top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 3:PANTANG DULU DAN SEKARANG, TANYA DR IMELDA

Apa yang saya tonton dalam rancangan #TanyaDrImelda pada hari ini.


1. Pantang air

Dulu-dulu : Meneran lama, boleh ada koyakan dan menyebabkan ada saluran dari rahim ke pundi kencing. Ini yang dipanggil vasicovaginal fistula. Jadi betullah kan orang dulu kata minum air banyak menyebabkan rahim/vagina becak.


Sekarang: Dengan kemudahan perubatan hari ini, ibu-ibu dibantu bagi mengelakkan proses kelahiran yang lama yang boleh menyebabkan komplikasi. JAdi, tidak timbul lagi isu rahim becak atau berair.


2. Kancing gigi dan makanan sejuk

Dulu-dulu : Pada zaman dahulu, kebanyakan kelahiran adalah di rumah. alat-alat yang digunakan juga tidak steril Mereka tiada pemeriksaan antenatal dan tidak menerima suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan bakteria Clostridium tetani, iaitu bakteria yang ada di tanah yang boleh menyebabkan penyakit kancing gigi. Penyakit kancing gigi bukan disebabkan sayur atau buah.


Sekarang: Pada hari ini ketika pemeriksaan antenatal, ibu-ibu mengandung diberi suntikan vaksin tetanus. Ketika melahirkan anak di hospital juga, peralatan adalah steril. Hari ini kita hampir tidak pernah melihat penyakit kancing gigi yang sebenar. Kebiasaannya, ia dilihat pada anak-anak pendatang asing tanpa izin di mana mereka tidak mendapat pemeriksaan antenatal dan dilahirkan dirumah. Suntikan ini bukan saja bagi manfaat kepada ibu tapi juga pada janin melalui trans maternal antibodies. Jadi, kancing gigi bukan disebabkan oleh makanan sejuk atau tidak berpantang.


3. Jangan bergerak dalam pantang

Dulu-dulu : Kehilangan darah masa beranak yang tidak diganti. Ibu pening-pening, letih sebab darah kurang. Jadi, orang dahulu melarang ibu-ibu dalam pantang bergerak kerana bimbang pengsan. Punca kurang darah antaranya pendarahan disebabkan rahim lambat mengecut.


Sekarang: Suntikan ubat diberikan bagi mengecutkan rahim untuk mengelakkan pendarahan. Kalau berlaku pendarahan tak diduga, belon dipasang di dalam rahim dan akhir sekali rahim dibuang jika pendarahan gagal dihentikan untuk selamatkan nyawa. Sekarang kalau kurang bergerak akan meningkatkan risiko darah beku yang menyebabkan kematian. Ini kerana selepas melahirkan, darah kita beberapa kali ganda lebih pekat dari biasa. Oleh itu, ibu-ibu perlu bergerak dan perlu minum air masak 2-3L sehari.


4. Mengurut

Dulu-dulu: Dulu tiada suntikan kecutkan rahim seperti syntometrin dan syntocinon diberi, jadi perbuatan mengurut adalah untuk mempercepatkan uri dikeluarkan supaya rahim mula mengecut.


Sekarang: Memang ada rawatan untuk bantu keluarkan uri dan suntikan diberikan untuk mempercepatkan rahim mengecut. Jadi, mengurut bukan lagi keperluan pada zaman sekarang. Sekarang perbuatan mengurut lebih kepada untuk merehatkan badan dan menghilangkan lenguh-lenguh. Bacaan penuh di sini.


5. Menggigil

Ini sebab terdapat sedikit percampuran darah ibu dan bayi ketika proses kelahiran. Keadaan ini dipanggil sebagai maternal-fetal transfusion reaction. Satu pertiga ibu akan mengalami keadaan ini kerana darah ibu dan anak yang tidak sama. Dalam situasi lain, jika anda menerima pendermaan darah dari kumpulan darah berbeza dengan darah anda, anda juga akan menggigil. Anda boleh baca tulisan penuh Dr Imelda Balchin di sini.


6. Pantang makan makanan laut bila pembedahan

Dulu-dulu: Zaman dahulu, benang yang digunakan untuk menjahit luka pembedahan dibuat dari usus binatang. Jadi, terdapat risiko alahan dan gatal-gatal selepas pembedahan. Sebab itu orang dahulu menganjurkan supaya kita berpantang makanan tertentu.


Sekarang: Benang yang digunakan sekarang merupakan benang sintetik antibakteria dan cepat larut. Punca nanah adalah jangkitan bakteria pada luka pembedahan. Tangan kita ada bakteria dan perlu dibersihkan dengan rapi sebelum menyentuh luka. Luka juga perlu dikeringkan sempurna. Jika tidak, jangkitan bakteria boleh menyebabkan nanah. Nanah bukan disebabkan oleh makanan laut, telur atau ayam. Sebaliknya untuk sembuh luka, kita perlukan protein dan makanan seimbang serta berkhasiat. Tetapi jika anda memang sedia ada alahan dengan makanan laut, maka pantang makanan yang anda ada alahan sahaja, bukan semua makanan.


Jangan lupa minggu depan, setiap Khamis di Astro Prima 9 malam rancangan #TanyaDrImelda

2,766 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page