SIRI 32: BENARKAH BAHAN SINTETIK ITU BERBAHAYA?
Updated: 13 Jun 2019
Sepanjang saya menulis di laman sesawang dan di media sosial, akan ada satu kumpulan datang mengatakan saya membuat perbandingan yang salah. Mana sama limonene dari tumbuhan dengan limonene dari hasil industri. Manakan sama asid salisilik dari kulit pokok willow dengan asid salisilik yang dihasilkan secara sintetik. Manakan sama herba yang mempunyai bahan kimia semulajadi dengan ubat hospital yang dihasilkan secara sintetik. Dan panjang lagi komen-komen sebegini.

Tumbuhan mengandungi bahan kimia. Sehingga kini lebih 200,000 ribu sebatian kimia semulajadi dikenalpasti dari tumbuh-tumbuhan. Dalam satu-satu tumbuhan terdapat beratus sebatian kimia semulajadi. Malah lebih 55 % preskripsi hari ini ditemui dari tumbuhan. Ubat yang ditemui dari tumbuhan ini sama ada telah melalui modifikasi pada struktur kimianya atau tidak dimodifikasi.
Untuk tujuan penghasilan secara besar-besaran, sesetengah ubat in dihasilkan secara sintetik. Ada juga ubat yang dihasilkan secara semi sintetik. Maksudnya, bahan pemula diekstrak dari tumbuhan atau sel kultur tumbuhan tersebut. Kemudian bahan pemula ini melalui proses semi sintetik bagi menghasilkan sebatian kimia yang diingini. Terdapat juga sebatian kimia semulajadi dihasilkan secara kejuruteraan bio.

Benarkah bahan kimia yang dihasilkan secara sintetik itu lebih berbahaya berbanding dengan bahan kimia yang sama yang ditemui dari alam semulajadi?
Sebatian kimia yang mempunyai struktur kimia yang sama, akan mempunyai sifat yang sama, tidak kisah dari mana sumbernya. Ini adalah konsep kimia yang paling asas, yang dipelajari oleh mana-mana pelajar kimia. Sama ada sebatian kimia itu berbahaya atau tidak, ia bergantung kepada jenis bahan kimia tersebut, dan dosnya.
The doses make the poison - Paracelsus.
Air yang merupakan keperluan asas manusia, boleh membunuh jika anda minum berliter dalam masa satu jam. Air berlebihan akan menyebabkan paras garam akan sangat rendah dalam badan dan menyebabkan kematian. Parasetamol, ubat demam dan tahan sakit yang sangat selamat, boleh menyebabkan ketoksikan hati jika diambil melebihi 20 g sehari. Pada pengambilan yang disyorkan, iaitu 2 biji bersamaan 1g, 4-5 kali sehari, ia adalah selamat melainkan anda mempunyai alahan terhadap paracetamol.
Kimia sintesis adalah salah satu cabang kimia yang sangat bermanfaat kepada manusia. Dengan teknik terkini, banyak bahan kimia dapat dihasilkan dengan menggunakan bahan mesra alam sekitar dengan peratus keberhasilan yang tinggi. Ubat, pewangi, pewarna dan lain-lain dapat dihasilkan dengan banyak dengan kos yang rendah.
Ingatlah, sifat bahan kimia adalah sama jika struktur kimianya sama, sama ada dari sumber semulajadi atau sintetik.