SIRI 37: BETUL KE ORANG BARAT SENGAJA MENYEMBUNYIKAN HASIL KAJIAN HERBA?
Updated: 19 Mei 2019
Saya sertakan 7 SOALAN & JAWAPAN kepada persoalan mengenai tumbuhan herba yang sering saya jumpa di media sosial.
1. Betul ke tiada kajian herba di Malaysia?
Sebelum saya membincangkan kumpulan-kumpulan penyelidikan di Malaysia, saya ingin menerangkan secara ringkas bagaimana penyelidikan herba dijalankan dan siapa yang terlibat secara umum. Saya pernah menerangkan secara terperinci di sini:
https://www.facebook.com/cheputeh.osman/posts/1907923872568409
Dan di sini: https://www.facebook.com/cheputeh.osman/posts/1918868421473954
2. Apakah bentuk kajian yang dilakukan?
Terdapat tiga peringkat kajian iaitu penemuan, kajian pra klinikal dan kajian klinikal.
Peringkat penemuan:
Peringkat ini bermula dengan pemilihan tumbuhan. Terdapat pelbagai faktor kenapa tumbuhan tertentu dipilih antaranya kegunaan tradisional. Pada peringkat ini potensi mengubati penyakit tumbuhan disaring dan bahan kimia di dalam tumbuhan dikenalpasti. Banyak terbitan penyelidikan dihasilkan pada peringkat ini. Penyelidik yang terlibat dalam peringkat ini adalah ahli kimia, ahli botani dan ahli biologi.
Peringkat pra klinikal:
Pada peringkat ini tumbuhan dan bahan kimia yang dikenalpasti dari tumbuhan akan dikaji mekanisme mereka terhadap penyakit tertentu. Ia dikaji menggunakan sistem sel tertentu dan juga ke atas model haiwan. Pada peringkat ini, penyelidik akan memahami dengan lebih lanjut bagaimana tumbuhan ini bekerja merawat penyakit tertentu. Selain itu, maklumat toksiti tumbuhan juga dikaji. Jika menggunakan ektrak tumbuhan, maklumat standardisasi sebatian kimia dalam ekstrak diperlukan. Jika kajian menggunakan sebatian kimia aktif, proses penghasilan semula sebatian kimia secara skala besar akan dikaji. Penyelidik yang terlibat pada peringkat ini adalah ahli kimia, ahli biologi, ahli farmakologi dan ahli farmasi.
Peringkat klinikal:
Setelah kajian berjaya berkembang sehingga peringkat ini, ekstrak atau sebatian kimia yang telah melalui proses formulasi akan diuji ke atas manusia. Penyelidik yang terlibat pada peringkat ini adalah pegawai perubatan dan penyelidik perubatan.
3. Siapa dan di mana penyelidikan dijalankan di Malaysia ?
Penyelidik pada peringkat penemuan dan pra klinikal ada di universiti dan institut penyelidikan seperti FRIM, MARDI dan IMR. Di Malaysia penyelidik dalam kumpulan penemuan dan pra klinikal sebahagiannya bernaung di bawah Persatuan Sebatian Semulajadi Malaysia atau Malaysian Natural Product Society (MNPS). Saya merupakan ahli persatuan ini sejak 10 tahun yang lalu ketika masih merupakan pelajar siswazah (yuran tahunan tak bayar lagi ni huhu).
Kajian tentang potensi tumbuhan berubat telah bermula sejak zaman pra kemerdekaan. Ia dirancakkan selepas kemerdekaan dengan pelbagai bentuk geran penyelidikan, kerjasama penyelidik Malaysia dan luar negara dan tentulah dengan penubuhan MNPS.
MNPS terdiri daripada ahli kimia, ahli farmakologi, ahli biologi dan lain-lain. Ahli-ahli ini datang dari institusi pengajian tinggi, institut-institut penyelidikan tempatan dan luar negara. Setiap tahun, MNPS menganjurkan konferensi antarabangsa tahunan (International Conference on Natural Products) yang mengumpulkan penyelidik dalam bidang ini dari dalam dan luar negara membincangkan penemuan terkini hasil penyelidikan dalam bidang kimia hasilan semulajadi terutamanya dari tumbuhan.
Di Universiti-universiti awam terdapat pusat penyelidikan berpusat dimana fokus utamanya ialah kajian tumbuhan berubat. Antaranya Institut Biosains (UPM) CENAR (UM) dan Atta-ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (UiTM). Jika anda tanya kenapa Atta-ur-Rahman? Sila google. Panjang nak tulis.
4. Bolehkah kajian yang dilakukan pada peringkat penemuan dan pra klinikal membuktikan ia berkesan ke atas manusia?
Tidak boleh kerana ia perlu melepasi kajian kinikal. Pada peringkat ini penyelidikan akan diketuai penyelidik perubatan dan doktor perubatan. Sekiranya tumbuhan tersebut merupakan sejenis makanan dan ia tidak toksik, ia mungkin selamat dimakan tetapi tiada jaminan keberkesanan selagi ia tidak melepasi kajian klinikal.
5. Kenapa herba yang banyak kajian belum jadi ubat?
Ini menunjukkan ada isu keselamatan dan keberkesanan sejak dari peringkat pra klinikal lagi. Sebelum diuji kepada manusia, terdapat pelbagai senarai semak keselamatan dan keberkesanan pada peringkat pra klinikal yang perlu dipatuhi.
6. Kenapa saya google tak jumpa pun artikel Malaysia?
Artikel penyelidikan diterbitkan oleh penerbit tertentu, yang hanya boleh diakses sekiranya dilanggan. Terdapat beberapa artikel diterbitkan secara open access dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
7. Adakah semua artikel boleh diterima maklumatnya?
Kita perlu meneliti kualiti penerbitan tersebut. Terutama kaedah penyelidikan, analisis statistik dan kualiti penerbitan secara umum. Mungkin orang awam tidak tahu wujudnya kumpulan penerbit yang mengenakan bayaran yang tinggi kepada penyelidik menerbitkan artikel mereka tanpa adanya double blind peer review. Jadi kualiti penerbitan sangat diragui. Senarai jurnal yang bersifat predatory ini boleh dimuat turun dalam laman web KPT (sekarang MOE).
Sebab itu kalau orang mendakwa artikel berkenaan sesetengah barang jualan mereka saya kata artikel berkenaan tidak membuktikan ia berkesan.
Dalam hal yang kita tiada kepakaran, maka serahkan urusan tersebut pada ahlinya
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang bukan ahlinya maka kehancuranlah yang akan datang.” (HR. Imam Muslim no. 59)
Gambar di bawah merupakan contoh akar yang dikeringkan dan dikisar. Hasil pemurnian sebatian kimia dapatkan sebatian kimia seperti dalam botol kecil
