SIRI 30: KAJIAN SAINTIFIK TERHADAP PENGGUNAAN TRADISI AKAR PATAWALI (Tinospora crispa)
Updated: 19 Mei 2019
PENGENALAN
1. Akar Patawali atau nama saintifiknya Tinospora crispa, merupakah ahli keluarga Menispermaceae. Is juga dikenali dengan nama akar seruntun dan seruntum di Malaysia. Di Indonesia, tumbuhan ini dikenali dengan nama antawali, andawali dan brotawali.
2. Batang pokok akar patawali digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional antaranya untuk rawatan diabetes, darah tinggi, menaikkan selera makan, dan perlindungan dari gigitan nyamuk. Di luar negara, ia juga digunakan untuk rawatan kulit gatal, lumpuh, jaundis, leprosy, scabies dan septicemia.
3. Hasil carian di pangkalan jurnal berindeks, pencarian menggunakan kata kunci ‘Tinospora crispa' memberikan 145 artikel.

Gambar diambil dari Wiki Commons
SEBATIAN KIMIA SEMULAJADI DI DALAM POKOK AKAR PATAWALI
4. Terdapat lebih 65 sebatian kimia telah dikenalpasti dari pokok akar patawali. Sebatian kimia ini terdiri dari kelas flavonoids, terpenoids, alkaloids, lignans dan sterols. Antara sebatian kimia yang penting yang akan dibincangkan nanti adalah terpenoids iaitu borapetoside A-D (14-17) dan alkaloids iaitu hagenamin (rujuk gambar)

PENGUJIAN SARINGAN DAN PRA-KLINIKAL AKAR PATAWALI
5. KERADANGAN
Ekstrak akar patawali menunjukkan sifat anti keradangan dan aktiviti immunomodulatory (mencetus sistem pertahanan tubuh) yang baik. Selain itu, ekstrak akar patawali mempunyai aktiviti anticholinerase, di mana ia berpotensi untuk kajian lanjutan untuk rawatan penyakit Alzheimer, Parkinson dan nyanyuk tua. Namun kajian-kajian ini tidak mengenalpasti sebatian kimia aktif di dalam ekstrak yang bertanggungjawab terhadap aktiviti tersebut.
6. Ekstrak air akar patawali di uji ke atas arnab yang mempunyai kolesterol tinggi. Pemberian ekstrak batang akar batawali melambatkan perkembangan atherosclerosis iaitu pembentukan plak dalam salur darah dan melambatkan risiko angin ahmar dan darah tinggi.
7. TEKANAN DARAH KADAR DEGUPAN JANTUNG
Selain itu, ekstrak etanol akar patawali didapati meningkatkan tekanan darah beserta mengurangkan tekanan jantung anjing yang dibius. Kajian lanjutan telah mengenalpasti sebatian kimia aktif dari ekstrak tersebut. Salsolinol dan adenosine mengurangkan tekanan darah dan kadar dengupan jantung tikus manakala tyramine meningkatkan tekanan darah dan kadar dengupan jantung tikus. Higenamine mengurangkan tekanan drah dan meningkatkan kadar degupan jantung. Higenamine telah dikaji lebih lanjut pada fasa klinikal kepada manusia. Terdapat beberapa sebatian kimia lain dalam batang akar patawali dari kelas triterpenes dan apophine alkaloids yang menunjukkan kesan cardiotonic yang rendah iaitu sejenis bahan kimia peransang kepada fungsi jantung.
8. DIABETES
Beberapa kajian menunjukkan ekstrak akar patawali berpotensi merawat diabetes jenis II (NIDDM) di dalam kajian ke atas tikus. Kajian mengenai sebatian kimia di dalam ekstrak tersebut menunjukkan sebatian borapetoside A, B dan C berpotensi merawat diabetes, dengan mekanisme yang berbeza di dalam model tikus.
KAJIAN KLINIKAL KE ATAS MANUSIA
9. Dalam satu kajian ‘randomized control trial’ ke atas 40 pesakit di Thailand, 20 pesakit menerima 1 g sehari ekstrak akar patawali sebanyak 3 kali manakali 20 pesakit lagi menerima placebo. Tiada perbezaan signifikan terhadap kawalan penyakit diabetes di antara kumpulan yang menerima ekstrak akar patawali dan kumpulan placebo.
10. Dua pesakit yang menerima rawatan ekstrak akar patawali mengalami peningkatan enzim hati yang memberi indikasi kesan toksik akut. Selepas pemberian ekstrak dihentikan, fungsi hati kembali normal.
11. Di dalam kajian yang lain di Thailand, ekstrak akar patawali di berikan kepada 10 subjek yang sihat dan 10 subjek yang mengidap diabetes mellitus. Pemberian 125g dan 250g ekstrak akar patawali tidak memberikan kesan signifikan kembali kedua-dua kumpulan subjek tersebut.
KESAN TOKSIK PENGGUNAAN AKAR PATAWALI
12. Kajian ke atas sekumpulan tikus mendapati pembelian 4.0g ekstrak bagi setiap kg berat tikus tidak memberikan kesan toksik akut. Walaubagaimanapun, di dalam pengujian kesan toksik kronik selama 6 bulan ke atas tikus, dos 9.26g bagi setiap kg berat tikus setiap hari menyebabkan kesan toksik kepada hati dan buah pinggang.
