top of page

SIRI 38: POKOK KELADI DIEFFENBACHIA BERACUN?

Updated: 9 Jan 2020


Baru-baru tular satu hantaran Facebook mengatakan pokok hiasan dedaun alam atau Dieffenbachia menyebabkan keracunan pada anaknya. Benarkah sedemikian?



Benar tuan puan, pokok dari genus Dieffenbachia sp terutamanya ‘dumb cane’ seperti dalam gambar boleh menyebabkan keracunan disebabkan kehadiran raphides dan bahan toksin dalam tumbuhan.


Apabila dikunyah, raphides, sejenis kalsium oksalat dalam bentuk kristal jarum mencederakan lapisan tisu dan bahan toksin akan memasuki ke lapisan tisu dan menyebabkan ketoksikan jika dikunyah terutama oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Bahan toksin ini kemungkinan adalah sejenis ’trypsin-like protease’ yang menghasilkan kinnin.


Raphides di bawah mikroskop Imej dari Wikipedia.


Kesan toksik akibat terdedah pada kalsium oksalat dalam bentuk raphides ini dapat diperhatikan bengkak dan lepuh pada bibir, susah menelan, dan apabila bengkak sehingga kesaluran pernafasan, ia menyebabkan kesukaran bernafas. Jika terkena mata boleh menyebabkan kecederaan pada kornea, kemerahan dan kekeringan, dan jika terkena kulit ia boleh menyebabkan kegatalan, kemerahan dan rasa panas.


Pokok yang berasal dari kawasan Amerika tropika dan West Indies ini pernah digunakan untuk menghasilkan panah beracun untuk menyerang musuh. Ia juga pernah digunakan terhadap banduan.


Jadi berhati-hatilah jika anda menguruskan tumbuhan ini. Bukan sahaja daun dikunyah menyebabkan ketoksikan. Jika anda menguruskan potongan batang untuk tujuan penanaman semula, getahnya juga boleh menyebabkan iritasi.


PS: Artikel ini bukan mencadangkan pengharaman penanaman tanaman hiasan, cuma penulis ingin berpesan supaya berhati-hati dalam menguruskan tanaman hiasan ini. Terutama kanak-kanak yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan binatang peliharaan yang ‘inginkan perhatian’.


Rujukan:


Kirk L Cumpston, Stephen N Vogel, Jerrold B Leikin, Timothy B Erickson (2003). Acute airway compromise after brief exposure to a Dieffenbachia plant, The Journal of Emergency Medicine, 25 (4), 391-397.


Frederick W. Fochtman, Joseph E. Manno, Charles L. Winek, Jeanne A. Cooper (1969) Toxicity of the genus Dieffenbachia, Toxicology and Applied Pharmacology, 15 (1), 38-45


Joseph Arditti, Eloy Rodriguez (1982). Dieffenbachia: Uses, abuses and toxic constituents: A review, Journal of Ethnopharmacology, 5 (3), 293-302.


Doaigey, A. R. (1991), Occurence, type and location of calcium oxalate crystals on leaves and stems of 16 species of poisonous plants. American Journal of Botany, 78, 1608-1616.



1,729 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page