SIRI 47: VAPE, MANFAAT ATAU MUDARAT?
Updated: 20 Okt 2019
Apakah vape?
Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape, terdiri daripada beberapa komponen. Apabila ia disedut, tekanan yang rendah akan mengaktif sensor, yang seterusnya menghidupkan atomiser. Atomiser ini terdiri dari gegelung yang diperbuat dari logam, misalannya kuprum. Gegelung ini akan memanaskan cecair vape dan seterusnya menghasilkan aerosol.
Cecair vape terdiri dari beberapa bahan utama antaranya propylene glycol, glyserin, nikotin dan perasa. Kandungan bahan-bahan ini bergantung kepada permintaan pelanggan sama-ada mereka inginkan aerosol yang banyak dan sama ada mereka inginkan nikotin. Perasa juga boleh diubahsuai mengikut citarasa pelanggan. Sehingga kini dilaporkan terdapat lebih 7000 perasa vape di seluruh dunia.

Benarkah vape lebih selamat berbanding rokok konvensional?
Rokok konvensional berasaskan konsep pembakaran daun tembakau. Nikotin, bahan yang menyebabkan ketagihan diperoleh selepas disedut. Tembakau dikenalpasti sebagai bahan karsinogen gred 1 menurut klasifikasi International Agency for Research in Cancer (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malah perbuatan merokok itu sendiri meningkatkan risiko kanser.
Ini kerana rokok menghasilkan poliaromatik hidrokarbon (PAH), nitroasamine (NA) dan aldehyde seperti acrolein yang menrupakan sejenis karsinogen. Selain itu, merokok juga mendedahkan perokok kepada logam berat dan zarah terampai (particulate matter). Kajian demi kajian menunjukkan merokok meningkatkan risiko pelbagai penyakit antaranya kanser paru-paru, chronic pulmonary obstructive disorders dan lain-lain.
Sesetengah perokok beralih kepada vape dengan anggapan ia lebih selamat daripada merokok. Malah terdapat banyak testimoni menunjukkan perokok mendapat kesihatan yang lebih baik dengan beralih kepada vape. Benarkah sedemikian?
Beberapa puluh kajian menunjukkan aerosol vape mengandungi bahan pencemar sama seperti yang dikesan di dalam asap rokok seperti PAH, NA, aldehyde dan logam berat. Apabila vape dipanaskan melebihi 3V, glycerol dan propylene glycol teroksida menghasilkan aldehyde yang sama seperti rokok biasa. Contoh aldehyde yang dihasilkan adalah acrolein. Kandungannya sekitar 4.4-16.6 mikrogram bagi setiap hembusan.
Walaupun jumlah bahan pencemar ini lebih rendah dilaporkan lebih rendah berbanding di dalam asap rokok konvensional, namun disebabkan vape tidak diregulasi, kandungan sebenar bahan-bahan ini tidak dapat dipastikan.
Adakah vape tanpa nikotin lebih selamat?
Antara hujah yang sering digunapakai adalah vape selamat kerana ia mengandungi bahan-bahan ini dikategorikan sebagai sebagai GRAS-“generally recognized as safe” sebagai makanan.
GRAS hanya digunakan untuk makanan seperti di bawah seksyen 201(f) Federal Food, Drug, and Cosmetic Act (FFDCA). Program tajaan FEMA (Flavor and Extract Manufacturs Association of the United States) ini hanya untuk menilai keselamatan perasa untuk tujuan makanan sahaja. Ia bukan untuk tujuan selain itu.
Walaupun ia dianggap GRAS, kandungan perasa di dalam makanan perlu mengikut regulasi berapa peratuskah yang dibenarkan. Dan perasa ini dianggap selamat jika dimakan dan bukannya disedut dalam bentuk wap. Masih terdapat kelompongan maklumat keselamatan mengenai penggunaan bahan-bahan ini dalam vape.
Namun, apa yang menjadi kerisauan, sesetengah perasa ini mengandungi diacetyl, dan acetyl propionyl.

