top of page

SIRI 45: CHLOROQUINE, UBAT MALARIA DARI POKOK CINCHONA MERAWAT COVID-19?


Chlororoquine adalah sebatian kimia terbitan quinine. Quinine telah dipencilkan dari kulit kayu Cinchona oleh Pelletier dan Caventou pada tahun 1820. Quinine adalah sejenis sebatian kimia semulajadi dari kelas quinoline alkaloid.

Sebelum tahun 1820, kulit kayu Cinchona biasa dikeringkan, dikisar dan dicampur dengan air sebelum diminum. Ia digunakan sejak tahun 1600 bagi merawat malaria.


Quinine digunakan bagi merawat malaria sehingga tahun 1920-an. Pada ketika itu, terbitan sintetik quinine iaitu chloroquine telah dihasilkan. Chloroquine lebih efektif bagi merawat malaria. Ia digunakan sehingga tahun 1950-an apabila parasit malaria iaitu Plasmodium falciparum mula menunjukkan kerintangan terhadap chloroquine.

Kerintangan ini bermula dari Asia Tenggara dan Amerika Selatan sehinggalah hampir kebanyakan tempat pada tahun 1980-an. Quinine dan sebatian terbitan quinine yang lain seperti primaquine dan mefloquine digunakan bagi merawat malaria.



Chloroquine membunuh Plasmodium falciparum, parasit malaria yang di bawa vektor nyamuk Anopheles dengan menyasarkan vakuol makanan (food vacuole) Plasmodium.

Plasmodium adalah sejenis parasit yang mencerna sel darah merah kita dan menukarkannya menjadi pigmen malaria. Pigmen malaria kelihatan seperti tompokan di bawah mikroskop cahaya.

Apabila Plasmodium mencerna hemoglobin, ia berpecah menjadi 4 unit heme. Heme adalah bertoksik kepada parasit. Jadi, Plasmodium menggabungkan 2 unit heme ini menjadi hemozoin atau pigmen malaria untuk meneutralkan heme.

Chloroquine menghalang proses pembentukan pigmen malaria ini. Selain itu, terdapat beberapa mekanisme lain bagaimana chloroquine membunuh parasit ini dengan menyasarkan beberapa mekanisme di dalan vakuol makanan parasit.

Hari ini chloroquine tidak lagi digunakan sebagai rawatan standard jangkitan malaria. Ini kerana parasit Plasmodium falciparum telah membina kerintangan terhadap chloroquine.

Hari ini artemisinin, sejenis sebatian kimia semulajadi yang ditemui dari pokok Artemisia annua digunakan bagi merawat malaria yang disebabkan jangkitan Plasmodium falciparum yang rintang terhadap chloroquine. Saya pernah menulis tentang artemisinin di sini.


Sebenarnya terdapat beberapa jenis Plasmodium yang lain, contohnya Plasmodium knowlesi dan Plasmodium vivax yang dilaporkan di pendalaman Sarawak.


Selain itu, hari ini chloroquine juga digunakan bagi merawat penyakit autoimmune seperti rheumatoid arthritis dan lupus erythematosus.


Benarkah chloroquine boleh merawat jangkitan COVID?


Kajian yang dijalankan pada tahun 2005 menunjukkan chloroquine menghalang virus SARS (bukan COVID-19, ini adalah wabak SARS pada tahun 2003) dari membiak atau replikasi. Ia menghalang replikasi dengan memghalang virus SARS-CoV dari melekap pada reseptor ACE2 pada sel manusia.

Selain itu, chloroquine menjadikan endosome virus SARS-CoV lebih beralkali. Endosome ini sepatutnya lebih berasid dan perubahan keasidan ini menghalang virus dari mereplikasi. Kajian ini masih pada peringkat tabung uji, dan saintis seluruh dunia sedang mengkaji sama ada ubat sedia ada iaitu chloroquine, hydroxychloroquine dan ubat HIV ritonavir-lopinavir berpotensi merawat jangkitan COVID-19 pada manusia.

Menariknya ubat-ubat ini sudah tamat paten asalnya menjadikan ia calon ubat yang murah.


WHO sedang melancarkan kajian klinikal skala global untuk keempat jenis ubat ini melibatkan pesakit yang telah sah mengidap COVID-19 yang serius. Semoga usaha ini membuahkan hasil memberansangkan. Kajian seumpama ini adalah kali pertama dijalankan bagi merawat jangkitan COVID-19.

Jadi, jangan beli sendiri pula. Mari kita semua berdoa semoga saintis berjaya mengenalpasti ubat berkesan dalam tempoh terdekat. Kita kena memainkan peranan kita bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Kita boleh melakukannya.

Rujukan:


Achan, J., Talisuna, A.O., Erhart, A. et al.Quinine, an old anti-malarial drug in a modern world: role in the treatment of malaria. Malar J10, 144 (2011). https://doi.org/10.1186/1475-2875-10-144


Cao, B., Wang, Y., Wen, D., Liu, W. et al. (2020) A Trial of Lopinavir–Ritonavir in Adults Hospitalized with Severe Covid-19, The New England J. of Med., 1-13. 10.1056/NEJMoa2001282


Kupferschidmt & Cohen (2020) WHO launches global megatrial of the four most promising coronavirus treatments Retrieved from

https://www.sciencemag.org/news/2020/03/who-launches-global-megatrial-four-most-promising-coronavirus-treatments (Mar, 23, 2020)


Vincent, M.J., Bergeron, E., Benjannet, S. et al.Chloroquine is a potent inhibitor of SARS coronavirus infection and spread. Virol J 2, 69 (2005). https://doi.org/10.1186/1743-422X-2-69


796 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page