Dr Che Puteh Osman
SIRI 4: BENARKAH RESVERATROL MERAWAT KANSER, DIABETES DAN SAKIT JANTUNG?
Updated: 6 Dis 2020
Resveratrol asalnya ditemui dari pokok Veratrum grandiflorum pada tahun 1940-an. Ia merupakan sebatian semula jadi dari kumpulan stilbene. Resveratrol merupakan sebatian kimia semula jadi yang boleh didapati anggur, beri, kacang tanah dan wine.
Resveratrol mendapat perhatian penyelidik apabila mereka menyiasat fenomena French Paradox, di mana penduduk di kawasan selatan Perancis mempunyai kes sakit jantung yang rendah walaupun mengambil makanan tinggi lemak.
Para penyelidik mencadangkan pengambilan resveratrol yang tinggi melalui pengambilan wine merupakan penjelasan kepada fenomena ini. Ini kerana kandungan resveratrol yang tinggi di dalam wine iaitu sekitar 0.1-14.3 mg resveratrol dalam1liter wine.

Resveratrol mengaktifkan reseptor SIRT1 yang merupakan reseptor yang mengawal selia laluan biokimia yang melibatkan kawalan metabolik tidak normal, keradangan dan kerosakan pada kitar sel.
Terdapat pelbagai dakwaan mengenai manfaat resveratrol merawat kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular, neurologi dan penyakit non-alcoholic fatty liver.
Namun, cabaran utama untuk membangunkan ubat dari resveratrol adalah ia tidak kekal lama dalam darah manusia dan cepat termetabolisme dan dikumuhkan.
Jadi, ubat berasaskan resveratrol sukar diberi melalui tablet atau sirap. Resveratrol yang diberi melalui cara ini akan cepat dimetabolime dalam hati menjadi konjugat glukoronida dan sulfat dan dikumuhkan melalui air kencing. Jadi, kandungan resveratrol tidak cukup untuk memberikan kesan terapeutik seperti yang diperhatikan pada model haiwan.
Untuk mengatasi masalah ini, saintis menghasilkan resveratrol dalam bentuk 'oral micronized resveratrol' yang kekal lebih lama di dalam darah.
Kajian pada model haiwan menunjukkan resveratrol berpotensi dibangunkan sebagai agen kemoterapi. Resveratrol membunuh sel kanser dan menghalang perkembangan sel kanser melalui pelbagai mekanisme pada ketiga-tiga peringkat kanser.
Namun, terlalu sedikit kajian klinikal pada manusia menunjukkan resveratrol merawat kanser. Terdapat lebih 2600 kajian tentang resveratrol dan kanser dan hanya 16 kajian melibatkan kajian klinikal.
Di dalam 16 kajian ini, pemberian resveratrol tidak menunjukkan manfaat pada pesakit kanser secara signifikan, malah dalam keadaan tertentu ia memberi mudarat. Contohnya untuk kes kanser prostat, reveratrol melambatkan perkembangan kanser sekitar 33-50%, namun tiada perbezaan signifikan berbanding pesakit yang tidak menerima resveratrol. Manakala kajian yang lain pula menunjukkan tiada perubahan positif pada pesakit kanser prostat.
Pemberian resveratrol kepada pesakit kanser usus pula tidak memberikan perubahan positif. Manakala pemberian resveratrol kepada pesakit kanser mieloma berganda (multiple myeloma) menyebabkan kesan sampingan yang teruk termasuk kegagalan buah pinggang.
Sebab inilah kenapa kita tidak boleh menganggap kajian haiwan adalah bukti perubatan. Tidak semestinya keberkesanan yang diperhatikan pada kajian haiwan menunjukkan ia berkesan pada manusia.
Ada beberapa kajian model haiwan lain menunjukkan potensi resveratrol, namun memerlukan kajian klinikal untuk mengesahkan sama ada ia benar-benar berkesan.
Dalam kajian lain, resveratrol selamat diberikan pada pesakit Alzheimer ringan dan sederhana. Pemberian reveratrol memberikan kesan positif kepada beberapa penanda penyakit Alzheimer. Seperti kajian lain, resveratrol cepat mengalami metabolisme dan hanya sedikit yang berjaya melepasi rintangan darah otak (blood brain barrier).