Diacetyl adalah sebatian kimia yang mempunyai rasa seperti mentega manakala acetyl propionyl memberikan rasa mentega, kekacang, karamel. Ia juga dihasilkan secara semulajadi sebagai produk penapaian tenusu, wine, dan lain-lain. Walaupun ia selamat dijadikan perisa dalam makanan, ia dikaitkan dengan masalah paru-paru apabila wapnya disedut atau dihidu (inhalation).
Diacetyl menyebabkan iritasi dan meninggalkan parut pada alveoli di paru-paru. Iritasi dan parut ini menyebabkan bengkak dan mengecilkan ruangan alveoli. Akibatnya, proses penerimaan oksigen ketika bernafas terganggu dan menyebabkan sesak nafas. Keadaan ini dipanggil bronchiolitis obliterans, atau lebih dikenali sebagai popcorn lung.
Fenemona ini pernah diperhatikan pada pekerja di kilang menghasilkan popcorn menggunakan mikrowave. Diacetyl pernah digunakan sebagai perasa popcorn. Pendedahan berterusan pada wap diacetyl yang dipanaskan dikaitkan dengan insiden popcorn lung di kalangan pekerja ini.
Sekarang bayangkan paru-paru ini adalah paru-paru anak-anak anda yang sedang membesar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Ingat, parut di alveoli ini kekal dan tidak boleh pulih seperti asal. Sebab itulah perlu ada akta atau pindaan akta bagi melarang penjualan vape pada kanak-kanak di bawah 18 tahun. Sama seperti rokok.

The National Institute for Occupational Safety and Health, Center of Disease Center and Prevention (CDC) mencadangkan had pendedahan pekerjaan tidak melebihi 5ppb selama 8 jam sehari. Ppb-part per billion bersamaan dengan 1 mikrogram dalam 1 kg (ug/kg).
Walaupun tiada kajian mengaitkan vape menyebabkan popcorn lung secara langsung, kehadiran bahan ini dalam jus vape tertentu sepatutnya menggusarkan.
Beberapa kajian mendapati diacetyl digunakan dalam perasa jus vape oleh beberapa syarikat di Amerika Syarikat.
Di negara Eropah termasuk United Kingdom, diacetyl telah dilarang dari dimasukkan dalam jus vape.
Dianggarkan terdapat sekitar 10-20% perasa di dalam jus vape. Disebabkan vape tidak diregulasi seperti rokok biasa, kandungan sebenar tidak dapat dikenal pasti.
Bahan kimia yang sama mempunyai kesan toksik yang berbeza apabila kaedah pendedahan berbeza. Perasa yang selamat dimakan, belum tentu selamat jika dihidu dan disedut seperti vape.
Penggunaan vape perlu diregulasi seperti rokok. Supaya bahan berbahaya ini tidak dimasukkan dalam jus vape.
Walaupun reaksi mengenai penggunaan vape ini bercampur baur, ada yang menyokong dan ada yang membangkang, isu vape tidak harus dipandang mudah dengan ketiadaan regulasi dan adanya isu-isu keselamatan dari penggunaan vape.
Sebab vape perlu diregulasi. Pertama, supaya ada kerangka undang-undang melarang penjualan vape pada kanak-kanak di bawah 18 tahun. Kedua, supaya bahan-bahan dalam vape perlu diregulasi untuk keselamatan pengguna vape itu sendiri.
Sepertimana rokok, regulasi tidak menjadikan ia lebih sihat atau selamat. Ia bertujuan mengawal kandungan dan penjualan terbuka.
Kesimpulan
Suatu ketika dahulu rokok diiklankan sebaga baik untuk kesihatan. Setelah budaya merokok menjadi kebiasaan dalam masyarakat, satu demi satu keburukan rokok terbongkar. Janganlah kita terhantuk, baru mengadah. Merokok tidak menjadikan anda cool. Vaping tidak menjadikan anda cool.
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”
(Al Baqarah 2:195)
Rujukan
Allen JG, et al. Flavoring chemicals in e-cigarettes: diacetyl, 2,3-pentanedione, and acetoin in a sample of 51 products, including fruit-, candy-, and cocktail-flavored e-cigarettes. Environ Health Perspect, 2016; 124:733–739.
Barrington-Trimis JL, et al. Flavorings in electronic cigarettes, an unrecognized respiratory health hazard?JAMA; 2014: 312(23):2493-2494
Cheng T. Chemical Evaluation of electronic cigarettes. Tob Control 2014;23:ii11–ii17.
Clark, S. et al. Diacetyl in Food: A review of Safety and Sensory Characteristics. Com Rev in Food Sc and Tech 2015; 14: 634-643.
Hahn et al. Electronic cigarettes: overview of chemical composition and exposure estimation. Tobacco Induced Diseases 2014; 12:23
Hallagan J. The safety assessment and regulatory authority to use flavor—focus on e-cigarettes. [Accessed October, 1 2019]; http://www.femaflavor.org/safety-assessment-and-regulatory-….
Kreiss K. Work-related spirometric restriction in flavoring manufacturing workers. Am J Ind Med. 2014;57(2):129–137.
Tierney PA, et al. Flavour chemicals in electronic cigarette fluids. Tobacco control, 2016:25:e10-e15