Dr Che Puteh Osman
SIRI 33: JIKA UBAT DITEMUI DARI TUMBUHAN, MENGAPA KITA TIDAK AMBIL DARI TUMBUHAN SAJA?
Tahukah anda, sehingga kini lebih 200, 000 sebatian kimia semulajadi ditemui dari tumbuh-tumbuhan? Tumbuhan menghasilkan sebatian kimia semulajadi sebagai satu kaedah kemandirian dan penyesuaian terhadap persekitaran. Jadi, tumbuhan sama, ditanam di dua tempat berbeza, akan menghasilkan sebatian kimia berbeza jika mereka berhadapan faktor stress yang berbeza.
Tahukah anda, lebih 55% ubat moden hari ini ditemui dari tumbuhan? Sebahagian ubat mengalami modifikasi pada struktur kimianya bagi meningkatkan profil keberkesanan dan keselamatan. Manakala sebahagian lagi tidak pernah diubah struktur kimianya.

Mengapakah pada zaman moden ini, pengambilan herba dan tumbuhan sahaja tidak memadai bagi merawat penyakit anda?
Pertama, kandungan sebatian kimia di dalam tumbuhan banyak dipengaruhi oleh lokaliti dan faktor geografi. Tumbuhan sama yang ditanam di dua tempat berbeza akan menghasilkan sebatian kimia dengan komposisi berbeza. Sebab itu, untuk menghasilkan ubat berasaskan campuran herba yang mematuhi piawaian keselamatan dan keberkesanan, faktor kualiti tanaman perlu diambil kira bagi menghasilkan bahan kimia aktif yang konsisten.
Kedua, tumbuhan asalnya ada yang beracun. Contohnya pokok Goat’s rue. Ubat metformin asalnya dibangunkan dari pokok ini. Goat’s rue telah digunakan berabad lamanya bagi merawat simptom berkaitan diabetes. Tetapi pokok Goat’s rue ni sejenis rumpai beracun. Bahan aktifnya guanidine tidak mempunyai profil keselamatan yang baik. Pengubahsuaian pada guanidinine menghasilkan dimethylguanidine atau dikenali dengan nama metformin. Metformin jauh lebih berkesan dan selamat berbanding guanidine.
Ketiga, berapa banyak sampel tumbuhan yang diperlukan untuk memberi kesan? Dalam pokok kamunting cina ada 0.000025% vincristine, sejenis ubat kemoterapi. Dalam 1 kg pokok kamunting cina, ada 0.000025kg vincristine bersamaan dengan 25 mikrogram vincristine. Berapa mg yang diperlukan untuk rawatan kanser? Jika pesakit kanser memerlukan 2.5 mg vincristine, pesakit berkenaan perlukan 11 kg pokok kamuntung cina untuk tujuan tersebut. Contoh lain adalah teofilina dari daun teh untuk rawatan asma. Dalam 1 g daun teh terdapat 1 mg teofilina. Jika anda memerlukan 300-100 mg teofilina setiap hari, anda perlu makan 300-1000g daun teh setiap hari.

Keempat, sesetengah sebatian kimia semulajadi ini rendah bioavailabiliti dan tidak larut air. Jadi modifikasi biasanya dilakukan pada struktur kimianya untuk meningkatkan keterlarutan dalam air dan bioavailabiliti dalam badan. Sesetengah sebatian kimia ini secara semulajadinya kurang larut dalam air. Contohnya camptothecin, agen kemoterapi yang ditemui dari pokok happy tree. Dia tidak larut air menyebabkan bahan aktif ini sukar disalur ke tempat sasaran di dalam badan. Modifikasi dilakukan menghasilkan irinotecan dan topotecan yang lebih tinggi keterlarutan di dalam air.
Kelima, disebabkan kandungan bahan aktif yang rendah dalam sumber semulajadi, pengambilan yang ekstrem diperlukan bagi mendapatkan dos teraupeutik. Dalam herba tu bukan ada satu bahan kimia itu sahaja. Ada berpuluh kalau tidak beratus sebatian kimia lain. Bahan kimia lain berpotensi memberi kesan toksik pada tubuh.
Namun begitu, bukanlah bermakna perubatan tradisional dahulu tidak bermakna. Kaedah penyediaan herba berdasarkan kitab-kitab perubatan lama adalah sangat saintifik pada zamannya. Banyak ubat-ubat moden yang ditemui hari ini berdasarkan penggunaan tumbuhan tersebut dalam perubatan tradisional.
Jika kita lihat perubatan tradisional cina, sistem dan kaedahnya sangat tersusun. Pengekstrakan menggunakan teknik tertentu, mengeluarkan bahan kimia aktif yang diingini. Uniknya, sesetengah herba yang dicampur bersama meningkatkan potensi herba tersebut dalam merawat penyakit. Hari ini fenomena ini dikenali sebagai kesan sinergi.
Kini dengan teknologi terkini, antaranya kimia sintetik, bahan ubat semulajadi ini dapat dinikmati semua lapisan masyarakat dengan sistem kesihatan bersubsidi di Malaysia. Ubat yang sama, kesan yang sama, namun dari sumber yang berbeza.
Oleh sebab itu, jangan tinggalkan ubatan preskripsi dengan anggapan ia berbahaya atau menganggap penggunaan herba lebih selamat. Jika anda ingin mengambil sumber tumbuhan untuk gejala sakit ringan, tiada masalah. Jika anda sedang dalam rawatan, berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil apa-apa herba untuk tujuan merawat.