SIRI 29: BETUL KE PAHIT ITU UBAT?
Updated: 19 Mei 2019
Pernah tak dengar orang berkata, yang pahit itu ubat, yang manis itu racun? Benarkah sedemikian?
Boleh jadi ya, dan boleh jadi tidak. Seperti yaang sering saya katakan, di dalam tumbuhan ada beratus sebatian kimia. Dalam kuantiti yang biasa kita ambil dalam makanan, sebatian kimia ini tidak tinggi peratusannya. Malah sebatian kimia ini yang juga dikenali sebagai phytonutrient, dan ia meningkatkan kualiti kesihatan secara umumnya.
Berbeza sekiranya tumbuhan ini diekstrak, dan kandungan sebatian kimia ini dipekatkan. Peratusan sebatian kimia menjadi lebih tinggi, dan kesan ke atas tubuh badan juga berbeza, boleh jadi baik dan boleh jadi buruk.
Tahukah anda, sesetengah sebatian kimia tumbuhan ini pahit rasanya? Antaranya adalah sebatian kimia glucosinolates yang banyak didapati dalam sayur-sayuran dari keluarga Brassica antaranya kobis, sawi, brokoli, dan lain-lain.
Lagi tinggi kandungan sebatian kimia ini, lagi pahit rasa sayur tersebut. Apabila sayur-sayur ini diberi terlebih baja sulfur dan nitrogen, lebih tinggi kandungan glucosinolates, maka rasanya lebih pahit dari biasa.

Kemampuan manusia untuk mengenal raasa pahit dan tidak menyukai rasa pahit adalah salah satu bentuk survival spesis manusia. Ini kerana sebatian kimia yang memberikan rasa pahit ini boleh membahayakan jika diambil pada jumlah yang tinggi.
Sebab itu dalam kajian mengenalpasti potensi perubatan tumbuhan, sebatian kimia aktif perlu dikenalpasti. Apakah dos yang berkesan dan apakah dos yang memberikan kesan toksik. Kita tidak boleh mengambil petua berasaskan tumbuhan terlalu simplistik, dan menganggap ia selamat.
Beratus sebatian kimia dalam tumbuhan terlibat dalam proses interaksi metabolisme yang kompleks dalam tubuh badan, sama ada sudah ketahui oleh manusia atau pun tidak.
Tidak suka rasa pahit? Ketahuilah ia adalah salah satu kemahiran untuk kelangsungan hidup.
Dan pahit tidak semestinya ubat.