top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 37: UBATAN MODEN DARI TUMBUHAN

Tahukah anda lebih 55% ubatan moden yang ada pada hari ini ditemui dari tumbuhan? Sebahagian struktur kimia sebatian semulajadi dari tumbuban yang dijadikan ubat tidak diubah struktur kimianya. Manakala sebahagian lagi struktur kimia ini dimodifikasi bagi meningkatkan potensinya dan dikurangkan kesan toksiknya.


Kajian saya sejak 10 tahun dahulu berkisar sebatian kimia tumbuhan yang berpotensi sebagai agen antimalaria. Tahukah anda ubat malaria pada hari ini berasal dari tumbuhan?



Mari saya beri beberapa contoh. Ubat malaria pertama ditemui dari pokok Cinchona iaitu quinine. Quinine mula dipencilkan dari tumbuhan pada tahun 1820. Apabila protozoa Plasmodium yang menyebabkan jangkitan malaria mula membina kerintangan terhadap quinine, modifikasi struktur kimia secara sintesis dilakukan keatas quinine bagi mengatasi masalah ketidakberkesanan quinine. Seterusnya modifikasi dilakukan menghasilkan chloroquine, primaquine, mefloquine dan lain-lain yang masih digunakan sehingga hari ini.


Namun terdapat beberapa kawasan, protozoa Plasmodium yang menyebabkan jangkitan malaria telah membina kerintangan terhadap chloroquine dan adik beradiknya. Maka WHO telah menggariskan rawatan kombinasi artemisinin sebagai rawatan standard malaria.


Tahukah anda artemisinin ditemui dari satu pokok yang digunakan dalam Traditional Chinese Medicine yang dikenali dengan nama saintifik Artemisia annua? Malah saintis yang menemukan artemisinin, Tu Youyou menerima Hadiah Nobel pada tahun 2015 disebabkan penemuan artemisinin.


Namun begitu, terdapat satu kawasan yang dikenali sebagai Greater Mekong di Asia Tenggara (kawasan Thailand, Vietnam, Laos dan Vietnam) telah lahir strain baru protozoa Plasmodium falciparum yang telah membina kerintangan terhadap artemisinin. Maksudnya ubat artemisinin sudah tidak berkesan merawat malaria disebabkan strain protozoa ini. Apa akan berlaku? Masih belum ada ubat yang diluluskan yang boleh mengatasi masalah jangkitan malaria ini. Maksudnya adalah kematian!


Begitulah hebatnya tumbuhan sebagai sumber ubatan. Dalam kes malaria contohnya. Walaupun Malaysia tiada masalah endemik malaria, kita ada beberapa kes jangkitan malaria disebabkan protozoa malaria yang tidak serius seperti Plasmodium malariae dan Plasmodium knowlesi. Demam malaria yang serius disebabkan oleh Plasmodium falciparum yang menyebabkan kematian 425,000 pada tahun 2017 terutama di kawasan Afrika.


Ada lagi contoh-contoh lain contohnya metformin yang merupakan sebatian kimia yang dimodifikasi dari guanidine yang ditemui dalam Galega officinalis. Dan juga aspirin yang dimodifikasi dari asid salicylic yang ditemui dari pokok Willow. Ubat kemoterapi paclitaxel dari pokok pacific yew. Ubat kemoterapi vinca alkaloids dari pokok Catharanthus roseus.



166 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page