• Dr Che Puteh Osman

SIRI 31: CYCLOPAMINE, DARI TERATOGEN KEPADA UBAT ANTIKANSER

Kemaskini: 19 Mei 2019

Natural tidak semestinya selamat.


Jika anda keluar ke halaman rumah anda dan memetik daun satu pokok dan makan, adakah ia selamat?


Mungkin ya, mungkin tidak.


Selama saya menulis di sini saya pernah menerangkan tentang pokok dari keluarga Scenacio sp. yang menghasilkan pyrrolizidine alkaloid (link di bawah). Pyrrolizidine alkaloid adalah sejenis karsinogen. Menariknya, lebah sebahagiannya hinggap pada pokok ini dan menghasilkan madu. Madu dari negara yang mana pokok ini hidup liar berpotensi tercemar dengan pyrrolizidine alkaloid. Satu lagi lembu yang meragut pokok Scenacio sp. Pyrrolizidine alkaloid boleh memasuki daging dan susu dan kekal sehingga dimakan manusia.


Kali ini saya ingin menceritakan satu pokok yang dikenali sebagai corn lily atau nama saintifiknya Veratrum californicum. Pokok ini menghasilkan sebatian kimia cyclopamine, sejenis alkaloid yang menyebabkan kecacatan janin atau kesan teratogenik. Untuk lebih tepat, kelahiran bayi mata tunggal akibat kegagalan otak fetus membahagi kepada dua lobe (holoprosencephaly). Fenomena ini mula diperhatikan apabila kambing yang diternak di sekitar kawasan tersebut melahirkan anak kambing yang cacat.



Menariknya, cyclopamine juga dikaji potensinya sebagai agen antitumor.


Menariknya sebatian kimia yang sama merencat Sonic hedgehog signalling pathway (tapak pengisyaratan Shh) yang sering dikaitkan dengan pembentukan rare cancer di kalangan kanak-kanak.


Sebatian kimia terbitan cyclopamine telah melepasi kajian klinikal fasa kedua bagi merawat jenis kanser yang jarang berlaku tetapi sering berlaku pada kanak-kanak.


Jadi pengajaran di sini, apabila anda mendengar petua yang bukan kebiasaan, jangan terus anda anggap ia selamat. Jika tidak karsinogen dan teratogen sekalipun, ia boleh berpotensi memberikan kesan toksititi akut atau kesan interaksi ubat.


Bukanlah saya menentang semua petua. Saya menegur petua tidak masuk akal dan tidak terjamin selamat.


Sentiasa merujuk doktor anda jika ada masalah kesihatan.


Link artikel pyrollizidine alkaloid

https://www.facebook.com/100000524431513/posts/2008123882548407/


Rujukan

Cohen, M. M. and Shiota, K. (2002), Teratogenesis of holoprosencephaly. Am. J. Med. Genet., 109: 1-15. doi:10.1002/ajmg.10258

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.