Dr Che Puteh Osman
SIRI 36: ALKALOID, UBAT DAN RACUN
Saya masih ingat ketika mula-mula terjebak bercerita tentang sebatian kimia semulajadi dalam tumbuhan, bidang kepakaran saya.
Ceritanya apabila seorang penjual produk berasaskan herba mengatakan produknya merawat pelbagai penyakit kerana mengandungi alkaloid, flavonoid dan lain-lain sebatian kimia semulajadi. Dia memetik kajian yang dijalankan terhadap setiap bahan kimia tersebut bagi menguatkan hujahnya.
Sebagai seorang yang dilatih dalam bidang ini, tentulah kelakar rasa dengarnya.
Sehingga kini lebih 200,000 sebatian kimia semulajadi yang telah dikenalpasti. Masih ada banyak yang belum dikenal pasti.
Alkaloid sahaja sudah lebih 12 000 jenis dikenalpasti dari lebih 150 keluarga tumbuhan. Lebih 20% pokok berbunga mengandungi alkaloids.

Jadi dia merujuk kepada alkaloid mana satu? Silap alkaloid padah yang menanti. Eh, kenapa pula?
Mari saya ceritakan beberapa jenis alkaloid yang berguna kepada manusia.
Codeine - ubat batuk dari opium
Caffeine - dalam kopi dan teh
Theophylline - ubat asma dari daun teh
Morphine - ubat tahan sakit dari opium
Ephedrine - antihistamin dari Ephedra sinica
Vincristine dan vinblastine- agen kemoterapi dari pokok kemunting cina (Catharanthus roseus)
Camptothecin - antikanser dari pokok Camptotheca acuminata
Atropine - agen antikolinergik digunakan ketika pembiusan am dari Atropa belladona
Hyoscine - digunakan ketika pembiusan am dari Datura stramonium
Quinine - ubat malaria pertama dari kulit pokok Cinchona
Physostigmine - ubat Alzheimer dari Datura stramonium)
Dan panjaaaaaang lagi senarai dia.
Tetapi, alkaloid juga adalah racun kepada manusia.
Contohnya alkaloid pyrrolizidine, cyclopamine, atropine, alkaloid tropane dan nikotin dalam keluarga Solanaceae, mitragynine dari daun ketum dan banyak lagi. Sesetengah alkaloid ini berpotensi sebagai ubat pada dos terapeutik dan berpotensi menjadi racun jika salah dosnya.
Jadi, pada pihak yang mendakwa alkaloid berkesan merawat penyakit yang dia dakwa itu, merujuk kepada alkaloid mana satu dari lebih 12,000 jenis alkaloid itu?