top of page
  • Writer's pictureDr Che Puteh Osman

SIRI 46: CAFFEINE DALAM KOPI

Kopi mengandungi alkaloid purine iaitu caffeine. Selain itu, ia juga mengandungi theobromine dan theophylline. Ketiga-ketiga bahan kimia ini hanya berbeza pada kedudukan kumpulan metil. Sebatian kimia ini juga boleh didapati dalam daun teh.



Dalam secawan kopi (240 ml), terdapat sekitar 65-120 mg caffeine, bergantung kepada jenis kopi dan cara penyediaan. Decaffeinated coffee juga mengandungi 2-4 mg caffeine.


Badan kita metabolisme cffeine kepada paraxanthine, theobromine dan theophylline. Caffeine akan berada dalam darah selepas 45 minit dan kesannya akan bertahan selama 4-6 jam.





Caffeine menyebabkan kita rasa cergas dan bertenaga kerana ia adalah antagonis kepada reseptor adenosine. Adenosine mengikat pada reseptor adenosine dan menyebabkan mengantuk, dilatasi salur darah dan meningkatkan pengambilan oksigen. Caffeine mengikat pada reseptor adenosine dan seterusnya menghalang adenosine dari mengikat pada reseptor adenosine. Adrenaline dan dopanine juga dihasilkan. Jadi, kita lebih cergas dan segar.


Namun, reaksi individu adalah berbeza pada caffeine. Ada yang minum kopi langsung tidak boleh tidur. Tetapi ada yang langsung tidak terkesan. Ini disebabkan oleh variasi pada genetik CYP1A2 yang mengekod enzim yang bertanggungjawab metabolisme caffeine.


Individu yang sensitif akan mudah mengalami simptom seperti menggeletar, degupan jantung laju, insomnia, berdebar-debar dan lain-lain. Ada individu yang tidak begitu sensitif pada caffeine. Minum dua cawan pada waktu malam, mereka masih mampu menguap dan tidur lena.


Disebabkan caffeine juga dimetabolisme menjadi theophylline, pesakit asma dengan gejala ringan kebiasaannya berasa lebih selesa selepas minum kopi. Theophylline adalah sejenis bronchodilator generasi awal. Hari ini ia tidak lagi digunakan sebagai rawatan utama asma. Theophylline juga banyak didapati di dalam daun teh.


Namun, kopi mahupun daun teh tidak menggantikan ubat anda. Dalam 1g daun teh terdapat sekitar 1 mg theophylline. Jika anda perlukan 300-1000 mg theophylline, anda perlu makan 300-1000g daun teh, setiap kali. Saya pernah tulis tentang theophylline dalam daun teh di sini


Sesetengah individu berasa kembung apabila minum kopi. Kemungkinan besar ia disebabkan oleh asid klorogenik yang ada di dalam kopi. Jika anda ingin menikmati kopi tanpa rasa kembung, anda boleh mencuba kopi yang telah dikurangkan asidnya.


Nikmatilah kopi anda dan ingat, ada sains disebalik secangkir kopi.


Rujukan


Ferré S. (2016). Mechanisms of the psychostimulant effects of caffeine: implications for substance use disorders. Psychopharmacology, 233(10), 1963–1979. https://doi.org/10.1007/s00213-016-4212-2


Nehlig, A. (2018). Interindividual Differences in Caffeine Metabolism and Factors Driving Caffeine Consumption. Pharmacological Reviews, 70(2), 384. doi:10.1124/pr.117.014407


Singh S, McKintosh R. Adenosine. [Updated 2020 Jan 18]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2020 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK519049/

2,381 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
logo.jpg

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.

bottom of page