SIRI 41: MAHKOTA DEWA (Phaleria macrocarpa) PENAWAR AJAIB?
Updated: 19 Mei 2019
PENGENALAN
1. Saya pertama kali mendengar nama pokok mahkota dewa ketika membuat kajian di salah sebuah university di Jawa Timur, Indonesia. Pokok Mahkota Dewa atau nama saintifiknya Phaleria macrocarpa Boerl. merupakan ahli keluarga Thymelaeaceae. Pokok ini dikatakan berasal dari Irian Jaya, Indonesia dan digunakan secara meluas di seluruh Indonesia untuk pelbagai jenis penyakit dalam perubatan tradisional (Adriani et al., 2015). Di Malaysia, pokok ini juga kian dikenali dan didakwa untuk merawat pelbagai penyakit.

2. Buah mahkota dewa yang segar adalah beracun. Pemakanan buah segar didakwa boleh menyebabkan mabuk, bengkak mulut dan keracunan. Mengikut blog-blog berbahasa Indonesia, terdapat kaedah khusus dalam penyediaan buah mahkota dewa bagi mengelakkan kesan keracunan.
3. Setakat pencarian penulis di dalam pangkalan jurnal berindeks, banyak kajian dilakukan terhadap buah mahkota dewa terutama potensi buah mahkota dewa bagi merawat dan/atau mencegah penyakit kanser dan diabetes. Kajian banyak dijalankan oleh penyelidik dari Indonesia, Malaysia dan Jepun.
KAJIAN BUAH MAHKOTA DEWA BAGI RAWATAN KANSER
4. Buah mahkota dewa mengandungi sebatian kimia semulajadi antaranya icariside C3, 2,4’,6-trihydroxy-4-methoxybenzophenone-2-O-b-D-glucoside, dan mangiferin (Oshimi et al., 2008). Bijinya pula mengandungi sebatian kimia benzophenone glucopyranosides. Sebatian kimia derivatif dari biji buah mahkota dewa dihasilkan secara sintetik. Salah satu darinya menunjukkan aktiviti sitotoksik yang sangat berpotensi terhadap sel kanser esophagus, perut dan sel kanser prostat (Zhang et al., 2012).
5. Dalam kajian yang lain, ekstrak biji buah mahkota dewa menunjukan potensi menghalang pertumbuhan sel kanser payudara dan sel kanser kolon di dalam piring petri (Hendra et al, 2011b). Sebatian kimia dari buah mahkota dewa, 1-(2,6-Dihydroxy-4-methoxyphenyl)-2-(4-hydroxyphenyl) ethanone membunuh sel kanser kolon adenocarcinoma secara terpilih dalam piring petri (Lay et al., 2014). Dalam kajian ke atas tikus, pemberian ekstrak etanol buah mahkota dewa mengurangkan foci, iaitu sejenis keabnormalan yang akan membentuk polips yang sering diperhatikan di kalangan pesakit kanser kolon (Shweter et al., 2016). Dalam kajian yang sama, pemberian ekstrak etanol buah mahkota dewa pada 2g/kg dan 5g/kg berat tikus tidak memberikan kesan toksik akut.
6. Fraksi etil asetat dari ekstrak metanol buah mahkota dewa dipercayai mengandungi phalerin menunjukkan potensi merawat dan mencegah kanser payudara (Tjandrawinata et al., 2010). Fraksi ini didapati membunuh sel kanser melalui laluan mitokondria dalam kajian in vitro (Kavitha et al., 2017). Kajian lain menyokong fraksi ini melemahkan sel kanser dan menghalang pertumbuhan sel kanser payudara (Trandrasasmita et al., 2010).
7. Dalam laporan yang lain, fraksi ini juga didapati mengurangkan symptom endometriosis di dalam kajian piring petri melalui beberapa laluan biokimia (Tandarasasmita et al., 2015). Fraksi ini juga diuji ke atas tikus beserta regim kemoterapi FAC (5-fluorouracil:doxorubicin:cyclophosphamide, FAC, given at 500/50/500 mg/m2) bagi melihat kesan kardiovaskular. Penyelidik berpendapat ia selamat pada dos sehingga 300 mg, tiga kali sehari (Anggadiredja & Tjandrawinata, 2016).
