SIRI 3: ANTIOKSIDAN, MENCEGAH DAN MERAWAT PENYAKIT?
Updated: 23 Mei 2019
1. Saya selalu melihat di media-media social terdapat pelbagai petua dan nasihat makanan atau produk tertentu yang didakwa mencegah dan merawat penyakit kerana ia bersifat antioksidan. Benarkah sedemikian?
2. Sebelum saya mengulas perkara ini, elok kiranya saya menerangkan proses pengoksidaan dan penurunan atau lebih dikenali sebagai tindakbalas redoks di dalam tubuh badan manusia.
3. Tindak balas pengoksidaan dan penurunan yang melibatkan radikal bebas merupakan asas kepada pelbagai proses biokimia dalam tubuh badan manusia. Keseimbangan diantara radikal bebas dan antioksidan adalah penting bagi mengekalkan sistem tubuh badan yang sihat.
4. Terdapat dua sumber radikal bebas kepada manusia iaitu radikal bebas yang terhasil daripada proses biokimia dalam tubuh badan manusia dan radikal bebas dari sumber luaran seperti pendedahan kepada pencemaran, gaya hidup tidak sihat dan sebagainya.
5. Tubuh badan manusia menghasilkan antioksidan tersendiri bagi menukarkan radikal bebas kepada bahan yang tidak berbahaya. Badan manusia mendapat antioksidan luaran daripada sumber makanan seperti vitamin C dan E, dan sebatian kimia semulajadi yang lain seperti polifenol, flavonoids dan lain-lain.

6. Ketidakseimbangan dalam proses pengoksidaan dan penurunan dalam tubuh badan manusia boleh menyebabkan stress oksidatif yang dikatakan antara faktor penyumbang kepada pelbagai penyakit.
7. Kita digalakkan makan sumber makanan yang kaya dengan vitamin dan berkhasiat bagi mengelakkan ketidakseimbangan ini. Selain itu, gaya hidup yang sihat seperti tidak merokok, tidak makan berlebihan, bersenam dan tidak stress melampau penting bagi mengekalkan kualiti hidup yang sihat.
8. Persoalannya, adakah perlu makanan tambahan tertentu bagi mengekalkan gaya hidup sihat dan memanjangkan umur (longevity)?
9. Misalannya, keperluan vitamin C bagi seorang dewasa adalah antara 60-100 mg sehari. Jika kita melihat kandungan nutrisi makanan kita, Kita boleh mendapat sekitar 90 mg vitamin C dari brokoli, 36 mg vitamin C dari 100 g manga dan 228 mg vitamin C dalam 100 g buah jambu batu. Kita sudah mendapat lebih vitamin C sehari hanya dari makanan sahaja.
10. Perlukah lagi makanan tambahan vitamin C? Merujuk kepada no.3, kalau kita ambil berlebihan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan sistem biokimia tubuh badan dan akhirnya memberi kesan kesihatan. Antara kesan sampingan pengambilan vitamin C yang berlebihan ialah cirit birit, muntah, sakit ulu hati, sakit kepala dan insomnia. Pengambilan vitamin C terlalu tinggi boleh menyebabkan pembentukan batu karang di buah pinggang.
11. Terdapat sesetengah pihak beranggapan bahawa pengambilan makanan tambahan tertentu membantu pemulihan pesakit. Walaupun mereka patuh pada mengambil ubat-ubatan yang diberi, pengambilan makanan tambahan lain tanpa pengetahuan doktor boleh mengganggu proses rawatan.
12. Izinkan saya memberi beberapa contoh. Jus limau gedang (grapefruit) didapati mengganggu fungsi enzim CYP3A4 dan protein pembawa ubat (P-gp) yang bertanggungjawab metabolisme banyak ubat-ubat penting. Gangguan ini disebabkan kehadiran flavonoid jenis naringenine dan apigenin. Ini menyebabkan ubat berada lebih lama dari sepatutnya dalam badan manusia dan boleh menyebabkan lebihan dos ubat.

13. Sebatian kimia jenis flavonoid seperti naringenin dan apigenin banyak didapati dalam jus sitrus dan juga makanan tempatan. Oleh kerana umumnya masyarakat awam tidak tahu mengenai hal ini, anda di nasihatkan untuk sentiasa mengikut nasihat pakar perubatan dan pakar pemakanan di klinik dan hospital.

14. Dalam satu kajian klinikal ke atas manusia yang sihat pada tahun 2010, pemberian 1 g resveratrol setiap hari menyebabkan gangguan pada enzim yang bertanggungjawab dalam metabolisme ubat sama seperti senario yang dilihat dalam kes jus limau gedang.
15. Kesimpulannya, walaupun mereka merupakan sejenis makanan, apabila diproses dan kandungan sebatian kimia dipekatkan, pengambilan mereka sebagai makanan tambahan perlu melalui nasihat pakar bertauliah. Namun pengambilan biasa dalam diet sepatutnya tidak bermasalah tetapi pastikan anda sentiasa mengikuti nasihat doktor anda. Hanya doktor bertauliah yang menentukan sama ada anda memerlukan vitamin tambahan atau tidak. Misalannya ibu mengandung perlu mengambil asid folik bagi mengelakkan kecacatan spina bifida.
16. Jika anda masih bertegas ingin mencuba setelah nasihat diberi? Pastikan berdaftar, baru beli. Ubat tradisional harus berdaftar MAL….T dan makanan tambahan MAL….X. Anda boleh semak di www.npra.gov.my. Ubat tradisional dan makanan tambahan tidak boleh ada dakwaan perubatan. Jika ada pihak membuat dakwaan kesihatan, aduan boleh dibuat kepada aduanproduk@moh.gov.my. Sekiranya produk mereka dikelaskan sebagai kosmetik dengan nombor pendaftran NOT atau dikelaskan sebagai makanan, tiada dakwaan mengubati boleh dibuat.
Sekian, semoga bermanfaat.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
1. Carian maklumat kandungan nutrisi dalam makanan : https://ndb.nal.usda.gov/ndb/search/list
2. Benzie, I. F. F., & Choi, S.-W. (2014). Chapter One - Antioxidants in Food: Content, Measurement, Significance, Action, Cautions, Caveats, and Research Needs. In J. Henry (Ed.), Advances in Food and Nutrition Research (Vol. 71, pp. 1-53): Academic Press.
3. de Boer, A., van Hunsel, F., & Bast, A. (2015). Adverse food–drug interactions. Regulatory Toxicology and Pharmacology, 73(3), 859-865. doi:https://doi.org/10.1016/j.yrtph.2015.10.009
4.Vitamin C for Health (2018) Retrieved from https://www.webmd.com/diet/supplement-guide-vitamin-c#2 on May 31, 2018.
5. Chow, H.H., Garland, L.L., Hsu, C.H., Vining, D.R., Chew, W.M., Miller, J.A., Perloff, M., Crowell, J.A., Alberts, D.S., 2010. Resveratrol modulates drug- and carcinogen-metabolizing enzymes in a healthy volunteer study. Cancer Prev.Res.3,1168–1175.
6. Margină, D., Ilie, M., Grădinaru, D., Androutsopoulos, V. P., Kouretas, D., & Tsatsakis, A. M. (2015). Natural products—friends or foes? Toxicology Letters, 236(3), 154-167. doi:https://doi.org/10.1016/j.toxlet.2015.05.009