?
PS: Sila google sendiri rupa ikan mengikut jadual yang disediakan dalam gambar di bawah

Rujukan: Anual, Z. F., Maher, W., Krikowa, F., Hakim, L., Ahmad, N. I., & Foster, S. (2018). Mercury and risk assessment from consumption of crustaceans, cephalopods and fish from West Peninsular Malaysia. Microchemical Journal, 140, 214-221. doi:https://doi.org/10.1016/j.microc.2018.04.024