• Dr Che Puteh Osman

SIRI 47: MILKBOOSTER: FAKTA ATAU AUTA?

Updated: May 19, 2019

PENGENALAN


1. Galactague merujuk kepada makanan atau ubat yang meningkatkan penghasilan susu ibu. Terdapat pelbagai petua yang diamalkan oleh masyarakat seluruh dunia bagi meningkatkan jumlah susu badan. Sesetengah dari petua ini dikaji secara saintifik ke atas manusia dan haiwan. Ini bukan pengalaman seseorang individu sahaja, atau dipanggil anecdotal evidence, yang tidak membuktikan sesuatu petua itu akan berkesan ke atas orang lain.



2. Secara umumnya penghasilan susu ibu adalah berdasarkan konsep penawaran dan permintaan. Jika bayi disusukan dengan kerap dan mengikut sela waktu yang tetap, penghasilan susu akan meningkat. Jika anda mempunyai masalah penyusuan bayi, sebaiknya anda mendapatkan nasihat dari kaunselor laktasi yang bertauliah (bukan self-proclaimed lactation coach).


3. Kebanyakan dari petua ini adalah makanan. Pada pendapat peribadi saya, tiada masalah untuk mencuba melainkan ibu atau bayi mempunyai masalah kesihatan di mana mereka tidak boleh mengambil makanan tertentu seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor yang merawat.


4. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas maklumbalas rakan-rakan facebook yang menyenaraikan petua makanan atau herba yang mereka dengar boleh meningkatkan susu ibu. Saya telah menyemak senarai tersebut dan hanya beberapa sahaja yang dikaji secara saintifik. Mana-mana makanan milkbooster yang tidak saya bincangkan di sini bermakna tiada kajian yang dijalankan terhadap potensi mereka sebagai galactagogue.


5. Pada siri kali ini saya akan membincangkan beberapa kajian saintifik makanan dan herba yang dikatakan meningkatkan jumlah penghasilan susu ibu ke atas manusia dan model haiwan.


KAJIAN KLINIKAL MAKANAN/HERBA KE ATAS MANUSIA SEBAGAI GALACTAGOGUE


6. HALBA



Dalam satu kajian meta analisis menghimpunkan 4 kajian RCT (randomized control trial) dari Indonesia, Mesir, Iran dan Turki. Ibu yang diberikan halba hanya mengalami peningkatan susu ibu sebanyak 17.79% berbanding kumpulan yang tidak diberikan apa-apa makanan tambahan [1].






7. KURMA

Dalam kajian meta analisis yang sama dengan halba, penyelidik berpendapat penggunaan kurma dan daun pudina mexico meningkatkan pengeluaran susu sebanyak masing-masinf 25% dan 26% [1]


8. HALIA

Dalam kajian ke atas 60 ibu menyusu, pemberian 500mg ekstrak halia meningkatkan pengeluaran susu sebanyak 56% berbanding ibu-ibu yang tidak menerima rawatan [2].


9. MERUNGAI/KELOR (Moringa oleifera)



Dalam satu laporan meta analisis, pengambilan ekstrak moringa meningkatkan penghasilan susu ibu. Walaubagaimanapun penghasilan susu berbeza-beza dan tiada kesimpulan konklusif di antara 5 RCT dan 366 subjek kajian [3]








10. PRODUK BERASASKAN MILK THISTLE DAN GALEGA

Pengambilan ramuan milk thistle dan galega (saya rasa Galega officinalis atau Goat’s rue) meningkatkan penghasilan susu berbanding kumpulan yang tidak menerima rawatan. Bilangan ibu yang meneruskan penyusuan eksklusif di kalangan ibu yang menerima ekstrak herba adalah lebih tinggi berbanding kumpulan yang tidak menerima rawatan [4].


KAJIAN GALACTAGOGUE KE ATAS HAIWAN


11. RUMPUT PISAU (Cyperus rotundus)

Akar rumput pisau digunakan dalam perubatan Ayurveda sebagai galactagogue. Pemberian 300mg/kg dan 600mg/kg ekstrak akar rumput pisau meningkatkan penghasilan susu tikus dan prolactin berbanding tikus yang tidak diberikan apa-apa rawatan [5].


