SIRI 29: PUCUK PAKU/PAKU PAKIS MENYEBABKAN KANSER?
Updated: 12 Jan 2020
Terdapat beberapa pertanyaan berkenaan bahaya pengambilan pucuk paku atau paku pakis. Ini kerana tular satu artikel mengatakan pucuk paku mengandungi sejenis sebatian kimia ptaquiloside (rujuk gambar).
Ptaquiloside merupakan sejenis bahan kimia semulajadi yang disahkan bersifat karsinogen. Ptaquiloside merupakan sebatian kimia semulajadi yang banyak didapati di dalam bracken fern.

Kesilapan terbesar pihak yang menyebarkan maklumat ini ialah tidak menyemak nama saintifik pucuk paku sebaliknya terus membuat andaian pucuk paku adalah dari jenis fern yang sama kerana bentuk daunnya yang hampir sama.
Kesilapan yang sama juga dilakukan oleh sesetengah pengamal herba yang menganggap sesetengah pokok generic itu adalah kacip Fatimah dan tongkat Ali kerana bentuk daun yang hampir sama.
Ptaquiloside banyak di dapati di dalam bracken Fern. Bracken fern hidup liar di kawasan suhu sederhana, sub tropika dan sub artik. Ia tidak tumbuh di kawasan tropika seperti Malaysia. Bracken Fern merujuk kepada pokok fern dari genus Pteridium dan keluarga Dennstaedtiaceae.
Terdapat ENAM sepsis dari pokok ini iaitu Pteridium aquilinum subsp. decompositum, Pteridium aquilinum var. feei, Pteridium aquilinum var. lanuginosum, Pteridium aquilinum var. latiusculum, Pteridium aquilinum subsp. pinetorum dan Pteridium aquilinum var. pseudocaudatum.
Manakala nama saintifik bagi pucuk paku adalah Diplazium esculentum dan keluarga Athyriaceae. Ia tumbuh di kawasan pantropika seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Laos.
Di Malaysia pucuk paku selalu digoreng sambal belacan, masak lemak, dan lain-lain. Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, terdapat sekitar 145 kertas kajian mengenai pucuk paku dari pelbagai bidang penyelidikan.
Tiada kajian sebatian kimia semulajadi di dalam pucuk paku. Sebatian kimia semulajadi di dalam genus Diplazium adalah triterpenes lactone glycosides (rujuk gambar) dan merupakan kelas sebatian kimia yang jauh berbeza dengan ptaquiloside. Kebiasaannya pokok dari genus yang sama akan mempunyai kelas sebatian kimia yang sama bergantung tempat tumbuhan itu hidup.

Kesimpulannya, jangan mudah percaya artikel yang tidak diketahui siapa penulisnya. Dalam sesuatu perkara rujuklah pada ahlinya.
Sekian, semoga bermanfaat
Semoga bermanfaat
Che Puteh Osman
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Inatomi, Y.; Inada, A.; Murata, H.; Nishi, M.; Nakanishi, T., Constituents of a Fern, Diplazium subsinuatum. III. Four New Hopane-Triterpene Lactone Glycosides. CHEMICAL & PHARMACEUTICAL BULLETIN, 2000, 48, 1930-1934.
Nakanishi, T.; Inatomi, Y.; Nishi, M.; Murata, H.; Inada, A., Constituents of a fern, Diplazium subsinuatum. II. Structure elucidation of five new hopane-triterpene glycosides. Chemical and Pharmaceutical Bulletin, 1997, 45, 8-12.
Kristanc, L.; Kreft, S., European medicinal and edible plants associated with subacute and chronic toxicity part I: Plants with carcinogenic, teratogenic and endocrine-disrupting effects. Food and Chemical Toxicology, 2016, 92, 150-164.