SIRI 41 : MAKANAN BUKAN UBAT.
“Dr boleh tak beritahu khasiat pokok A, B dan C?”
“Dr betul ke pokok ABC merawat kencing manis?”
“Apa khasiat kita makan ulam-ulam, nasi ulam dan kerabu?”
Macam-macam soalan saya dapat. Saya hendak menerangkan beza ubat, makanan dan khasiat.

💊Ubat: Diberikan pada dos terapeutik, bertindakbalas dengan reseptor, enzim dan protein, dan memberikan kesan merawat penyakit dengan merencat, menyahaktif, menterbalikkan sesuatu proses biokimia punca penyakit. Ini yang dipanggil kesan terapeutik. Lebih 55% ubat hari ini asalnya adalah fitokimia yang ditemui dari tumbuhan.
🥗Makanan/tumbuhan: Mengandungi makro dan mikronutrien, dan juga ada fitokimia. Fitokimia merujuk kepada sebatian kimia hasilan semulajadi yang ada dalam tumbuhan. Sesetengah fitokimia ini dikaji potensinya sebagai ubat. Walaupun fitokimia ini hadir dalam tumbuhan, jumlahnya terlalu sedikit dan tidak mencapai dos terapeutik. Tidak dinafikan ada tumbuhan mengandungi fitokimia aktif pada dos tinggi, tapi ini bergantung kepada jenis pokok tertentu saja.
💊Khasiat: Boleh jadi merujuk kepada:
1) Kandungan nutrien seperti fiber, vitamin, mineral, protein, kalsium dan lain-lain
2) Merujuk kepada kesan terapeutik.
Jadi pokok ABC berkhasiat tak? Ya, ia berkhasiat kerana mengandungi nutrisi. Kita memerlukan makro dan mikronutrien untuk kesihatan tubuh badan. Makanlah mengikut pinggan sihat Malaysia, suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur dan buah. Anda tidak memerlukan supplemen tambahan melainkan ia diberi doktor anda.
Adakah pokok ABC merawat penyakit? Tidak, sebab kandungan fitokimia yang pernah dikaji yang ada dalam pokok tersebut tidak cukup untuk memberikan kesan terapeutik.
Contoh dalam 1 g daun teh ada 1 mg teofilina. Ubat teofilina yang perlu diambil oleh pesakit yang memerlukan katakan antara 300-1000mg. Maksudnya anda perlu kekah 300g-1000g daun teh, setiap kali.
Sebab itu kita hasilkan semula fitokimia ini dalam kuantiti besar untuk jadi ubat. Bukan suruh petik pokok dan makan untuk ganti ubat.
Itu maksudnya. Boleh tak jangan taksub sangat dengan natural, herba, khasiat dan semulajadi? Saya dah banyak kali tulis sebut semulajadi tidak semestinya selamat.
Kongsilah. Tak perlu tanya. Jangan keliru lagi. Makanan bukan ubat.