Dr Che Puteh Osman
SIRI 47: TREHALULOSE, DISAKARIDA RENDAH INDEKS GLISEMIK DALAM MADU KELULUT.
Trehalulose adalah sejenis disakarida yang terdiri dari fruktosa dan glukosa, sama seperti sukrosa di dalam gula putih. Bezanya, fruktosa dan glukosa ini diikat dengan ikatan glukosidik alfa (1->1) berbeza dengan sukrosa di mana fruktosa dan glukosa diikat dengan ikatan glikosidik alfa (1->2).
Perbezaan ikatan ini memberi perbezaan yang besar pada indeks glisemik trehalulose. Ia menyebabkan trehalulose lambat dicerna dan mempunyai indeks glisemik yang rendah.
Glukosa dan fruktosa yang terhasil dari pencernaan trehalulose dilepaskan secara perlahan dalam darah berbanding sukrosa yang dilepaskan secara cepat. Trehalulose juga bersifat akariogenik, iaitu tidak menyebabkan karies gigi.
Penerbitan terkini dari jurnal berprestij Nature melaporkan trehalulose merupakan disakarida utama di dalam madu kelulut. Ini menjelaskan jurnal terdahulu yang melaporkan madu kelulut mengandungi disakarida maltosa namun struktur kimianya tidak tepat seperti maltose.
Penemuan ini menunjukkan kelebihan madu kelulut berbanding madu biasa. Madu biasa juga mengandungi trehalulose, namun pada kuantiti yang jauh lebih rendah.
Dianggarkan terdapat sekitar 13-44g trehalulose di dalam madu kelulut. Kelulut adalah lebah yang tidak mempunyai sengat dari suku Meliponini. Kelulut banyak didapati di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.

Selain trehalulose, madu kelulut juga mengandungi asid organik lemah seperti asid askorbik, asid maleik, asid suksinik, asid fumarik dan asid sitrik. Kehadiran asid organik lemah ini menyebabkan pH madu kelulut sedikit berasid dan berasa masam.
Kandungan sebatian kimia semulajadi seperti flavonoid dan asid fenolik dipengaruhi oleh jenis tumbuhan yang dihinggap kelulut. Selain itu, madu kelulut juga bersifat probiotik.
Adakah madu kelulut merawat diabetes? Ada beberapa kajian mengkaji sama ada madu kelulut merencat aktiviti enzim pencernaan seperti alfa-amylase dan alfa-glukosidase dalam tabung uji.
Ada kajian mengkaji sama ada pemberian madu kelulut mengurangkan paras glukosa darah tikus. Namun, masih belum ada kajian kajian klinikal ke atas manusia menunjukkan madu kelulut merawat atau mencegah diabetes.
Walaupun madu kelulut kaya dengan trehalulose, anda masih perlu berhati-hati dengan pengambilan berlebihan kerana ia masih mengandungi fruktosa dan sukrosa. Berdasarkan penemuan terbaru ini, madu kelulut semestinya lebih baik berbanding gula putih.
Rujukan
Amin, F. A. Z., Sabri, S., Ismail, M., Chan, K. W., Ismail, N., Esa, N. M., . . . Zawawi, N. (2020). Probiotic properties of bacillus strains isolated from stingless bee (Heterotrigona itama) honey collected across malaysia. International Journal of Environmental Research and Public Health, 17(1). doi:10.3390/ijerph17010278
Ávila, S., Hornung, P. S., Teixeira, G. L., Malunga, L. N., Apea-Bah, F. B., Beux, M. R., . . . Ribani, R. H. (2019). Bioactive compounds and biological properties of Brazilian stingless bee honey have a strong relationship with the pollen floral origin. Food Research International, 123, 1-10. doi:https://doi.org/10.1016/j.foodres.2019.01.068
da S. Sant'ana, R., de Carvalho, C. A. L., Oda-Souza, M., de A. Souza, B., & de S. Dias, F. (2020). Characterization of honey of stingless bees from the Brazilian semi-arid region. Food Chemistry, 327, 127041. doi:https://doi.org/10.1016/j.foodchem.2020.127041
Fletcher, M. T., Hungerford, N. L., Webber, D., Carpinelli de Jesus, M., Zhang, J., Stone, I. S. J., . . . Zawawi, N. (2020). Stingless bee honey, a novel source of trehalulose: a biologically active disaccharide with health benefits. Scientific Reports, 10(1). doi:10.1038/s41598-020-68940-0
Julika, W. N., Ajit, A., Ismail, N., Aqilah, N., Naila, A., & Sulaiman, A. Z. (2020). Sugar profile and enzymatic analysis of stingless bee honey collected from local market in Malaysia. IOP Conference Series: Materials Science and Engineering, 736, 062001. doi:10.1088/1757-899x/736/6/062001
Wong, P., Ling, H. S., Chung, K. C., Yau, T. M. S., & Gindi, S. R. A. (2019). Chemical Analysis on the Honey of Heterotrigona itama and Tetrigona binghami from Sarawak, Malaysia. Sains Malaysiana, 48(8), 1635-1642. doi:10.17576/jsm-2019-4808-09