13. Terdapat satu laporan kes kesan toksik penggunaan ekstrak akar patawali terhadap manusia. Pesakit berkenaan mengambil pellet akar patawali bagi mengelak jangkitan malaria. Penggunaan dos tinggi akar patawali menyebabkan keradangan hati atau hepatitis. Fungsi hati pesakit berkenaan kembali normal selepas 2 bulan menghentikan penggunaan pellet akar patawali tersebut.
KESIMPULAN
14. Akar patawali digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan secara tradisional. Kajian di dalam piring petri dan ke atas tikus menunjukkan ekstrak akar patawali berpotensi DIKAJI untuk mencari penawar baru bagi penyakit tersebut. Sebahagian daripada kajian ini dilakukan oleh beberapa kumpulan penyelidikan di Malaysia.
15. Sebatian kimia higenamine dan boratiposide A-C misalannya, menunjukkan aktiviti merawat penyakit dengan mekanisme berbeza. Sekiranya kita mengambil ekstrak yang mengandungi sebatian kimia ini tanpa standardisasi, sebatian kimia ini boleh memberikan kesan yang berbeza-beza kepada individu.
16. Atas sebab ini, kajian terhadap herba dilakukan dengan mengenalpasti sebatian kimia yang aktif, dan sebatian kimia ini dihasilkan semula secara pukal melalui bioteknologi mahupun sintesis kimia bagi kajian lanjutan. Ini kerana perawat boleh mengenalpasti tindak balas setiap bahan aktif ubat tersebut. Ini kerana masalah biokimia yang membawa kepada penyakit diabetes adalah tidak sama antara satu pesakit dan pesakit yang lain.
17. Terdapat satu kajian klinikal fasa tiga dilakukan terhadap higenamine, sejenis sebatian kimia yang ditemui dalam pokok akar patawali.
18. Sila berhati-hati mendengar petua dan sentiasa dengar nasihat doktor yang merawat. Tiada herba mencegah diabetes jika anda minum satu jug teh tarik setiap hari.
Sekian, semoga bermanfaat.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Abu, M. N.; Hassan, H. F.; Yusoff, R.; Ismail, W. I. W., Tinospora crispa methanolic crude extract activates apoptotic pathway of insulin resistant-HepG2 cell lines by improving the insulin sensitivity. Malaysian Applied Biology, 2017, 46, 133-140.
Abu, M. N.; Samat, S.; Kamarapani, N.; Nor Hussein, F.; Wan Ismail, W. I.; Hassan, H. F., Tinospora crispa ameliorates insulin resistance induced by high fat diet in wistar rats. Evidence-based Complementary and Alternative Medicine, 2015, 2015.
Ahmad, W.; Jantan, I.; Bukhari, S. N. A., Tinospora crispa (L.) Hook. f. & Thomson: A review of its ethnobotanical, phytochemical, and pharmacological aspects. Frontiers in Pharmacology, 2016, 7.
Ahmad, W.; Jantan, I.; Kumolosasi, E.; Bukhari, S. N. A., Standardized extract of Tinospora crispa stimulates innate and adaptive immune responses in Balb/c mice. Food and Function, 2016, 7, 1380-1389.
Ismail, M.; Choudhary, M. I., Compounds Isolated from Tinospora crispa. Chemistry of Natural Compounds, 2016, 1-3.
Lam, S. H.; Ruan, C. T.; Hsieh, P. H.; Su, M. J.; Lee, S. S., Hypoglycemic diterpenoids from Tinospora crispa. Journal of Natural Products, 2012, 75, 153-159.
Praman, S.; Mulvany, M. J.; Williams, D. E.; Andersen, R. J.; Jansakul, C., Hypotensive and cardio-chronotropic constituents of Tinospora crispa and mechanisms of action on the cardiovascular system in anesthetized rats. Journal of Ethnopharmacology, 2012, 140, 166-178.
Ruan, C. T.; Lam, S. H.; Chi, T. C.; Lee, S. S.; Su, M. J., Borapetoside C from Tinospora crispa improves insulin sensitivity in diabetic mice. Phytomedicine, 2012, 19, 719-724.
Ruan, C. T.; Lam, S. H.; Lee, S. S.; Su, M. J., Hypoglycemic action of borapetoside A from the plant Tinospora crispa in mice. Phytomedicine, 2013, 20, 667-675.
Sangsuwan, C.; Udompanthurak, S.; Vannasaeng, S.; Thamlikitkul, V., Randomized controlled trial of Tinospora crispa for additional therapy in patients with type 2 diabetes mellitus. Journal of the Medical Association of Thailand, 2004, 87, 543-546.
Xu, Y.; Niu, Y.; Gao, Y.; Wang, F.; Qin, W.; Lu, Y.; Hu, J.; Peng, L.; Liu, J.; Xiong, W., Borapetoside E, a Clerodane Diterpenoid Extracted from Tinospora crispa, Improves Hyperglycemia and Hyperlipidemia in High-Fat-Diet-Induced Type 2 Diabetes Mice. Journal of Natural Products, 2017, 80, 2319-2327.
Zhang, N.; Lian, Z.; Peng, X.; Li, Z.; Zhu, H., Applications of Higenamine in pharmacology and medicine. Journal of Ethnopharmacology, 2017, 196, 242-252.