8. Walaupun terdapat beberapa kajian yang menunjukkan ekstrak daun dan mahkota dewa menghalang pertumbuhan sel HeLa dan leukemia dalam in vitro, kajian in vivo terhadap ke atas tikus pada dos sehingga 80 kali ganda dos berkesan ke atas manusia selama 30 hari menunjukkan pemberian ekstrak daun dan buah mahkota dewa tidak membantutkan perkembangan mammary tumor (Rahmawati et al., 2006). Namun begitu, dalam kajian terbaru pada tahun 2011, pemberian ekstrak buah mahkota dewa bersama rawatan agen kemoterapi adriamycin-cyclophosphamide ke atas sekumpulan tikus mengurangkan saiz tumor, meningkatkan kadar kematian sel terprogram dan melindungi hati dan buah pinggang yang disebabkan oleh rawatan ubatan (Riwanto et al., 2011).
KAJIAN BUAH MAHKOTA DEWA BAGI RAWATAN DIABETES
9. Pericarp buah mahkota dewa juga mengalang aktiviti alpha glucosidase, sejenis enzim yang menguraikan karbohidrat kepada glukosa di usus kecil dalam piring petri (Sugiwati et al., 2006; Sabina et al., 2015). Fraksi butanol dari ekstrak methanol pericarp buah mahkota dewa menunjukkan kesan yang signifikan mengurangkan kandungan gula dalam darah dan meningkatkan plasma insulin selepas rawatan 12 hari ke atas tikus. Analisis kimia terhadap fraksi ini mendapati sebatian kimia yang kemungkinan bertanggungjawab terhadap aktiviti tersebut adalah mangiferin (Ali et al, 2012).
KAJIAN LAIN TERHADAP BUAH MAHKOTA DEWA
10. Saringan buah mahkota dewa dalam piring petri menunjukkan ia mengandungi sebatian fenolik dan menunjukkan aktiviti antioksidan dan antiinflammatori yang baik. Ia mungkin kerana kewujudan flavonoid iaitu kaempferol, myricetin, naringin, quercetin, dan rutin (Hendra et al., 2011). Selain itu, ekstrak buah mahkota dewa didapati menurunkan paras kolesterol dalam tikus secara signifikan (Chong et al., 2011).
11. Walaupun ekstrak daun mahkota dewa menunjukkan aktiviti anti-keradangan, phalerin, sebatian kimia utama dari daun mahkota dewa tidak menunjukkan aktiviti anti-keradangan yang signifikan (Nor Fariza et al., 2012). Daun mahkota dewa menurunkan kandungan kolesterol yang signifikan dalam kajian ke atas sekumpulan tikus (Adriani et al., 2015). Pemberian 500 mg/kg berat tikus tidak menjejaskan fungsi hati.
12. Selain itu, terdapat beberapa laporan menunjukkan ekstrak buah mahkota dewa meningkatkan bilangan sperma di dalam tikus jantan. Terdapat beberapa laporan aktiviti antimikrobial pokok mahkota dewa. Ekstrak buah mahkota dewa juga didapati mempunyai sifat hepatoprotektif terhadap model tikus, iaitu melindungi hati dari kecederaan (Berlian et al., 2016).
KESIMPULAN
13. Buah mahkota dewa adalah beracun, dan sehingga pencarian penulis tiada kajian kesan toksik akut dan subkronik dilaporkan. Ekstrak buah mahkota dewa berpotensi tinggi dibangunkan sebagai agen kemoterapi, namun kajian masih lagi pada peringkat pra-klinikal. Selain itu, tiada laporan kajian interaksi ubat diabetes dan pengambilan teh buah mahkota dewa.
14. Tidak banyak kajian dilakukan terhadap daun mahkota dewa. Kajian yang ada masih lagi pada fasa penemuan, berbanding kajian terhadap buahnya yang sudah berkembang ke peringkat pra-klinikal.
15. Saya tidak mencadangkan tuan puan mengambil teh buah mahkota dewa terutama jika tuan puan menghidapi penyakit kronik selagi mana tiada kajian keselamatan pengambilan mahkota dewa dilaporkan.