12. HABBATUS SAUDA

Pemberian ektrak air dan etanol habbatus sauda sebanyak 500mg/kg meningkatkan menghasilan susu tikus masing-masing sebanyak 31.3% dan 37.6% [6]


13. JANTUNG PISANG

Pemberian ektrak air jantung pisang nipah (Musa x paradisiaca) meningkatkan pengeluaran susu tikus sebanyak 25% [7]


14. JINTAN MANIS (Pimpinella anisum L.)

Pemberian ekstrak air dan etanol jintan manis sebanyak 1g/kg berat tikus meningkatkan pengeluaran susu tikus masing-masing sebanyak 68% dan 81% [8]


KESIMPULAN:


15. Kajian setakat ini menunjukkan beberapa tumbuhan dan makanan mempunyai potensi meningkatkan penghasilan susu manusia mahupun subjek haiwan. Namun kajian-kajian ini mempunyai kelemahan yang perlu diperhatikan.


a) Susu ibu secara umumnya akan meningkat apabila tempoh menyusu meningkat berdasarkan konsep penawaran dan permintaan. Kajian yang menunjukkan peningkatan susu yang rendah oleh ibu yang menerima rawatan berbanding ibu yang tidak menerima menunjukkan galactagogue berkenaan tidak memberikan kesan signifikan terhadap penghasilan susu ibu.

b) Ada sesetengah kertas kajian tidak melaporkan kesan adverse

c) Terdapat kajian yang tidak menyatakan dos yang digunakan dan kaedah penyediaan

d) Sample kajian yang kecil.

e) Ada laporan yang mungkin berkepentingan.


16. Walaubagaimanapun, sekiranya ia sejenis makanan, makanlah secara bersederhana. Jika anda mempunyai masalah penyusuan, rujuklah dengan konsultan laktasi yang tertauliah.


Che Puteh Osman

PhD (Natural Product Chemistry)


Rujukan :


[1] Khan, T. M.; Wu, D. B. C.; Dolzhenko, A. V., Effectiveness of fenugreek as a galactagogue: A network meta-analysis. Phytotherapy Research 2018, 32 (3), 402-412.


[2] Paritakul, P.; Ruangrongmorakot, K.; Laosooksathit, W.; Suksamarnwong, M.; Puapornpong, P., The effect of ginger on breast milk volume in the early postpartum period: A randomized, double-blind controlled trial. Breastfeeding Medicine 2016, 11 (7), 361-365.


[3] King, J.; Raguindin, P. F.; Dans, L., Moringa oleifera (Malunggay) as a Galactagogue for Breastfeeding Mothers: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. 2013; Vol. 61, p 34-42.


[4] Serrao, F.; Corsello, M.; Romagnoli, C.; D'Andrea, V.; Zecca, E., The Long-Term Efficacy of a Galactagogue Containing Sylimarin-Phosphatidylserine and Galega on Milk Production of Mothers of Preterm Infants. Breastfeeding Medicine 2018, 13 (1), 67-69.


[5] Badgujar, S. B.; Bandivdekar, A. H., Evaluation of a lactogenic activity of an aqueous extract of Cyperus rotundus Linn. Journal of Ethnopharmacology 2015, 163, 39-42.


[6] Hosseinzadeh, H.; Tafaghodi, M.; Mosavi, M. J.; Taghiabadi, E., Effect of Aqueous and Ethanolic Extracts of Nigella sativa Seeds on Milk Production in Rats. Journal of Acupuncture and Meridian Studies 2013, 6 (1), 18-23.


[7] Mahmood, A.; Omar, M. N.; Ngah, N., Galactagogue effects of Musa x paradisiaca flower extract on lactating rats. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine 2012, 5 (11), 882-886.


[8] Hosseinzadeh, H.; Tafaghodi, M.; Abedzadeh, S.; Taghiabadi, E., Effect of Aqueous and Ethanolic Extracts of Pimpinella anisum L. Seeds on Milk Production in Rats. Journal of Acupuncture and Meridian Studies 2014, 7 (4), 211-216.

1,551 views

Blog ini membawakan artikel ilmiah tentang tumbuhan dan sebatian kimia semulajadi dalam bahasa yang mudah difahami.