top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 43: KENAPA LOGAM BERAT ADA DI DALAM MAKANAN?

Updated: 6 Mei 2020


“Eeee beras ada arseniklah”


“Eh, jangan pakai periuk ini, nanti ada leaching aluminium dan besi!”


Logam yang dimaksudkan oleh orang ramai selalunya merujuk kepada logam berat. Ada banyak kriteria yang digunakan untuk pengkelasan logam berat termasuklah logam yang mempunyai ketumpatan tinggi dan berat atom yang tinggi.


Contoh logam berat adalah titanium, vanadium, kromium, manganese, besi, kobalt, nikel, kuprum, zink,arsenik, platinum, emas, merkuri, aluminium, molybdenum, tungsten, kadmium, perak (silver) dan plumbum. Senarainya memang panjang. Sepanjang di dalam jadual berkala.



Sesetengah logam berat adalah toksik pada dos yang rendah seperti merkuri, plumbum dan arsenik. Sesetengahnya pula kita perlukan dalam diet kita seperti besi, kobalt, manganese, kromium (IV) dan zink. Ada sesetengah tidak berbahaya seperti emas, platinum dan perak.


Ada di antara logam ini adalah logam peralihan. Contohnya kromium, aluminium, zink, dan kumprum. Logam peralihan boleh ada lebih dari satu nombor pengoksidaan. Contohnya kromium ada kromium (III) dan kromium (IV). Kromium (III) diperlukan badan manakala kromium (IV) adalah toksik.


Ketoksikan logam juga bergantung kepada ligan. Apabila ia mempunyai ligan berbeza ketoksikan juga berbeza. Contohnya metil merkuri lebih toksik dari etil merkuri. Etil merkuri contohnya thiomersal, pernah digunakan sebagai pengawet dalam vaksin. Etil merkuri tidak mengumpul dalam badan manusia dan dikumuhkan dalam masa 2 minggu. Berbeza dengan metil merkuri yang mengumpul dalam badan dan dalam benda hidup lainnya. Metil merkuri mengambil masa yang lama untuk dikumuhkan.


Kenapa ada logam berat dalam makanan? Logam berat ini wujud secara semulajadi dalam tanah dan persekitaran. Namun, aktiviti perlombongan dan perindustrian meningkatkan kandungan logam ini di dalam tanah, dan air. Oleh kerana logam berat ini tidak boleh dimusnahkan, ia akan mengumpul dalam persekitaran.


Salah satu cara untuk mengurangkan kesan toksik dari sesetengah logam yang berbahaya adalah dengan menukar bentuknya ke bentuk yang tidak berbahaya sebelum dilepaskan ke persekitaran. Seperti yang saya sebut tadi, logam ini berbahaya dalam bentuk tertentu, dan selamat dalam bentuk tertentu.




Jadi, sebenarnya kita memang tidak akan boleh mengelakkan dari terdedah dari logam berat berbahaya. Kita terdedah setiap hari dari pelbagai sumber. Tetapi berapa banyak pendedahan? Jika dilihat pada satu-satu jenis makanan, kandungan logam berat adalah di paras selamat. Kandungannya dipantau oleh badan kerajaan tertentu dari masa ke semasa.


Kandungan logam dalam buah, sayur dan bijirin adalah disebabkan oleh pengambilan logam ini oleh tumbuhan dari tanah.


Contohnya beras. Walaupun beras mengandungi beberapa jenis logam, kandungan logam ini adalah pada paras yang rendah dan selamat. Kajian ke atas beberapa jenis beras di pasaran di Malaysia menunjukkan kandungan logam adalah dalam paras yang selamat.


Sebab itu saya agak skeptikal dengan perladangan organik. Tidak dinafikan mereka tidak menggunakan racun dan baja sintetik. Namun jika di sekeliling ladangnya adalah ladang tidak organik, kemungkinan ada racun yang dibawa air hujan mengalir (water run-off) dari ladang di sekitarnya ladang organik. Jadi, tetap akan ada sisa racun walaupun mungkin tidak sebanyak ladang konvensional. Jadi, basuhlah bersih walaupun hasil dari ladang organik.