16. Beberapa agen kemoterapi yang dipakai pada hari ini berasal dari pokok yang beracun. Mungkinkah akan terhasil lagi satu agen kemoterapi dari tumbuhan tropika?
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Ali, R. B., Atangwho, I. J., Kaur, N., Abraika, O. S., Ahmad, M., Mahmud, R., & Asmawi, M. Z. (2012). Bioassay-guided antidiabetic study of Phaleria macrocarpa fruit extract. Molecules, 17(5), 4986-5002. doi:10.3390/molecules17054986
Andriani, Y., Tengku-Muhammad, T. S., Mohamad, H., Saidin, J., Syamsumir, D. F., Chew, G. S., & Wahid, M. E. A. (2015). Phaleria macrocarpa Boerl. (Thymelaeaceae) leaves increase SR-BI expression and reduce cholesterol levels in rats fed a high cholesterol diet. Molecules, 20(3), 4410-4429. doi:10.3390/molecules20034410
Anggadiredja, K., & Tjandrawinata, R. R. (2015). Cardiovascular Effects of Phaleria macrocarpa Extracts Combined with Mainstay FAC Regimen for Breast Cancer. Cardiovascular Toxicology, 15(1), 90-99. doi:10.1007/s12012-014-9275-x
Berlian, G., Tandrasasmita, O. M., & Tjandrawinata, R. R. (2016). Standardized bioactive fraction of Phaleria macrocarpa (Proliverenol) prevents ethanol-induced hepatotoxicity via down-regulation of NF-κB-TNFα-caspase-8 pathway. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine, 6(8), 686-691. doi:10.1016/j.apjtb.2016.06.007
Chong, S. C., Dollah, M. A., Chong, P. P., & Maha, A. (2011). Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl fruit aqueous extract enhances LDL receptor and PCSK9 expression in vivo and in vitro. Journal of Ethnopharmacology, 137(1), 817-827. doi:10.1016/j.jep.2011.06.041
Hakim R W, Nawawi A, Adyana IK, Ahmad SA, Makmur L, Hakim E, Sjah YM, Kitajima M. Glukosida benzofenon dari buah merah Mahkota dewa [Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.] serta uji aktivitas terhadap DPPH dan sel murin leukemia P-388. Bull Soc Nat Prod Chem (Indonesia). 2004; 4 : 67-70.
Hendra, R., Ahmad, S., Sukari, A., Shukor, M. Y., & Oskoueian, E. (2011a). Flavonoid analyses and antimicrobial activity of various parts of Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl fruit. International Journal of Molecular Sciences, 12(6), 3422-3431. doi:10.3390/ijms12063422
Hendra, R., Ahmad, S., Oskoueian, E., Sukari, A., & Shukor, M. Y. (2011b). Antioxidant, Anti-inflammatory and Cytotoxicity of Phaleria macrocarpa (Boerl.) Scheff Fruit. BMC Complementary and Alternative Medicine, 11. doi:10.1186/1472-6882-11-110
Kavitha, N., Ein Oon, C., Chen, Y., Kanwar, J. R., & Sasidharan, S. (2017). Phaleria macrocarpa (Boerl.) fruit induce G<inf>0</inf>/G<inf>1</inf>and G<inf>2</inf>/M cell cycle arrest and apoptosis through mitochondria-mediated pathway in MDA-MB-231 human breast cancer cell. Journal of Ethnopharmacology, 201, 42-55. doi:10.1016/j.jep.2017.02.041
Lay, M. M., Karsani, S. A., & Abd Malek, S. N. (2014). Induction of apoptosis of 2,4′,6-trihydroxybenzophenone in HT-29 colon carcinoma cell line. BioMed Research International, 2014. doi:10.1155/2014/468157
Lisdawati V. Brine shrimp lethality test (BSLT),Bioasai antikanker in vitro dengan sel leukemia L1210, dan isolasi serta penentuan struktur molekul senyawa kimia dari buah Mahkota [Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.] (tesis). FMIPA UI. 2002.
