Dr Che Puteh Osman
SIRI 38: BAGAIMANA MENYEMAK KESAHIHAN MAKLUMAT?
Bagaimana menyemak kesahihan rujukan?
Saya faham masyarakat umum yang tiada latar belakang penyelidikan, agak sukar memahami kaedah memilih sumber rujukan sahih. Saya terangkan secara umum di sini.
Pertama : Jurnal berwasit dan jurnal pemangsa
Apabila kita hendak membuat rujukan saintifik atau ilmiah, kita kena merujuk jurnal berwasit.
Maksud jurnal berwasit adalah jurnal yang melalui proses penilaian secara blind review. Maksudnya orang yang menerima jurnal untuk dinilai tidak tahu siapa penulisnya. Penilai adalah pakar di dalam bidangnya. Proses saringan dan pemilihan ini dilakukan editor.
Ada sesetengah jurnal in tidak melalui proses penilaian ini. Jadi kualitinya agak meragukan. Inilah kita panggil jurnal tidak berwasit.
Namun ada satu lagi kategori jurnal yang dipanggil predatory journal atau jurnal pemangsa. Kenapa dipanggil begitu?
Jurnal ini mengenakan yuran penerbitan yang tinggi kepada penulis. Namun jurnal diterbitkan tanpa proses double blind review dan editing yang teliti bagi menjamin kualiti penerbitan.
Jadi, sebagai penyelidik dan pembaca, kita kena berhati-hati memilih jurnal mana untuk dibaca. Pilih jurnal yang berwasit dan bukan predatory journal sebagai rujukan.

Kedua: Tahap pembuktian (Level of evidence)
Dalam bidang sains ada tahap-tahap pembuktian. Terutamanya bab kesihatan. Jika kita lihat piramid di bawah, kebanyakan kajian adalah berbentuk in vitro atau sel kultur, seterusnya in vivo atau kajian ke atas haiwan.
Ini bukan bukti perubatan. Untuk mengatakan sesuatu benda itu berkesan merawat penyakit, atau menyebabkan kanser misalannya, ia memerlukan bukti ke atas manusia.
Ia memerlukan causal relationship atau berhubungan bersebab. Contoh asid perfluorooktanoik acid) PFOA yang digunakan dalam pembuatan periuk tidak melekat menyebabkan kanser pada tikus tetapi tiada bukti pada manusia. Ini menunjukkan belum ada causal relationship PFOA menyebabkan kanser pada manusia.
Saya adalah penyelidik yang melakukan kajian peringkat in vitro dan in vivo. Saya tidak kecil hati kalau orang kata kajian saya bukan bukti kukuh. Atau merasakan sia-sia melakukan kajian. Kerja saya adalah asas paling penting sebelum sesuatu benda itu dikaji ke peringkat berikutnya.
Ketiga: Jurnal berindeks
Ada sesetengah jurnal ini berindeks dan ada sesetengahnya tidak berindeks. Sesetengah jurnal diindekskan ke badan pengindeksan atau indexing bodies, menjadikan ia jurnal berindeks. Kebiasaannya jurnal berindeks lebih berkualiti, kerana antara kriteria ia diindekskan ke badan berindeks adalah ketat.
Badan pengindeksan mempunyai kriteria yang berbeza. Sebab itu pentingnya kita menyemak kriterianya dan memilih jurnal yang diindekskan ke badan pengindeksan yang meletakkan kualiti melebihi kuantiti.
Sebagai orang awam, saya tidak pandai membaca jurnal saintifik. Apa yang perlu saya buat?
Lihat kepada rujukan yang digunakan penulis. Ada berbagai jenis rujukan Di Malaysia, kalau bab rawatan, rujukannya adalah panduan amalan klinikal (clinical practice guidelines) yang terkini. Jika pengetahuan baru, ia mestilah dari jenis meta analisis atau rawak terkawal (double blind randomized control trial) yang diterbitkan dalam tempoh lima tahun terkini.
Kalau bab-bab sains yang bukan perubatan, semak jenis jurnal yang digunakan sebagai rujukan.
Kebiasaannya, ahli dalam bidang tersebut akan kenal jurnal mana yang bagus dan mana yang kurang bagus dalam bidangnya. Sama ada rekabentuk kajian (research design) bagus ke tidak. Dan apa maksud rekabentuk kajian tersebut. Rekabentuk kajian yang berbeza dilakukan untuk tujuan berbeza. Untuk orang awam, boleh semak panduan umum di atas.
Mana hendak cari jurnal ini? Ada sesetengah jurnal ini tidak boleh diakses oleh orang ramai, tetapi mereka boleh baca abstract. Jurnal ini boleh ditemui di Google Scholar, tetapi awas jurnal tidak berkualiti pun ada di sini.
Semak sebelum sebar.
Facts above sentiments.
Stay true to facts.