SIRI 44: NANAS MENYEBABKAN KEGUGURAN?
Updated: 27 Mei 2019
1. Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus merupakan ahli keluarga Bromeliaceae, atau keluarga nanas. Nanas kaya dengan nutrien dan fiber. Ramai anggota masyarakat kita percaya buah nanas ini boleh menyebabkan keguguran kandungan. Sebenarnya, bukan orang Malaysia sahaja percaya begitu. Ramai orang dalam dunia ini mempunyai kepercayaan yang sama.

2. Ramai beranggapan yang buah nanas ini ‘tajam’. Ini kerana setiap kali makan buah nanas, kita akan rasa macam gatal-gatal atau pedih dilidah. Hal ini disebabkan oleh kehadiran enzim bromelain, sejenis enzim yang mencerna protein, termasuklah protein di lidah kita. Bayangkan suatu ketika dahulu pernah tular petua jus empulur nanas untuk merawat batuk di kalangan kanak-kanak. Lagikan orang dewasa pun terasa pedih dan gatal, inikan pula kanak-kanak. Jangan pula ada yang kata bromelain tiada di empulur, bromelain pun ada di empulur.

3. Bromelain kerap digunakan sebagai pelembut daging. Tuan puan boleh mencari produk bromelain. Memang ada dikomersilkan untuk melembutkan daging. Bab ini pakar sains pemakanan lebih pandai.
4. Kajian yang dijalankan pada tahun 2016 ke atas uterus tikus di dalam penetapan makmal menunjukkan kehadiran sebatian kimia yang mimik kepada serotonin meransang aktiviti pengecutan rahim tikus. Namun kajian terdahulu menunjukkan pemberian jus nanas selama 12 hari tidak menyebabkan keguguran kepada tikus yang mengandung.
5. Tidak ada bukti kukuh ke atas manusia mahupun ke atas model haiwan menunjukkan pengambilan buah nanas menyebabkan keguguran janin.
6. Penulis menyimpulkan sebatian kimia yang bersifat uterotonik, iaitu menyebabkan keguguran kandungan TELAH TERCERNA apabila melalui sistem pencernaan. Oleh itu, sebatian kimia yang berkemungkinan menyebabkan keguguran tidak sampai ke uterus (rahim). Jadi, walaupun bromelain menghakis protein di dalam mulut, struktur kimianya tidak kekal setelah dicerna oleh jus gaster dan tidak memberi kesan kepada kandungan.
7. Makanlah secara sederhana. Walaupun nanas kaya dengan nutrien dan serat, kandungan gulanya juga tinggi.
PhD (Natural Product Chemistry)
Rujukan:
Monji, F., Adaikan, P. G., Lau, L. C., Bin Said, B., Gong, Y., Tan, H. M., & Choolani, M. (2016). Investigation of uterotonic properties of Ananas comosus extracts. Journal of Ethnopharmacology, 193, 21-29. doi:https://doi.org/10.1016/j.jep.2016.07.041
Musa T. Yakubu, Oluwabimpe J. Olawepo & Gbonjubola A. Fasoranti (2011) Ananas comosus: Is the unripe fruit juice an abortifacient in pregnant Wistar rats?, The European Journal of Contraception & Reproductive Health Care, 16:5, 397-402, DOI: 10.3109/13625187.2011.599454
Ramli, A. N. M., Manas, N. H. A., Hamid, A. A. A., Hamid, H. A., & Illias, R. M. (2018). Comparative structural analysis of fruit and stem bromelain from Ananas comosus. Food Chemistry, 266, 183-191. doi:https://doi.org/10.1016/j.foodchem.2018.05.125