• Dr Che Puteh Osman

SIRI 40: KENAPA MAS COTEK BELUM BOLEH MENGGANTIKAN METFORMIN?

Updated: Jul 16, 2019

Metformin adalah sebatian kimia dari kelas biguanides yang merupakan sebatian kimia terbitan sintetik kepada guanidine. Guanidine ditemui dari rumpai beracun Galega officinalis. Galega officinalis juga dikenali dengan nama Goat's rue atau french lilac. Oleh kerana guanidine ini beracun, kajian lanjutan terhadap sebatian kimia guanidine membawa kepada penemuan dimethylbiguanide atau lebih dikenali sebagai metformin. Siapa kata natural semestinya lebih selamat dari sintetik? Dalam kes metformin, sintetik lebih baik dari natural!



Metformin merupakan pilihan rawatan yang pertama bagi merawat diabetes jenis kedua. Diabetes jenis kedua disebabkan oleh kerintangan insulin. Selain faktor genetik, gaya hidup yang tidak sihat menyumbang kepada diabetes jenis kedua. Diabetes jenis kedua adalah fenomena di mana reseptor insulin menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin. Apabila kandungan glukosa bertambah dalam darah, badan akan bertindakbalas menghasilkan lebih banyak insulin. Ini menyebabkan peningkatan insulin iaitu hiperinsulinemia. Akibatnya, fenomena ini menyebabkan kerintangan insulin dan insulin menjadi tidak cekap memberi signal kepada protein berkaitan untuk mengangkut glukosa ke tisu badan. Jika pengubahsuaian cara hidup gagal mengawal paras glukosa dalam darah, ubat-ubatan diperlukan bagi mengawal diabetes. Jika ia tidak dikawal, lama kelamaan akan merosakkan sel beta di pankreas yang mengeluarkan insulin dan akhirnya memerlukan terapi insulin gantian.


Metformin bekerja dengan meningkatkan sensitiviti reseptor kepada insulin untuk meningkatkan pengangkutan glukosa kepada tisu. Selain itu, ia juga mengurangkan penghasilan gula di hati. Ia juga mengurangkan penghasilan lemak, meningkatkan proses pemecahan lemak dan meningkatkan pengoksidaan asid lemak.


Bagaimana pula dengan mas cotek? Mas cotek dikenali sebagai Ficus deltoidea dari keluarga Moraceae. Terdapat TUJUH variasi mas cotek di Malaysia iaitu var. angustifolia, var. intermedia, var. deltoidea, var. bilobata, var. trengganuensis, var. kunstleri dan var. motleyana.


Tidak diragui lagi, dalam banyak kajian ke atas model haiwan, ekstrak mas cotek menurunkan paras gula di dalam darah secara signifikan. Antara mekanisme yang dikenalpasti adalah ekstrak mas cotek meningkatkan pengeluaran insulin, mengurangkan penghasilan glukosa di hati dan menghambat enzim alfa-glucosidase seterusnya mengurangkan penyerapan glukosa di usus. Antara dos kajian yang digunakan adalah 500mg/kg dan 1000mg/kg berat tikus.


Namun begitu, dalam satu kajian klinikal pilot terhadap 20 pesakit diabetes jenis kedua di Malaysia, pemberian ekstrak mas cotek sebanyak 350 mg dua kali sehari tidak menurunkan paras gula dalam darah secara signifikan berbanding kumpulan yang tidak menerima ekstrak mas cotek. Dalam kajian klinikal pilot terhadap pesakit pra diabetes di Amerika Syarikat pada tahun 2013 juga menunjukkan keputusan yang sama. Tiada kesan penurunan gula yang signifikan antara kumpulan yang diberi rawatan ekstrak mas cotek (500 mg, dua kali sehari) dengan kumpulan yang tidak menerima mas cotek. Namun begitu, penyelidik mendapati terdapat penurunan kolesterol jahat (LDL) dan jumlah kolesterol dikalangan subjek yang menerima ekstrak mas cotel.


Benarkah mas cotek tidak berkesan? Kajian lanjutan mendapati terdapat perbezaan pada taburan sebatian kimia semulajadi pada ketujuh-tujuh variasi mas cotek. Kajian mendapati perbezaan variasi dan taburan sebatian kimia semulajadi yang aktif menyebabkan kemampuan menurunkan paras glukosa dalam darah berbeza-beza antara variasi ini.


Standardisasi sebatian kimia ini dengan variasi adalah penting untuk pembangunan mas cotek sebagai rawatan komplimentari diabetes jenis kedua. Kajian masih giat dijalankan bagi menjamin kawalan kualiti dan standardisasi sebatian kimia tersebut.


Mas cotek menggantikan metformin? Masih jauh lagi perjalanan dan masih banyak aspek perlu dikaji. Maka buat masa ini, metformin adalah rawatan primer yang terbukti selamat dan berkesan.


Nota kaki: Penghargaan kepada Dr Norhafiza Razali, farmakologis yang sudi ‘proofread’ tulisan ini.



Rujukan


Afzan, A., Kasim, N., Ismail, N. H., Azmi, N., Ali, A. M., Mat, N., & Wolfender, J.-L. (2019). Differentiation of Ficus deltoidea varieties and chemical marker determination by UHPLC-TOFMS metabolomics for establishing quality control criteria of this popular Malaysian medicinal herb. Metabolomics, 15(3), 35. doi:10.1007/s11306-019-1489-2


Bailey, Cliff & Day, Caroline. (2004). Metformin: Its botanical background. Practical Diabetes International. 21, 115-117. 10.1002/pdi.606.


Kalman, D. S., Schwartz, H. I., Feldman, S., & Krieger, D. R. (2013). Efficacy and safety of Elaeis guineensis and Ficus deltoidea leaf extracts in adults with pre-diabetes. Nutrition Journal, 12(1), 36. doi:10.1186/1475-2891-12-36


Rena, G., Hardie, D. G., & Pearson, E. R. (2017). The mechanisms of action of metformin. Diabetologia, 60(9), 1577–1585. doi:10.1007/s00125-017-4342-z

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.