Oshimi, S., Zaima, K., Matsuno, Y., Hirasawa, Y., Iizuka, T., Studiawan, H., . . . Morita, H. (2008). Studies on the constituents from the fruits of Phaleria macrocarpa. Journal of Natural Medicines, 62(2), 207-210. doi:10.1007/s11418-007-0209-9
Prasetya INB, Djunarko I, Donatus IA. Efek hepato-protektif infus daging buah makuto dewo [Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.] pada mencit jantan terinduksi parasetamol. Risalah penelitian ilmiah nasional, Fak. Farmasi Univ.Sanata Dharma, Yogyakarta. 2003; 38-45.
Purwantini I, Setyowati EP, Hertiani T. Uji toksisitas ekstrak etanol : buah, biji, daun, makuta dewa [Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.] terhadap Artemia salina Leach dan profil KLT ekstrak aktif. Maj.Farmasi Indonesia. 2002;13(2): 101-6.
Rahmawati, E., Dewoto, H. R., & Wuyung, P. E. (2006). Anticancer activity study of ethanol extract of Mahkota dewa fruit pulp (Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.) in C3H mouse mammary tumor induced by transplantation. Medical Journal of Indonesia, 15(4), 217-222. doi:10.13181/mji.v15i4.237
Riwanto, I., Budijitno, S., Dharmana, E., Handojo, D., Prasetyo, S. A., Eko, A., . . . Prasetyo, B. (2011). Effect of phaleria macrocarpa supplementation on apoptosis and tumor growth of C3H mice with breast cancer under treatment with adriamycin-cyclophosphamide. International Surgery, 96(2), 164-170. doi:10.9738/1404.1
Sabina, E., Zaidul, I. S. M., Ghafoor, K., Jaffri, J. M., Sahena, F., Babiker, E. E., . . . Khatib, A. (2016). Screening of Various Parts of Phaleria macrocarpa Plant for α-Glucosidase Inhibitory Activity. Journal of Food Biochemistry, 40(2), 201-210. doi:10.1111/jfbc.12212
Shwter, A. N., Abdullah, N. A., Alshawsh, M. A., El-Seedi, H. R., Al-Henhena, N. A., Khalifa, S. A. M., & Abdulla, M. A. (2016). Chemopreventive effect of Phaleria macrocarpa on colorectal cancer aberrant crypt foci in vivo. Journal of Ethnopharmacology, 193, 195-206. doi:10.1016/j.jep.2016.08.002
Sugiwati, S., Kardono, L. B. S., & Bintang, M. (2006). α-Glucosidase inhibitory activity and hypoglycemic effect of Phaleria macrocarpa fruit pericarp extracts by oral administration to rats. Journal of Applied Sciences, 6(10), 2312-2316. doi:10.3923/jas.2006.2312.2316
Tandrasasmita, O. M., Sutanto, A. M., Arifin, P. F., & Tjandrawinata, R. R. (2015). Anti-inflammatory, antiangiogenic, and apoptosis-inducing activity of DLBS1442, a bioactive fraction of phaleria macrocarpa, in a RL95-2 cell line as a molecular model of endometriosis. International Journal of Women's Health, 7, 161-169. doi:10.2147/IJWH.S74552
Tjandrawinata, R. R., Arifin, P. F., Tandrasasmita, O. M., Rahmi, D., & Aripin, A. (2010). DLBS1425, a Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl. extract confers anti proliferative and proapoptosis effects via eicosanoid pathway. Journal of Experimental Therapeutics and Oncology, 8(3), 187-201.
Tjandrawinata, R. R., Arifin, P. F., Tandrasasmita, O. M., Rahmi, D., & Aripin, A. (2010). DLBS1425, a Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl. extract confers anti proliferative and proapoptosis effects via eicosanoid pathway. Journal of Experimental Therapeutics and Oncology, 8(3), 187-201.
Zhang, S. Y., Zhang, Q. H., Zhao, W., Zhang, X., Zhang, Q., Bi, Y. F., & Zhang, Y. B. (2012). Isolation, characterization and cytotoxic activity of benzophenone glucopyranosides from Mahkota Dewa (Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl). Bioorganic and Medicinal Chemistry Letters, 22(22), 6862-6866. doi:10.1016/j.bmcl.2012.09.038