top of page

SIRI 39: NANAS BATU ATAU BUAH PINE? BENARKAH IA MERAWAT MASALAH KEWANITAAN?

Updated: 19 Mei 2019

NANAS BATU KE BUAH PINE?


Tidak berapa lama dahulu tular mengenai kegunaan nanas batu bagi merawat pelbagai masalah kewanitaan. Sekali imbas, bukan seperti buah nanas, yang secara taksomoni tumbuh-tumbuhan merupakan ahli keluarga Bromeliaceae. Oleh kerana saya masih keliru identiti sebenar nanas batu yang telah ditularkan, saya telah menghubungi ahli Botani, Dr Shamsul Khamis untuk pengesahan nama saintifik tumbuhan. Rupa-rupanya ia adalah buah pine, dari pokok Pine atau Pinus spp.


Nanas batu yang ditularkan itu sebenarnya buah pine, atau dalam Bahasa inggerisnya Pine cone, adalah bahagian reproduktif pokok dari jenis pine atau Pinus spp. Terdapat 112 spesis pokok di bawah genus Pinus spp. Pokok pine bukan berasal dari Malaysia, dan ia banyak tumbuh di kawasan beriklim sederhana. Buah pine adalah sejenis bahan buangan dari industri pembuatan kertas dari pokok pine. Pokok pine boleh didapati dari negara-negara Arab beriklim sederhana. Jangan terkejut buah pine boleh dibeli di Mekah, kerana Mekah adalah hub perdagangan.



Ini buah pine. Bukan nanas batu yang berasal dari Asia. Imej dari Pixabay

Nanas batu yang sebenarnya dikenali secara saintifik sebagai Ananas ananassoides var. nanus dari keluarga Bromeliaceae. Setakat pencarian penulis, TIADA kajian yang dilakukan terhadap kandungan sebatian kimia dan penyakit dilakukan terhadap buah nanas batu sehingga kini. Terdapat dakwaan bahawa buah ini digunakan bagi merawat batu karang. Tiada bukti ia berkesan. Sebab ia sejenis makanan, makanlah berpada-pada.


Ini baru buah nanas batu yang sebenar, Imej dari Wikimeadia Commons

KEGUNAAN TRADISIONAL BUAH PINE DI NEGARA ASALNYA


Selain digunakan untuk tujuan hiasan contohnya pokok krismas, ia juga digunakan sebagai pewangi. Secara tradisi, minyak pati (essential oil) dari Pinus spp. Banyak digunakan sebagai pewangi. Di Turki, Pinus spp digunakan untuk merawat sakit sendi dan penyembuhan luka. Manakala, di Canada, pine cone (buah pine) banyak digunakan oleh masyarakat asal setempat untuk tujuan perubatan.


Terdapat beberapa jenis sebatian kimia semula jadi yang ditemui dari pokok Pinus spp antaranya labdane diterpene (Sultan et al, 2008) dari Pinus densiflora, monoterpenoids dan sesquiterpenoids (Kurose et al., 2007, Macchioni et al., 2002, Amri et al., 2013, Yang et al., 2010), phenolic acid (Lain et al., 2011) dari P. yunnanensis dan lignins (Ucar & Ucar, 2008).


KAJIAN SAINTIFIK TERHADAP BUAH PINE


Hasil carian di pangkalan jurnal terindeks, terdapat sekitar 150 artikel dijumpai menggunakan kata kunci 'pine cone' dan 'biological activity'. Kebanyakan kajian hanyalah bersifat saringan dan kajian sebatian kimia semulajadi di dalam ekstrak buah pine.


Terdapat beberapa kajian terhadap pine cone (buah pine). Antaranya: anti keradangan, bersifat analgesik, antitumor, sitotoksik ke atas sel kanser payudara, antibakteria, antioksidan dan antiviral (Li et al., 2013).


Namun begitu, kesemua pengujian di atas hanya dilakukan secara piring petri dan ke atas tikus sahaja. Sehingga kini belum ada data yang konkrit yang boleh merasionalkan penggunaan nanas batu atau cone pine (buah pine) untuk mengubati penyakit pada manusia. Kajian masih pada peringkat penemuan dan belum berkembang kepada peringkat pra-klinikal dan klinikal.


Dakwaan nanas batu boleh mengubati pelbagai penyakit adalah mengelirukan, kerana kajian sedia ada tidak konkrit bagi menggantikan ubat sedia ada.


Sekian, semoga bermanfaat.


Siri khidmat masyarakat ini dibawakan khas untuk anda oleh


Che Puteh Osman, PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan:


Li, B., Shen, Y.-H., He, Y.-R., & Zhang, W.-D. (2013). Chemical Constituents and Biological Activities of Pinus Species. Chemistry & Biodiversity, 10(12), 2133-2160. doi:10.1002/cbdv.201100373


Kurose, K., Okamura, D., & Yatagai, M. (2007). Composition of the essential oils from the leaves of nine Pinus species and the cones of three of Pinus species. Flavour and Fragrance Journal, 22(1), 10-20. doi:10.1002/ffj.1609


Kurose, K., Okamura, D., & Yatagai, M. (2007). Composition of the essential oils from the leaves of nine Pinus species and the cones of three of Pinus species. Flavour and Fragrance Journal, 22(1), 10-20. doi:10.1002/ffj.1609


The Herbarium Catalogue, Royal Botanic Gardens, Kew. Published on the Internet http://www.kew.org/herbcat [accessed on 30112017]'. 


Tumen, I., Hafizoglu, H., Kilic, A., Dönmez, I. E., Sivrikaya, H., & Reunanen, M. (2010). Yields and Constituents of Essential Oil from Cones of Pinaceae spp. Natively Grown in Turkey. Molecules, 15(8), 5797.


Tümen, İ., Akkol, E. K., Taştan, H., Süntar, I., & Kurtca, M. (2018). Research on the antioxidant, wound healing, and anti-inflammatory activities and the phytochemical composition of maritime pine (Pinus pinaster Ait). Journal of Ethnopharmacology, 211(Supplement C), 235-246. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2017.09.009


Ucar, M.B. and Ucar, G. (2008). Lipophilic Extractives and Main components of Black Pines Cones, Chemistry of Natural Compounds, 44(3), 380-383


Yang, X., Zhang, H., Zhang, Y., Zhao, H., Dong, A., Xu, D., . . . Wang, J. (2010). Analysis of the Essential Oils of Pine Cones of Pinus koraiensis Steb. Et Zucc. and P. sylvestris L. from China. Journal of Essential Oil Research, 22(5), 446-448. doi:10.1080/10412905.2010.9700368


Zou, P., Yang, X., Huang, W.-W., Zhao, H.-T., Wang, J., Xu, R.-B., . . . Qin, D. (2013). Characterization and Bioactivity of Polysaccharides Obtained from Pine Cones of Pinus koraiensis by Graded Ethanol Precipitation. Molecules, 18(8), 9933.

3,941 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page