top of page

SIRI 28: KELADI TIKUS (Typhonium flagelliforme) RAWATAN ALTERNATIF KANSER?

Updated: 19 Mei 2019

1. Keladi tikus atau nama saintifiknya Typhonium flagelliforme, merupakan ahli keluarga Araceae. Ia digunakan secara tradisi bagi merawat pelbagai jenis kanser. Jus keladi disediakan dengan menumbuk keseluruhan pokok keladi tikus dan di minum [1].


Imej diambil dari khasiatkeladitikus.com


2. Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, penggunaan kata kunci Typhonium flagelliforme memberikan hasil carian sebanyak 55 artikel. Perincian pencarian menggunakan kata kunci Typhonium flagelliforme dan cancer memberikan hasil pencarian 25 artikel.


3. Pokok keladi tikus dikenalpasti mengandungi sebatian kimia pheophorbides, sejenis sebatian kimia hasil daripada pemecahan molekul klorofil. Selain itu, pokok ini juga dilaporkan mengandungi sterol tumbuh-tumbuhan dan fatty acids seperti asid linoleic dan asid linolenik.


4. Sebatian kimia pheophorbides menunjukkan potensi antikanser dan merupakan sejenis sebatian kimia yang sensitif kepada cahaya. Ini menjadikan ia berpotensi bagi rawatan terapi ‘photosensitising’, iaitu kaedah mengaktifkan sebatian kimia menggunakan cahaya dan menjadikan ia lebih kuat membunuh sel kanser [1-2].


5. Artikel pada tahun 2010 melaporkan beberapa bahagian daripada ekstrak keladi tikus menggunakan pelarut organic diklorometana menunjukkan potensi membunuh sel kanser leukemia pada dos 3 µM dalam pengujian piring petri. Bahagian ekstrak ini (fraction) kaya dengan sebatian kimia fatty acids [3-4].


6. Penyelidik berkenaan mendapati fraksi yang kaya dengan sebatian kimia fatty acids ini membunuh sel kanser melalui pengaktifan secara terprogram secara terpilih melalui beberapa mekanisme. Dalam erti kata lain ia hanya membunuh sel kanser leukemia dan tidak membunuh sel sihat. Dalam masa yang sama fraksi berkenaan menghalang pembentukan malignant tumor, iaitu tumor yang yang bersifat kanser [5].


7. Penyelidik berpendapat aktiviti antikanser bahagian aktif dari ekstrak diklorometana keladi tikus berkemungkinan disebabkan tindakbalas asid linoleic dan sebatian kimia lain di dalam ekstrak berkenaan.


8. Dalam satu kajian ke atas sekumpulan tikus, pemberian ekstrak etanol keladi tikus kepada tikus pada dos sekali sehari selama 7 hari memberikan kesan immunomodulatory, iaitu dengan menjana tindak balas system ketahanan tubuh melawan sel kanser [6].


9. Selain itu, dalam beberapa kajian lain, ekstrak diklorometana keladi tikus menunjukkan potensi membunuh sel kanser paru-paru [7], dan bersifat antioksidan yang sederhana. Selain itu, ekstrak keladi tikus menunjukkan potensi membunuh sel kanser colon yang sederhana.


10. Kesimpulannya, kajian ke atas keladi tikus hanyalah pada peringkat penemuan buat masa ini. Setakat pencarian penulis, kajian yang menunjukkan potensi keladi tikus adalah pada leukemia, di mana penyelidik telah menemui mekanisme bagaimana sel leukemia dibunuh dalam PIRING PETRI.


11. Selain itu, artikel penyelidikan berkenaan menunjukkan sebatian kimia yang menunjukkan aktiviti antikanser leukemia diektrak menggunakan pelarut organic DIKLOROMETANA yang mempunyai polarity sederhana, berbeza dengan air yang mempunyai polarity yang tinggi.


12. Sila dapatkan nasihat perubatan dan jangan meninggalkan pelan rawatan. Sekiranya ia merupakan makanan, tidak salah mencubanya. Kanser ia sejenis penyakit melawan masa, lebih awal diagnosis dan lebih cepat rawatan dimulakan, potensi untuk sembuh jauh lebih tinggi.


Sekian, semoga bermanfaat.


Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan:


[1] Lai, C. S.; Mas, R. H. M. H.; Nair, N. K.; Mansor, S. M.; Navaratnam, V., Chemical constituents and in vitro anticancer activity of Typhonium flagelliforme (Araceae). Journal of Ethnopharmacology, 2010, 127, 486-494.


[2] Choo, C. Y.; Chan, K. L.; Sam, T. W.; Hitotsuyanagi, Y.; Takeya, K., The cytotoxicity and chemical constituents of the hexane fraction of Typhonium flagelliforme (Araceace). Journal of Ethnopharmacology, 2001, 77, 129-131.


[3] Mohan, S.; Bustamam, A.; Ibrahim, S.; Al-Zubairi, A. S.; Aspollah, M., Anticancerous effect of Typhonium flagelliforme on human T4-lymphoblastoid cell line CEM-ss. Journal of Pharmacology and Toxicology, 2008, 3, 449-456.


[4] Mohan, S.; Abdul, A. B.; Abdelwahab, S. I.; Al-Zubairi, A. S.; Aspollah Sukari, M.; Abdullah, R.; Taha, M. M. E.; Beng, N. K.; Isa, N. M., Typhonium flagelliforme inhibits the proliferation of murine leukemia WEHI-3 cells in vitro and induces apoptosis in vivo. Leukemia Research, 2010, 34, 1483-1492.


[5] Mohan, S.; Abdul, A. B.; Abdelwahab, S. I.; Al-Zubairi, A. S.; Sukari, M. A.; Abdullah, R.; Elhassan Taha, M. M.; Ibrahim, M. Y.; Syam, S., Typhonium flagelliforme induces apoptosis in CEMss cells via activation of caspase-9, PARP cleavage and cytochrome c release: Its activation coupled with G0/G1 phase cell cycle arrest. Journal of Ethnopharmacology, 2010, 131, 592-600.


[6] Arief, N.; Muthi, I.; Ika Puspita, S.; Retno, M.; Agung Endro, N., Immunomodulatory Effects of Ethanolic Extract of Thyphonium flagelliforme (Lodd) Blume in Rats Induced by Cyclophosphamide. Journal of Evidence-Based Complementary & Alternative Medicine, 2015, 20, 167-172.


[7] Lai, C. S.; Mas, R. H. M. H.; Nair, N. K.; Majid, M. I. A.; Mansor, S. M.; Navaratnam, V., Typhonium flagelliforme inhibits cancer cell growth in vitro and induces apoptosis: An evaluation by the bioactivity guided approach. Journal of Ethnopharmacology, 2008, 118, 14-20.

833 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page