Tiada masalah jika anda hendak beli sayur organik jika anda mampu. Pastikan ladang organik yang anda beli itu mempunyao akreditasi penanaman organik. Dari segi kandungan nutrien, tidak ada beza di antara ladang organik atau ladang konvensional.


Selain itu, logam berat juga mengumpul dalam rantaian makanan contohnya hidupan laut. Istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan ini adalah pengumpulan bio (bioaccumulation). Lagi tinggi kedudukan hidupan laut dalam rantaian makanan, lagi tinggi kandungan kontaminan. Istilahj ini dikenali sebagai biokepekatan (bioconcentration).


Contohnya kandungan metil merkuri dalam hidupan laut. Kajian terkini menunjukkan kandungan merkuri dalam ikan di perairan negara adalah sangat rendah. Ada ikan yang mengandungi merkuri sedikit tinggi tetapi masih selamat diambil 1-2 kali seminggu.


Air dari sumber bawah tanah juga tinggi kandungan logam tertentu. Kajian yang dilakukan terhadap beberapa sumber air mineral dari beberapa bukit menunjukka kehadiran logam berat. Air terawat pula tidak mengandungi logam kecuali aluminium. Klasifikasi aluminium sebagai logam berat masih menjadi kontroversi. Ini kerana badan kita mampu mengkumuhkan aluminium dengan cepat.


Namun, apa yang membimbangkan adalah pendedahan secara kumulatif. Sesetengah logam ini dikumuhkan dengan cepat dari badan kita. Jadi jika anda terdedah setiap hari ia tidak membahayakan jika anda terdedah di bawah paras siling yang dibenarkan. Tetapi ada sesetengah logam dikumuhkan dengan lebih lama, menyebabkan pengumpulan dalam badan, jadi pengambilan tinggi makanan tersebut meningkatkan risiko ketoksikan.


Risiko ini biasanya lebih tinggi jika anda berada di kawasan perlombongan, atau tempat pelupusan sisa berjadual. Atau jika anda tinggal di kawasan pelupusan sampah (Landfill).



Jika anda hidup di kampung, stesen minyak pun susah nak jumpa, pendedahan anda berasa pada tahap sangat rendah berbanding mereka yang tinggal di kawasan industri.


Apa yang kita boleh buat untuk mengurangkan logam dalam makanan? Selain mempelbagaikan sumber makanan, anda juga patut menjadi lebih bertanggungjawab dengan alam sekitar. Kitar semula, dan jangan membakar atau menanam sesetengah jenis sampah contohnya bateri dan peralatan elektronik. Ini kerana logam berat digunakan dalam pembuatan bateri dan peralatan elektronik.


Perubahan pada alam sekitar bermula dengan diri anda. Lindungi alam sekitar dan lindungi sumber makanan kita.


Rujukan


Nurul Hafiza Ab Razak, Sarva Mangala Praveena, Ahmad Zaharin Aris, Zailina Hashim (2015). Drinking water studies: A review on heavy metal, application of biomarker and health risk assessment (a special focus in Malaysia), Journal of Epidemiology and Global Health, 5 (4), 297-310


Palupi, E., Jayanegara, A., Ploeger, A., & Kahl, J. (2012). Comparison of nutritional quality between conventional and organic dairy products: a meta-analysis. Journal of the Science of Food and Agriculture, 92(14), 2774-2781. doi:10.1002/jsfa.5639


Farina, Y., Munawar, N., Abdullah, M. P., Yaqoob, M., & Nabi, A. (2018). Fate, distribution, and bioconcentration of pesticides impact on the organic farms of Cameron Highlands, Malaysia. Environmental Monitoring and Assessment, 190(7), 386. doi:10.1007/s10661-018-6762-8


United States Department of Health and Human Services (1999) Toxicological profile of mercury



656 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page