SIRI 4: ADAKAH ORGANIK ITU NATURAL DAN BEBAS BAHAN KIMIA?
Updated: 25 Nov 2020
Istilah natural/semulajadi tidak menunjukkan ia selamat.
Natural sepatutnya merujuk ia bukan dihasilkan secara sintetik dan dihasilkan secara semulajadi.
Asid salisilik yang diekstrak dari pokok willow akan mempunyai sifat yang sama dengan asid salisilik yang dihasilkan secara sintesis. Jika struktur kimianya sama, sesuatu sebatian kimia itu akan mempunyai sifat dan ketoksikan yang sama tidak kisahlah ia diekstrak dari sumber semulajadi atau dihasilkan secara sintesis.
Organik bukan bermaksud ia bebas bahan kimia. Organik yang sebenarnya merujuk kepada etika penanaman. Hasil tani organik yang didakwa organik perlu ada persijilan organik dari badan yang diiktiraf contohnya USFDA di Amerika Syarikat dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Malaysia.
Penanaman organik tidak menggunakan racun perosak dan baja sintetik, tanah dan sumber air dianalisa supaya logam berat dan kontaminan di bawah yang dibenarkan, dan lain-lain. Ada banyak etika yang perlu dipenuhi sebelum penanam diberi sijil penanaman organik.
Jika ada individu mendakwa produk mereka adalah organik, sila minta bukti bahan yang digunakan dipersijilkan penanaman organik. Organik bukan merujuk bebas bahan kimia.
Tidak ada satu benda pun dalam dunia ini bebas bahan kimia. Dari tumbuhan, makanan, haiwan, air, tanah, udara dan manusia.
Manusia terdiri dari sistem tubuh badan, organ, tisu, sel dan sel ini dibina dari protein, dan trigliserida, dan protein dan trigliserida ini adalah terdiri dari asid amino dan asid lemak. Asid lemak dan asid amino adalah terdiri dari atom-atom karbon, hidrogen, dan lain-lain. Badan kita juga mengandungi logam contohnya sel darah manusia mengandungi ion besi.
Adakah sayur dan buah penanaman organik lebih banyak nutrien? Kajian menunjukkan tidak ada beza dari segi kandungan nutrisi antara tanaman yang ditanam secara organik dan tanaman yang ditanam secara konvensional. Bezanya produk penanaman konvensional mengandungi sisa racun.
Walaupun ditanam secara organik, tanaman organik masih berisiko mendapat sisa racun dari run off air dari kawasan penanaman konvensional disekitarnya. Kajian yang dilakukan pada tahun lepas mendapati terdapat sisa racun di tanaman organik diaebabkan ia terletak di antara kawasan perladangan tidak organik. Organik atau tidak, sila cuci sayur dan buah anda sehingga bersih.
Mari saya beri tips macam mana nak cuci sisa racun. Menurut kajian, kebanyakan sisa racun berjaya dibersihkan apabila anda merendam buah dan sayuran dalam sebesen air (1L) yang dimasukkan dengan satu sudu soda bikarbonat (10g). Walaupun racun tidak hilang 100%, tetapi kebanyakan sisa racun berjaya dikurangkan ke paras lebih selamat. Satu lagi petua yang mudah, beli sayur yang dimakan ulat. Mudah kan? Saya pernah tulis di sini.
Terpulanglah kepada jika anda ingin membeli hasil penanaman organik. Sila lihat kocek masing-masing. Tetapi jangan paksakan pandangan anda pada orang yang tidak mampu beli sayur organik. Sayur organik mahal bukan sebab mengandungi nutrisi yang lebih tinggi. Ia lebih mahal kerana penghasilan sayur dan buah organik per hektar jauh lebih rendah dari hasil penanaman tidak organik per hektar.
Terpulanglah produk apa yang anda ingin guna. Semak kocek masing-masing. Yang penting ambil tahu keselamatan penggunaan bukan tertipu dengan organik dan natural = bebas kimia + selamat.
Tepuk dada tanya selera.
PS Gambar pokok Cantharanthus roseus. Tahukah anda ubat kemoterapi terkenal vincristine dan vindesine ditemui dari pokok ini. Walaupun ia kelihatan lebih natural berbanding ubat kemoterapi, pokok ini sebenarnya beracun.

Rujukan
Bourn, D., & Prescott, J. (2002). A Comparison of the Nutritional Value, Sensory Qualities, and Food Safety of Organically and Conventionally Produced Foods. Critical Reviews in Food Science and Nutrition, 42(1), 1-34. doi:10.1080/10408690290825439
Farina, Y., Abdullah, M. P., Bibi, N., & Khalik, W. M. A. W. M. (2017). Determination of pesticide residues in leafy vegetables at parts per billion levels by a chemometric study using GC-ECD in Cameron Highlands, Malaysia. Food Chemistry, 224, 55-61. doi:https://doi.org/10.1016/j.foodchem.2016.11.113
Farina, Y., Munawar, N., Abdullah, M. P., Yaqoob, M., & Nabi, A. (2018). Fate, distribution, and bioconcentration of pesticides impact on the organic farms of Cameron Highlands, Malaysia. Environmental Monitoring and Assessment, 190(7), 386. doi:10.1007/s10661-018-6762-8
Radwan, M. A., Abu-Elamayem, M. M., Shiboob, M. H., & Abdel-Aal, A. (2005). Residual behaviour of profenofos on some field-grown vegetables and its removal using various washing solutions and household processing. Food and Chemical Toxicology, 43(4), 553-557. doi:https://doi.org/10.1016/j.fct.2004.12.009
Palupi, E., Jayanegara, A., Ploeger, A., & Kahl, J. (2012). Comparison of nutritional quality between conventional and organic dairy products: a meta-analysis. Journal of the Science of Food and Agriculture, 92(14), 2774-2781. doi:10.1002/jsfa.5639