Memandangkan resveratrol terlibat dalam pengawalan MMP, sejenis peptidase, dalam kajian terhadap pesakit Alzheimer, resveratrol mungkin bermanfaat kepada pesakit strok yang mengalami pendarahan otak. Namun, kelemahan utamanya adalah ia mesti diberikan dalam tempoh 3 jam ketika serangan berlaku. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan dapatan kajian ini.
Kajian terhadap pesakit jantung pula menunjukkan kesan berbeza. Ada kajian menunjukkan kesan positif dan ada kajian menunjukkan sebaliknya. Ada sesetengah keadaan pesakit menjadi semakin teruk. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai keselamatan dan keberkesanan resveratrol untuk pesakit jantung koronari.
Walaupun beberapa kajian terhadap pesakit menunjukkan kesan positif, antaranya meningkatkam sensitiviti insulin, mengurangkan bacaan HbA1C, dan tekanan darah sistolik, namun tidak menunjukkan kesan positif menurunkan paras gula dalam darah.
Kajian masih diperlukan untuk melihat potensi resveratrol sebagai terapi sampingan kepada ubat diabetes sedia ada.
Adakah ini bermakna saya boleh mengambil resveratrol untuk merawat penyakit?
Resveratrol merupakan 'negative list' untuk produk makanan. Ini bermakna mana-mana produk yang mengandungi resveratrol melebihi had tertentu dengan tuntutan perubatan, ia mesti didaftarkan sebagai ubat. Anda boleh merujuk Jadual 2, Drug Registration Guidance Document (DRGD) yang dikeluarkan oleh pihak NPRA. Anda boleh membaca lanjut di sini.
Reveratrol yang diambil dalam bentuk tablet dalam mempunyai kelemahan. Ia mudah mengalami metabolisme dan dikumuhkan. Hanya sedikit sahaja masih kekal dalam darah. Malah dalam keadaan tertentu resveratrol boleh memberikan kesan samping yang serius termasuk masalah buah pinggang.
Kajian masih lagi berjalan untuk menilai potensi resveratrol. Apa sahaja dakwaan pada hari ini adalah pramatang. Berbincanglah dengan doktor anda dan jangan meninggalkan rawatan semata-mata ingin mengambil resveratrol.
Kesimpulannya, kajian klinikal masih lagi pada peringkat awal. Kajian lanjutan masih diperlukan. Melalui contoh yang dikongsikan di sini, kajian tabung uji dan kajian haiwan tidak boleh digunakan sebagai bukti perubatan. Seringkali kajian klinikal pada manusia menunjukkan kesan sebaliknya. Testimoni juga bukan bukti perubatan. Ia boleh jadi berat sebelah dan dipengaruhi faktor yang lain.
Rujukan
Berman, A. Y., Motechin, R. A., Wiesenfeld, M. Y., & Holz, M. K. (2017). The therapeutic potential of resveratrol: a review of clinical trials. npj Precision Oncology, 1(1), 35. doi:10.1038/s41698-017-0038-6
Cottart, C.-H., Nivet-Antoine, V. and Beaudeux, J.-L. (2014), Review of recent data on the metabolism, biological effects, and toxicity of resveratrol in humans. Mol. Nutr. Food Res., 58, 7–21.
James A. Crowell, Peter J. Korytko, Robert L. Morrissey, Tristan D. Booth, Barry S. Levine (2006). Resveratrol-Associated Renal Toxicity, Toxicological Sciences, 82 (2), 14–619, https://doi.org/10.1093/toxsci/kfh263
Kopp, P. (1998) Resveratrol, a phytoestrogen found in red wine. A possible explanation for the conundrum of the 'French paradox'? European Journal of Endocrinology, 138 (6), 619–620, https://doi.org/10.1530/eje.0.1380619
Mukherjee, S., Dudley, J. I., & Das, D. K. (2010). Dose-Dependency of Resveratrol in Providing Health Benefits. Dose-Response, 8(4), 478–500.http://doi.org/10.2203/dose-response.09-015.Mukherjee