Dr Che Puteh Osman
SIRI 40: MAS COTEK MASIH BELUM BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MERAWAT DIABETES
Updated: 16 Ogo 2020
Mas cotek nama diberi, kerana adanya bintik emas pada daun mas cotek.
Mas cotek atau nama saintifiknya Ficus deltoidea dari keluarga Moraceae mempunyai tujuh variasi di Malaysia iaitu var. angustifolia, var. intermedia, var. deltoidea, var. bilobata, var. trengganuensis, var. kunstleri and var. motleyana.
Dalam beberapa kajian, ekstrak mas cotek didapati merencat enzim alfa-glucosidase dan alfa amylase. Enzim alfa-amilase dan alfa-glucosidase bertanggungjawab mengurai karbohidrat kepada gula ringkas di dalam badan kita.

Aktiviti merencat enzim ini kemungkinan disebabkan oleh kehadiran vitexin dan isovitexin. Sebatian kimia ini adalah jenis flavonoid glycosides iaitu mempunyai rangka flavone yang bersambung dengan glycosides.
Glycoside merujuk kepada gula ringkas seperti glukosa, rhamnosa, galaktosa dan xylosa yang disambung pada rangka flavone. Mas cotek juga kaya dengan sebatian kimia lain dari kumpulan flavonoid glycoside ini.
Mas cotek digunakan untuk secara tradisi merawat masalah jantung, sakit kepala, ubat darah tinggi dan yang paling popular adalah merawat diabetes. Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan ini?

Kajian tabung uji dan model haiwan menunjukkan mas cotek mempunyai sifat yang sama dengan acarbose, ubat yang diberikan untuk mengurangkan postprandial hyperglycemia, iaitu mengurangkan kenaikan paras gula dalam darah selepas makan.
Tidak diragui lagi, dalam banyak kajian ke atas model haiwan, ekstrak mas cotek menurunkan paras gula di dalam darah secara signifikan.
Antara mekanisme yang dikenalpasti adalah ekstrak mas cotek meningkatkan pengeluaran insulin, mengurangkan penghasilan glukosa di hati dan merencat enzim alfa-glucosidase seterusnya mengurangkan penyerapan glukosa di usus.
Namun, kajian klinikal pilot di Pahang pada tahun 2012 menunjukkan tiada perbezaan signifikan fasting blood sugar, HbA1c, profil renal dan lipid antara pesakit menerima mas cotek dengan pesakit yang tidak menerima mas cotek.
Keputusan yang sama juga diperhatikan di dalam kajian lain di Amerika syarikat pada tahun berikutnya. Tiada kesan penurunan gula yang signifikan antara kumpulan yang diberi rawatan ekstrak mas cotek (500 mg, dua kali sehari) dengan kumpulan yang tidak menerima mas cotek.
Kajian yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik pada tahun 2019 melibatkan penyelidik dari IMR, UiTM, UNISZA, University of Geneva dan University of Lausanne mendapati terdapat taburan sebatian kimia semulajadi yang berbeza antara ketujuh-tujuh variasi mas cotek ini. Dan variasi ini mempengaruhi kemampuan mas cotek merencat enzim alfa-glucosidase.

Sampai di sini saya ingin mengajak semua pembaca berfikir. Apakah variasi mas cotek yang digunakan oleh pengeluar produk mas cotek? Adakah mereka menggunakan variasi yang betul?
Adakah pihak pengeluar telah melakukan kawalan kualiti memastikan kandungan bahan aktif iaitu flavonol glycosides ini konsisten dalam setiap kumpulan pengeluaran?
Jika bahan aktif ini tidak dipastikan konsisten, bagaimana pula dengan dakwaan merawat diabetes?
Mana-mana ubat yang disediakan secara permurnian bahan aktif seperti tablet atau persediaan tradisional dalam bentuk kapsul, teh mahupun campuran herba perlu memastikan kandungan bahan aktif yang konsisten.
Ini kerana apa sahaja potensi merawat sesuatu herba adalah disebabkan oleh kehadiran bahan aktif di dalamnya.
Berdasarkan data kajian terkini, mas cotek masih belum boleh menggantikan metformin. Mas cotek setakat ini dikenalpasti merencat pencernaan karbohidrat, tetapi tidak menangani isu sebenar pesakit diabetes jenis kedua iaitu kerintangan insulin.
Kerintangan insulin berlaku apabila insulin tidak lagi cekap memberi signal kepada protein untuk mengangkut glukosa dari darah dalam tisu badan. Ini mengakibatkan peningkatan gula yang tinggi di dalam darah.
Jika ia tidak dikawal, lama kelamaan akan merosakkan sel beta di pankreas yang mengeluarkan insulin dan akhirnya memerlukan terapi insulin gantian.
Jika mengubah cara hidup tidak mampu mengawal diabetes, maka ubatan seperti metformin diberikan untuk memastikan kawalan gula dalam darah.
Gula yang terlalu tinggi di dalam darah dan tidak dikawal boleh menyebabkan kerosakan mata, buah pinggang, saraf, menjejaskan pendengaran, kaki dan menyebabkan penyakit kardiovaskular yang lainnya.

Kepercayaan kononnya ubat menyebabkan komplikasi ini adalah salah. Sebenarnya gula yang terlalu tinggi punca kepada komplikasi ini dan cara mengelakkan dan melambatkan komplikasi ini adalah dengan mengamalkan cara hidup sihat. Jika masih tidak berjaya, maka ubatan diperlukan untuk mengawal diabetes.
Metformin adalah antara ubat yang digunakan pada hari ini untuk merawat diabetes jenis kedua. Metformin bekerja dengan meningkatkan sensitiviti reseptor kepada insulin untuk meningkatkan pengangkutan glukosa kepada tisu.
Selain itu, metformin juga mengurangkan penghasilan gula di hati. Ia juga mengurangkan penghasilan lemak, meningkatkan proses pemecahan lemak dan meningkatkan pengoksidaan asid lemak.
Mas cotek menggantikan metformin? Masih jauh lagi perjalanan dan masih banyak aspek perlu dikaji. Maka buat masa ini, metformin adalah rawatan primer yang terbukti selamat dan berkesan.
Jika anda mengambil teh mas cotek selepas makan, anda masih tetap perlu mengambil ubatan seperti yang dinasihatkan oleh doktor yang merawat.
Rujukan
Abu Bakar, A. R., Manaharan, T., Merican, A. F., & Mohamad, S. B. (2018). Experimental and computational approaches to reveal the potential of Ficus deltoidea leaves extract as α-amylase inhibitor. Natural product research, 32(4), 473–476.
Adam, Z., Ismail, A., Khamis, S., Mohd. Mokhtar, M. H., & Hamid, M. (2011). Antihyperglycemic activity of F. deltoidea ethanolic extract in normal rats. Sains Malaysiana, 40(5), 489-495.
Afzan, A., Kasim, N., Ismail, N. H., Azmi, N., Ali, A. M., Mat, N., & Wolfender, J.-L. (2019). Differentiation of Ficus deltoidea varieties and chemical marker determination by UHPLC-TOFMS metabolomics for establishing quality control criteria of this popular Malaysian medicinal herb. Metabolomics, 15(3), 35. doi:10.1007/s11306-019-1489-2
Bailey, Cliff & Day, Caroline. (2004). Metformin: Its botanical background. Practical Diabetes International. 21, 115-117. 10.1002/pdi.606.
Choo, C.Y., Sulong, N.Y., Man, F. and Wong, T.W., (2012). Vitexin and isovitexin from the leaves of Ficus deltoidea with in-vivo α-glucosidase inhibition. Journal of Ethnopharmacology, 142, 776-781.
Draman, S., Aris, M. A. M., Razman, Akter, S. F. U., Azlina, H., Nor Azlina, A. R., . . . Azian. (2012). Mas cotek (Ficus deltoidea): A possible supplement for type II diabetes: (A Pilot Study). Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 35(1), 93-102.
Rena, G., Hardie, D. G., & Pearson, E. R. (2017). The mechanisms of action of metformin. Diabetologia, 60(9), 1577–1585. doi:10.1007/s00125-017-4342-z
Fatihah, H.N.N., Nashriyah, M., Zaimah, A.R.N., Khairil, M. and Ali, A.M., (2014). Leaf morphology and anatomy of 7 varieties of Ficus deltoidea (Moraceae). Turkish Journal of Botany, 38, 677-685.
Kalman, D. S., Schwartz, H. I., Feldman, S., & Krieger, D. R. (2013). Efficacy and safety of Elaeis guineensis and Ficus deltoidea leaf extracts in adults with pre-diabetes. Nutrition Journal, 12(1), 36. doi:10.1186/1475-2891-12-36
Lip, J.M., Hisham, D.N., Zaidi, J.A., Musa, Y., Ahmad, A.W., Normah, A. and Sharizan, A., (2009). Isolation and identification of moretenol from Ficus deltoidea leaves. J. Trop. Agric. and Fd. Sc., 37(2), 195-201.
Misbah, H., Aziz, A.A. and Aminudin, N., (2013). Antidiabetic and antioxidant properties of Ficus deltoidea fruit extracts and fractions. BMC Complementary & Alternative Medicine, 13, 118-129.
Omar, M.H., Mullen, W. and Crozier, A., (2011). Identification of Proanthocyanidin Dimers and Trimers, Flavone C-Glycosides, and Antioxidants in Ficus deltoidea, a Malaysian Herbal Tea. Journal of Agricultural and Food Chemistry, 59, 1363-1369.
Ramamurthy, S., Kumarappan, C., Dharmalingam, S.R. and Sangeh, J.K., (2014). Phytochemical, Pharmacological and Toxicological Properties of Ficus deltoidea: A Review of a Recent Research. Annual Research & Review in Biology, 4(14), 2357-2371.